Sebulan Memburu Kesempurnaan, SLAM Satukan Orkestra dan Jiwa Rock
Tiada jalan pintas buat kumpulan legenda SLAM dalam memastikan konsert The Grand SLAM Unplugged 2 yang bakal berlangsung di Mega Star Arena pada 20 Jun ini menjadi sebuah persembahan yang benar-benar berbaloi untuk peminat.
Demi menghadiahkan malam yang penuh nostalgia dan magis muzik, SLAM memilih untuk menjalani latihan intensif selama hampir sebulan, satu tempoh yang jarang dilakukan bagi sebuah konsert berskala besar.
Bukan sekadar latihan biasa, malah setiap sesi digunakan untuk menyusun semula persembahan, memperhalusi susunan muzik, mencari keserasian bersama pemuzik orkestra dan memastikan setiap lagu yang bakal dipersembahkan tampil dengan jiwa serta emosi yang tepat.
Vokalisnya, Zamani Ibrahim mengakui pada awalnya dia berasa sedikit bimbang memikirkan cabaran untuk mengendalikan persembahan berdurasi lebih dua jam setengah, terutama selepas melalui episod masalah kesihatan akibat skoliosis yang pernah memberi kesan kepada pergerakannya.
Bagaimanapun, latihan yang konsisten bersama anggota kumpulan dan pemuzik orkestra berjaya mengembalikan keyakinannya untuk beraksi di pentas.
“Pada mulanya memang saya risau kerana perlu menyanyi dalam tempoh yang panjang. Dengan keadaan kesihatan saya sekarang, sudah tentu ada sedikit kebimbangan”,ujarnya ketika di temui media di Istana Budaya pada 18 Jun lalu.
“Tetapi selepas menjalani latihan hampir sebulan, saya semakin selesa. Hari demi hari saya dapat membiasakan diri dan mendapatkan semula rentak persembahan. Alhamdulillah, selepas sesi latihan bersama orkestra, semuanya berjalan lancar dan saya semakin yakin untuk memberikan persembahan terbaik kepada peminat,” katanya.

Selain Zamani, SLAM turut dibarisi Shah, Lili, Man dan Eddie yang masing-masing menunjukkan komitmen tinggi dalam memastikan konsert berkenaan mencapai standard yang diinginkan.
Sementara itu Shah pula menjelaskan bahawa keputusan menjalani latihan lebih lama juga dibuat atas faktor usia dan keinginan mereka untuk memastikan setiap persembahan benar-benar berkualiti.

“Umur kami semua bukan lagi seperti dahulu. Jadi kami perlukan masa untuk menggilap semula apa yang perlu, mencari semula keserasian dan memastikan sentuhan SLAM yang peminat kenal itu dapat dihidangkan dengan sebaik mungkin.
“Kami tidak mahu naik ke pentas sekadar untuk menyanyi. Kami mahu memberikan satu pengalaman yang akan dikenang peminat,” katanya.
Apa yang menjadikan konsert ini lebih istimewa ialah pendekatan muzik yang dibawakan. Jika selama ini peminat mengenali SLAM menerusi deretan lagu balada rock yang sarat emosi, kali ini karya-karya itu akan diberikan nafas baharu menerusi gabungan bersama 17 pemuzik orkestra.
Namun, menurut Lili pula, peminat tidak perlu bimbang kerana identiti asal SLAM tetap dipelihara.
Sebaliknya, susunan orkestra itu hadir sebagai elemen tambahan yang memperkayakan warna muzik tanpa menghilangkan roh sebenar kumpulan berkenaan. Konsert ini bakal menampilkan satu gabungan unik antara keindahan muzik orkestra dengan kekuatan balada rock yang menjadi identiti SLAM sejak awal kemunculan mereka.
Ia ibarat sebuah perjalanan muzik yang disemai dengan benih konsep unplugged yang pernah mencetuskan fenomena pada tahun 1996, namun berkembang menjadi sebuah persembahan yang lebih matang, lebih megah dan lebih emosional.

Malah, walaupun disuntik elemen orkestra yang mewah dan elegan, nuansa rock yang selama ini menjadi nadi perjuangan muzik SLAM tetap dikekalkan.
Petikan gitar yang menjadi identiti kumpulan itu, alunan keyboard yang membangkitkan nostalgia serta lontaran vokal Zamani yang penuh penghayatan akan terus menjadi tunjang utama persembahan.
Gabungan itu dijangka menghasilkan sebuah pengalaman yang cukup berbeza daripada konsert-konsert SLAM sebelum ini.
Bagi peminat yang membesar dengan lagu-lagu seperti Gerimis Mengundang, Rindiani, Tak Mungkin Berpaling, Kembali Terjalin dan Nurkasih, mereka bukan sahaja bakal menikmati lagu-lagu kegemaran dalam versi yang lebih besar dan dramatik, malah berpeluang menyaksikan karya-karya itu diberikan sentuhan sinematik yang lebih mendalam.
Dalam masa sama, konsert berkenaan turut mendapat nilai tambah menerusi kemunculan tiga figura legenda gitar tanah air iaitu Aznan Alias, JoBranko dan Kid Search.
Kehadiran tiga nama besar itu bukan sekadar penampilan istimewa, sebaliknya menjadi antara elemen paling dinantikan peminat.
Masing-masing mempunyai sejarah dan pengaruh tersendiri dalam landskap muzik rock Malaysia, sekali gus menjadikan kemunculan mereka di atas pentas bersama SLAM sebagai satu peristiwa yang cukup signifikan.
Gabungan pengalaman, kredibiliti dan aura tiga gitaris legenda itu dijangka menyuntik tenaga luar biasa kepada persembahan, selain mengangkat lagi nilai eksklusif konsert berkenaan.
Bagi peminat muzik tempatan, peluang menyaksikan SLAM berkongsi pentas dengan Aznan Alias, JoBranko dan Kid Search dalam sebuah persembahan berkonsepkan unplugged orkestra bukanlah sesuatu yang datang setiap tahun.
Ia adalah sebuah pertemuan yang merentasi generasi dan sejarah muzik tanah air.
Lebih bermakna, penganjuran The Grand SLAM Unplugged 2 hadir tepat tiga dekad selepas fenomena konsert unplugged pertama mereka di Stadium Merdeka pada 3 Ogos 1996 yang sehingga hari ini masih dikenang sebagai antara persembahan paling ikonik dalam sejarah muzik tempatan.
Tiga puluh tahun kemudian, SLAM kembali bukan sekadar untuk mengimbau nostalgia, tetapi untuk membuktikan bahawa karya-karya mereka masih mempunyai tempat yang istimewa di hati peminat.
