Ammar Haikal Pertaruh “Gila Bayang”, Langkah Pertama Menuju Pentas Arus Perdana
Selepas muncul sebagai juara XO Camp 2026, penyanyi muda berbakat, Ammar Haikal, kini melangkah lebih jauh dalam karier seninya menerusi pelancaran single sulung berjudul Gila Bayang.
Lagu yang menjadi pertaruhan pertama Ammar sebagai artis rakaman profesional itu dilancarkan secara rasmi menerusi majlis tayangan perdana muzik video (MV) yang berlangsung di XO House Sdn Bhd pada 19 Jun lalu.
Lebih manis, Ammar berkongsi kegembiraannya apabila MV Gila Bayang berjaya meraih lebih 50,000 tontonan dalam tempoh singkat selepas dilancarkan di platform digital, sekali gus membuktikan karya berkenaan mula mendapat perhatian pendengar muzik tempatan.
Bagi Ammar, pencapaian itu memberikan suntikan semangat untuk terus menghasilkan karya terbaik pada masa akan datang.

“Sebagai pendatang baharu, saya memang tidak menjangkakan sambutan yang diterima. Apabila dimaklumkan MV ini sudah melepasi 50,000 tontonan, saya rasa sangat bersyukur dan terharu.
“Ia memberi motivasi kepada saya untuk bekerja lebih keras serta menghasilkan lebih banyak lagu yang mampu menyentuh hati pendengar,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran itu.
Mengangkat tema perasaan cinta yang mendalam sehingga seseorang menjadi terlalu obses dan sentiasa dibayangi insan yang diminati, Gila Bayang tampil dengan gabungan melodi moden serta lirik yang dekat dengan pengalaman generasi muda masa kini.
Lagu berkenaan turut menjadi platform terbaik untuk Ammar memperkenalkan identiti muziknya kepada khalayak selepas berjaya mencuri perhatian menerusi program pembangunan bakat XO Camp yang menghimpunkan ratusan peserta dari seluruh negara.
Menurut Ammar, cabaran terbesar dalam menghasilkan single sulung adalah memastikan karya yang dipersembahkan benar-benar mampu mencerminkan dirinya sebagai seorang artis.
“Single pertama sangat penting kerana ia menjadi pengenalan kepada siapa diri kita dalam industri. Saya mahu pendengar mengenali saya menerusi lagu ini dan berharap mereka dapat merasai emosi yang cuba disampaikan.
“Saya juga banyak belajar sepanjang proses rakaman dan pembikinan MV ini. Ia pengalaman yang sangat berharga buat saya,” katanya.

Pada majlis sama, tetamu dan rakan media turut dipertontonkan MV Gila Bayang buat pertama kali, selain berpeluang mendengar perkongsian Ammar mengenai perjalanan penghasilan lagu berkenaan.
Kehadiran Ammar dalam industri dilihat sebagai antara kemunculan bakat baharu yang wajar diberikan perhatian. Memiliki pakej vokal, karisma serta personaliti yang disenangi, penyanyi muda itu dilihat berpotensi untuk mengukuhkan kedudukannya dalam landskap muzik tempatan yang semakin kompetitif.
Pelancaran Gila Bayang bukan sekadar menandakan lahirnya seorang artis baharu, malah menjadi titik permulaan kepada perjalanan seni Ammar Haikal yang kini bersedia membina namanya dalam industri hiburan tanah air.
