June 27, 2026

MMS | MY Media Syndicate

Berita Hari Ini, Gaya Hidup Masa Kini

NADEERA KEMBALI MENGGUGAT EMOSI DENGAN “CUBA JADI AKU”

Spread the love

Selepas mencipta fenomena luar biasa menerusi single hit “Bukan Lagi Kita” yang mencapai lebih 100 juta penstriman di semua platform digital dan juga mendominasi carta muzik tempatan malah mengangkat namanya ke tahap yang lebih tinggi dalam industri hiburan tanah air, penyanyi bersuara emas, Nadeera, kini kembali dengan karya baharu yang dijangka bakal sekali lagi meninggalkan kesan mendalam dalam hati para pendengar.

Berjudul “Cuba Jadi Aku”, single terbaharu terbitan Rocketfuel Entertainment ini hadir sebagai sebuah karya yang sarat dengan emosi, kejujuran dan keberanian dalam meluahkan rasa yang sering terpendam. Menampilkan sisi Nadeera yang lebih matang dan lebih berani dalam penceritaan, lagu ini mengangkat tema tentang luka yang ditinggalkan oleh seseorang yang pernah dicintai sepenuh hati.

Dengan gabungan melodi pop balada kontemporari yang disuntik elemen rock moden serta susunan muzik yang dramatik, “Cuba Jadi Aku” membawa pendengar menyelami perjalanan emosi seorang wanita yang terpaksa menanggung kesakitan akibat perbuatan insan yang paling dipercayainya.

Tentang “Cuba Jadi Aku”

Di sebalik melodi yang menyentuh jiwa, “Cuba Jadi Aku” membawa mesej tentang kekecewaan, pengkhianatan dan kesakitan yang sukar difahami oleh mereka yang menjadi puncanya dan bagaimana seseorang itu boleh bangkit dari segala yang dihadapi olehnya.

Lagu ini mengisahkan mengenai insan yang telah memberikan sepenuh hati dan kepercayaannya kepada seseorang, namun akhirnya terpaksa menanggung luka yang ditinggalkan. Apa yang diharapkannya hanyalah agar insan tersebut dapat memahami dan merasai sendiri segala kesakitan yang dialaminya.

Mesej itu diterjemahkan menerusi korus yang menjadi nadi utama lagu ini:

“Cuba kau, cuba jadi aku. Sedarkan kau yang mula semua dahulu?”

Ungkapan tersebut menggambarkan persoalan yang sering bermain di fikiran mereka yang pernah terluka: adakah seseorang itu benar-benar memahami kesan daripada perbuatannya terhadap orang lain?

Gabungan Magis Hael Husaini, Iqie Hugh & Nadeera

Di sebalik kejayaan pelbagai karya hit yang pernah dihasilkan sebelum ini, nama Hael Husaini dan juga Iqie Hugh sekali lagi membuktikan sentuhan magis mereka menerusi penghasilan “Cuba Jadi Aku”.

Namun apa yang menjadikan lagu ini lebih istimewa adalah penglibatan Nadeera sendiri selaku salah seorang komposer yang cuba memberikan lebih variasi dan dimensi yang lebih peribadi terhadap karya tersebut.

“Ini Antara Lagu Yang Paling Dekat Dengan Hati Saya” – Nadeera

Menurut Nadeera, “Cuba Jadi Aku” merupakan antara karya yang paling dekat dengan dirinya kerana mesej yang dibawakan sangat jujur dan dekat dengan pengalaman ramai.

“Apabila saya pertama kali mendengar lagu ini, saya terus merasakan kekuatan emosinya. Saya percaya ramai yang pernah berada dalam situasi di mana mereka terluka tetapi sukar untuk meluahkan apa yang dirasai.

“Kadang-kadang kita cuma berharap orang yang menyakiti kita benar-benar memahami apa yang kita lalui. Itulah intipati lagu ini.

“Saya sangat teruja untuk berkongsi ‘Cuba Jadi Aku’ dengan semua peminat dan berharap ia dapat menyentuh hati mereka yang pernah melalui pengalaman yang sama,” katanya.

Visual Yang Menambah Kesan Emosi

Melengkapkan lagi penceritaan lagu ini, video muzik (MV) rasmi “Cuba Jadi Aku” menampilkan Bella Dowanna, Azri Safix dan Ariana sebagai watak utama dalam sebuah kisah cinta yang diuji oleh kehadiran orang ketiga.

Watak yang dibawakan oleh Ariana menjadi pencetus konflik dalam hubungan tersebut, sekali gus menghidupkan lagi emosi dan mesej yang ingin disampaikan menerusi lagu ini.

Rocketfuel Entertainment Yakin “Cuba Jadi Aku” Akan Terus Menyentuh Hati Pendengar

Ketua Rocketfuel Entertainment, En. Mathan Rajasingam berkata pihak Rocketfuel amat berbangga dengan perkembangan seni Nadeera yang terus menunjukkan peningkatan dari satu karya ke satu karya yang lain.

“Sejak awal lagi kami melihat potensi besar dalam diri Nadeera. Beliau mempunyai keupayaan luar biasa untuk menyampaikan emosi menerusi nyanyian dengan begitu jujur dan berkesan.

“Kejayaan ‘Bukan Lagi Kita’ membuktikan kekuatan beliau sebagai seorang penghibur, dan kami percaya ‘Cuba Jadi Aku’ akan memperlihatkan sisi Nadeera yang lebih matang dari segi vokal dan penceritaan.

“Kami juga sangat berbangga dengan pencapaian beliau yang semakin menyerlah termasuk peluang mewakili Malaysia di pelbagai pentas antarabangsa. Beliau bukan sahaja membawa nama Rocketfuel Entertainment, tetapi turut membawa nama negara dengan penuh cemerlang.“Kami percaya ‘Cuba Jadi Aku’ mempunyai semua elemen untuk menjadi sebuah karya yang dekat di hati masyarakat dan meneruskan momentum kejayaan yang telah dibina oleh Nadeera selama ini,” katanya.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page