June 27, 2026

MMS | MY Media Syndicate

Berita Hari Ini, Gaya Hidup Masa Kini

“Setiap Insan Berhak Diberi Peluang Kedua” – Datuk Seri Azalina Othman Said

Spread the love

“Kerajaan MADANI percaya setiap insan berhak diberikan peluang kedua.” Itu tegas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said yang mahu masyarakat melihat individu bankrap bukan sebagai golongan yang gagal, sebaliknya mereka yang wajar diberi ruang untuk bangkit dan memulakan semula kehidupan.

Beliau berkata, masalah kewangan boleh menimpa sesiapa sahaja tanpa mengira latar belakang sama ada akibat kehilangan pekerjaan, kegagalan perniagaan mahupun cabaran hidup yang tidak diduga.

Menurutnya, atas sebab itu kerajaan terus memperkukuhkan pelaksanaan Dasar Peluang Kedua Insolvensi bagi membantu individu yang layak dibebaskan daripada kebankrapan sekali gus kembali menyumbang kepada ekonomi negara.

“Dasar ini bukan sekadar mekanisme perundangan, tetapi komitmen kerajaan untuk memberi peluang kepada individu yang layak keluar daripada belenggu kebankrapan, memulakan lembaran baharu dan kembali aktif dalam ekonomi negara.

“Apa yang lebih penting ialah menyediakan ruang untuk mereka membina semula kehidupan serta kembali menyumbang kepada keluarga, masyarakat dan negara,” katanya ketika merasmikan Karnival Jelajah Dasar Peluang Kedua Insolvensi 2026  di Putrajaya pada 26 Jun lalu.

Azalina berkata, perubahan persepsi masyarakat terhadap individu yang pernah diisytiharkan bankrap juga perlu diberi perhatian kerana stigma negatif sering menjadi penghalang kepada usaha mereka untuk bangkit semula.

Katanya, pendekatan lebih menyeluruh perlu dilaksanakan agar golongan berkenaan bukan sahaja memperoleh pelepasan daripada kebankrapan, malah diberikan keyakinan untuk kembali menjalani kehidupan secara normal.

Sehubungan itu, Karnival Jelajah Dasar Peluang Kedua Insolvensi akan diadakan di seluruh negara sepanjang tahun ini sebagai platform mendekatkan perkhidmatan Jabatan Insolvensi Malaysia (MdI) kepada rakyat.

Beliau berkata, program itu bukan sahaja memberi penerangan mengenai proses pelepasan kebankrapan, malah membantu meningkatkan tahap literasi kewangan dalam kalangan masyarakat supaya mereka lebih bijak mengurus kewangan dan mengelakkan risiko diisytiharkan bankrap.

“Saya mahu karnival ini dijadikan program tahunan MdI kerana ia mampu meningkatkan kesedaran rakyat mengenai Dasar Peluang Kedua serta manfaat yang disediakan kerajaan.

“Pendekatan turun padang ini membolehkan rakyat memperoleh maklumat yang tepat, meningkatkan celik kewangan dan pada masa sama mengurangkan stigma terhadap individu yang pernah berdepan masalah kewangan,” ujarnya.

Sepanjang tiga hari penganjurannya, orang ramai boleh mendapatkan pelbagai perkhidmatan termasuk semakan status kes kebankrapan, sesi konsultasi serta khidmat nasihat secara percuma, selain menghadiri taklimat berkaitan proses pelepasan kebankrapan.

Turut diadakan ialah pembidaan aset yang diuruskan MdI, program literasi kewangan serta pameran membabitkan pelbagai agensi kerajaan dan rakan strategik yang menawarkan perkhidmatan berkaitan pemulihan kewangan dan kesejahteraan rakyat.

Azalina berkata, beliau berharap usaha itu menjadi pemangkin dalam membina masyarakat yang lebih inklusif, celik kewangan dan bebas daripada stigma kebankrapan.

“Paling penting, ia memberi harapan baharu kepada mereka yang benar-benar memerlukan peluang kedua untuk membina masa depan yang lebih baik,” katanya.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page