AZZAM SHAM & SHERYL SHAZWANIE KONGSI REALITI & CABARAN KEHIDUPAN MELALUI ‘’BERTAHAN DENGANMU’’
Dalam sesebuah perhubungan, pasti tersimpan pelbagai kisah yang melibatkan soal kewangan, konflik, serta cabaran kehidupan. Ada kalanya dipenuhi dengan kebahagiaan, ada kalanya diuji dengan pelbagai dugaan. Mampukah sesebuah hubungan terus bertahan apabila berdepan dengan ujian yang mendatang?
Persoalan inilah yang menjadi nadi kepada single terbaharu berjudul “Bertahan Denganmu” nyanyian penyanyi yang merupakan pasangan suami isteri, Azzam Sham dan Sheryl Shazwanie terbitan Luncai Emas dan Myoozikwav Entertainment.

“Bertahan Denganmu” adalah karya ciptaan sepenuhnya oleh Dearlynnns, yang sebelum ini turut dikenali sebagai komposer dan penulis lirik lagu “Sengketa Asmara Luka” nyanyian Nana Tony.
Lagu ini hadir sebagai sebuah dedikasi buat pasangan yang sedang berjuang mempertahankan hubungan mereka di sebalik pelbagai konflik dan cabaran yang dihadapi. Ianya juga mengangkat nilai bahawa setiap hubungan yang dibina dengan keikhlasan mampu mengharungi segala rintangan.
Dearlynns berkata “Lagu ini sangat dekat dengan realiti kehidupan ramai orang. Dalam setiap hubungan pasti ada suka dan duka. Sama ada bagi mereka yang sedang bercinta, berusaha mengumpul wang untuk mendirikan rumah tangga, mahupun pasangan yang telah berkahwin, perjuangannya tetap sama iaitu untuk terus bertahan.

Menurut Azzam Sham, “Apabila kami pertama kali mendengar melodi dan membaca lirik lagu ini, kami terus merasai emosi yang ingin disampaikan. Melodi dan jalan ceritanya begitu dekat dengan kehidupan kami sendiri. Kami percaya ramai pendengar juga akan dapat menghayati mesej yang terkandung dalam lagu ini.
Selain aktif sebagai penyanyi, Azzam Sham dan Sheryl Shazwanie juga pernah menyertai program realiti popular Astro, Big Stage sejak awal kerjaya mereka sebagai penyanyi serta mempunyai beberapa single nyanyian mereka yang mencuri perhatian peminat seperti Cinta Jangan Pergi – Azzam Sham manakala Sheryl Shazwanie – Perasaanku.
Pasangan ini telah mendirikan rumah tangga pada 1 Januari 2022 dan dikurniakan seorang cahaya mata perempuan. Terdahulu, mereka bergandingan menerusi single Hari Raya pada tahun 2025 berjudul “Meriah Hari Raya”, terbitan Luncai Emas Sdn Bhd dan Myoozikwav Entertainment.

Azzam Sham dan Sheryl Shazwanie turut merakamkan penghargaan kepada Tam Ali selaku penerbit, serta Dearlynnns sebagai komposer dan penulis lirik, atas kepercayaan yang diberikan kepada mereka untuk menyampaikan karya ini. Ucapan terima kasih juga ditujukan kepada Luncai Emas dan seluruh pasukan yang terlibat dalam menjayakan projek ini, selain para peminat yang sentiasa setia menyokong perjalanan seni mereka.
Video muzik rasmi “Bertahan Denganmu” arahan Tam Ali kini boleh ditonton di saluran YouTube Luncai Emas dan Myoozikwav Entertainment.
Diharapkan pihak media dapat berkongsi pelancaran karya ini kepada para peminat dan pembaca, sekali gus membantu memperluaskan lagi capaian lagu tersebut kepada khalayak yang lebih luas.
