June 19, 2026

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

Harith Zazman, Yonnyboii Pertaruh ‘Sempurna’ Sempena Hari Bapa

Spread the love

Bersempena sambutan Hari Bapa yang bakal diraikan hujung minggu ini, penyanyi dan pencipta kandungan popular, Harith Zazman, tampil dengan single baharu berjudul Sempurna yang menyaksikannya bergandingan buat pertama kali dengan penyanyi dan rapper terkenal, Yonnyboii.

Lagu yang bakal dilancarkan di semua platform penstriman digital pada 19 Jun ini membawa tema kasih sayang, penerimaan dan penghargaan terhadap insan yang melengkapkan kehidupan, khususnya keluarga.

Ditulis oleh Harith Zazman bersama Yonnyboii dan Justin Seow yang turut bertindak sebagai penerbit, Sempurna diinspirasikan daripada pengalaman sebenar kedua-dua penyanyi yang kini menjalani kehidupan sebagai suami dan bapa.

Mengangkat sentuhan pop yang sarat emosi, karya berkenaan menyampaikan mesej bahawa kesempurnaan bukanlah terletak pada persamaan, sebaliknya lahir daripada penerimaan dan penghargaan terhadap perbezaan yang wujud dalam sesebuah hubungan.

Menurut Harith, idea menghasilkan lagu itu tercetus selepas beliau mendirikan rumah tangga dan melalui sendiri pelbagai pengalaman yang mematangkannya sebagai seorang suami.

“Selepas berkahwin, saya sedar banyak perbezaan antara saya dan isteri. Kami datang daripada latar belakang yang berbeza dan kadang-kadang mempunyai pandangan yang bertentangan tentang sesuatu perkara.

“Tetapi perbezaan itulah yang membuatkan kami saling belajar dan memahami antara satu sama lain. Bagi saya, itulah maksud sebenar ‘sempurna’,” katanya.

Harith turut mengakui lagu berkenaan antara karya paling peribadi yang pernah dihasilkannya sepanjang bergelar anak seni.

“Ini mungkin lagu yang paling matang dan paling emosional pernah saya tulis. Saya menangis ketika menulis lagu ini kerana ia sangat dekat dengan pengalaman hidup saya sendiri.

“Saya juga tidak sabar untuk berkongsi mesej lagu ini dengan semua orang,” katanya.

Mengulas mengenai kolaborasi bersama Yonnyboii, Harith berkata penyanyi itu adalah individu paling sesuai untuk menyampaikan emosi dan mesej yang ingin diketengahkan menerusi lagu berkenaan.

“Saya dan Yonny mungkin tidak selalu berjumpa, tetapi kami sering berhubung dan saling menyokong antara satu sama lain.

“Apabila lagu ini siap dalam bentuk demo, saya terus terfikir tentang Yonny. Sebagai seorang suami dan bapa, dia sangat memahami emosi dan perjalanan yang cuba saya sampaikan dalam lagu ini,” ujarnya.

Sementara itu, Yonnyboii menyifatkan Sempurna sebagai dedikasi khas buat isteri dan anak lelakinya yang menjadi sumber kekuatan dalam kehidupannya.

“Dalam lagu ini, saya cuba menyampaikan kepada isteri dan anak saya bahawa saya sanggup melakukan apa sahaja untuk mereka.

“Mereka membuatkan hidup saya terasa lengkap dan sempurna,” katanya.

Lebih istimewa, proses rakaman lagu itu turut diserikan dengan kehadiran anak lelaki Yonnyboii, Kyro, yang menemaninya sepanjang sesi rakaman berlangsung.

Menurut Harith, momen berkenaan menjadikan lagu tersebut lebih bermakna kerana menggambarkan realiti kehidupan mereka sebagai seorang bapa.

“Ketika menulis dan merakam lagu ini, Yonny sedang mendukung anaknya. Malah, ada suara bayi yang turut kedengaran dalam rakaman asal lagu ini.

“Perkara kecil seperti itu membuatkan lagu ini menjadi lebih jujur dan lebih dekat dengan hati,” katanya.

Walaupun membawa tema yang lebih matang dan dekat dengan institusi keluarga, Yonnyboii percaya identiti muzik yang dibawanya masih kekal utuh.

“Saya rasa setiap artis ada identiti tersendiri. Walaupun cerita yang saya kongsi hari ini lebih banyak berkisar tentang keluarga kerana saya sudah berkahwin dan mempunyai anak, identiti Yonnyboii tetap sama.

“Lagu ini cuma menunjukkan sisi saya yang lebih jujur, penyayang dan menghargai orang-orang yang saya sayang,” katanya.

Ketika diminta menggambarkan Sempurna dalam tiga perkataan, Yonnyboii memilih ungkapan “Yayo, Nina, Kita”, merujuk kepada keluarga kecilnya yang menjadi inspirasi utama di sebalik penghasilan lagu tersebut.

Dilancarkan menjelang Hari Bapa, Sempurna hadir sebagai karya yang mengingatkan pendengar supaya menghargai perkara-perkara kecil dalam hubungan, menerima perbezaan yang wujud dalam setiap insan serta meraikan keluarga yang sentiasa menjadi tempat pulang.

Melalui lagu itu, Harith Zazman dan Yonnyboii berharap masyarakat dapat melihat bahawa kesempurnaan bukanlah tentang mencari seseorang yang sama seperti diri sendiri, tetapi menghargai insan yang sentiasa bersama-sama mengharungi setiap fasa kehidupan.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page