June 21, 2026

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

Konsert ‘Suaro Kito, Jiwo Kito’ Bakal Bergema Di Zepp KL Ogos Ini

Spread the love

Irama dan semangat Pantai Timur bakal memenuhi ibu kota apabila konsert mega Kelate Ke KL 2026 menghimpunkan barisan artis popular kelahiran Kelantan dalam satu malam yang dijangka sarat dengan nostalgia, hiburan dan kebanggaan terhadap identiti negeri Cik Siti Wan Kembang di Zepp Kuala Lumpur pada 29 Ogos depan.

Mengangkat tema “Suaro Kito, Jiwo Kito – 100% Ori Kelate”, konsert itu dijangka menjadi medan pertemuan terbesar buat anak-anak Kelantan serta peminat muzik Pantai Timur dari seluruh negara dalam satu malam yang sarat dengan nostalgia, semangat kenegerian dan keunikan budaya negeri Cik Siti Wan Kembang.

Lebih menarik, acara yang dianjurkan Natriya Enterprise dengan kerjasama Irama Entertainment dan Ikarl Project itu bakal menghimpunkan beberapa nama yang cukup sinonim dengan penggemar muzik Pantai Timur.

Antara yang bakal menghangatkan pentas ialah fenomena semasa Eda Ezrin, selain Rosalinda, Adik Waniey, Man Khan, Den Manjo, Fendi Kenali dan Aris Capella.

Kehadiran Eda Ezrin tentunya menjadi antara tarikan utama apabila penyanyi itu terus menikmati populariti luar biasa dengan lagu-lagunya yang mencetuskan fenomena bukan sahaja di Kelantan, malah di seluruh negara dan negara jiran.

Populariti lagu berentak etnik moden dan irama Pantai Timur yang dibawakan artis-artis Kelantan membuktikan muzik tempatan mempunyai identiti tersendiri dan mampu diterima oleh pelbagai lapisan masyarakat tanpa mengira usia.

Pengarah Projek Kelate Ke KL 2026, Mas Ayie Mas Omar berkata, penganjuran konsert berkenaan bukan sekadar acara hiburan, sebaliknya satu platform untuk meraikan seni, budaya dan identiti masyarakat Kelantan di pentas yang lebih besar.

“Kelate Ke KL 2026 bukan sekadar sebuah konsert, tetapi sebuah platform untuk menghimpunkan anak-anak Kelantan dan peminat muzik Pantai Timur dari seluruh negara.

“Kami mahu membawa semangat serta keunikan budaya Kelantan ke tengah ibu kota dan memperlihatkan bahawa muzik serta seni dari Pantai Timur mempunyai kekuatan dan pengaruh tersendiri,” katanya.

Menurut beliau, konsert itu turut menjadi simbol kebanggaan terhadap warisan seni yang dimiliki rakyat Kelantan dan usaha memperkenalkannya kepada khalayak lebih luas.

Beliau berkata, pihak penganjur juga sedang merancang beberapa pengisian istimewa yang akan diumumkan secara berperingkat termasuk penampilan khas, elemen budaya serta beberapa kejutan eksklusif yang dijangka menambah kemeriahan acara.

Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, muzik Pantai Timur semakin berkembang dan mendapat perhatian ramai. Lagu-lagu yang menggunakan dialek Kelantan bukan lagi dianggap bersifat setempat, sebaliknya berjaya menembusi pasaran arus perdana dan menjadi kegemaran pendengar dari seluruh negara.

Perkembangan itu sekali gus membuka ruang lebih besar kepada artis-artis dari Pantai Timur untuk terus mengukuhkan kedudukan mereka dalam industri muzik tempatan.

Sehubungan itu, Kelate Ke KL 2026 dilihat bukan sekadar sebuah konsert biasa, tetapi sebuah manifestasi kebangkitan budaya dan muzik Pantai Timur yang kini semakin diterima dan diraikan.

Maklumat mengenai penjualan tiket akan diumumkan dalam masa terdekat dengan tiket rasmi dijual secara eksklusif menerusi platform Illaso.com.my.

Peminat juga disaran mengikuti akaun media sosial rasmi Kelate Ke KL menerusi TikTok dan Instagram @KelateKL bagi mendapatkan perkembangan terkini, termasuk pengumuman artis tambahan dan pelbagai aktiviti menarik menjelang hari penganjuran.

Dengan gabungan artis popular, semangat “anak Kelate” yang cukup kuat serta fenomena muzik Pantai Timur yang sedang memuncak, Kelate Ke KL 2026 berpotensi menjadi antara acara hiburan paling meriah dan dinantikan tahun ini.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page