Feast Bina, Hancur dan Hidupkan Emosi Ribuan ‘Kelelawar’ di Zepp KL
Kredit Foto: TAPAU
Selama dua malam berturut-turut pada 5 dan 6 Jun lalu, Zepp Kuala Lumpur bertukar menjadi sebuah ruang emosi yang hidup, berdenyut dan sarat dengan pelbagai rasa apabila Feast membawa Pertunjukan Membangun & Menghancurkan ke hadapan ribuan peminat mereka.
Lebih istimewa, Kuala Lumpur menjadi destinasi penutup bagi siri jelajah Membangun & Menghancurkan selepas kejayaan persembahan di Jakarta dan Surabaya. Pemilihan Malaysia sebagai lokasi terakhir menjadikan kedua-dua malam tersebut terasa lebih bermakna, seolah-olah sebuah noktah yang sempurna buat perjalanan sebuah album yang banyak mengubah haluan kreatif kumpulan berkenaan.
Bukan sekadar sebuah konsert, persembahan anjuran TAPAUAsia dengan kerjasama Sun Eater itu hadir sebagai sebuah pengalaman artistik yang menggabungkan muzik, penceritaan visual dan refleksi kehidupan dalam satu naskhah pentas yang cukup berani serta mengesankan.

Sejak pintu arena dibuka, suasana sekitar Zepp KL sudah dibanjiri lautan peminat yang dikenali sebagai “Kelelawar”. Ada yang hadir mengenakan merchandise rasmi album, manakala sebahagian lagi membawa sepanduk dan memorabilia yang menjadi simbol hubungan erat mereka dengan kumpulan tersebut.
Apabila lampu dewan mula dipadamkan dan visual pembukaan memenuhi skrin gergasi, sorakan bergema tanpa henti. Dentuman lagu pembuka, Membangun, meledakkan suasana dengan begitu hebat sehingga seluruh venue seolah-olah bergetar mengikut rentak muzik yang bergema dari pentas.

Di tengah-tengah ledakan tenaga itu, vokalis Baskara Putra tampil sebagai pengemudi utama perjalanan emosi malam tersebut. Dengan aura yang penuh intensiti, setiap bait lirik yang dilontarkan hadir dengan penghayatan mendalam, menjadikan setiap lagu terasa seperti sebuah pengakuan yang jujur dan dekat dengan jiwa penonton.
Namun kekuatan Feast tidak hanya terletak pada sosok vokalisnya semata-mata. Di sebelah pentas, petikan gitar Adnan Satyanugraha dan Dicky Renanda menjadi nadi yang menggerakkan keseluruhan persembahan. Kedua-duanya saling melengkapi, menghasilkan lapisan bunyi yang kadangkala garang dan agresif, namun pada masa sama mampu bertukar menjadi melankolik dan penuh nuansa dalam lagu-lagu yang lebih introspektif.
Di bahagian belakang pentas, Feast menggunakan khidmat Rentang Pratama untuk mengemudi dram. Hentakan demi hentakan yang dihasilkan menjadi degupan jantung kepada keseluruhan persembahan, mengangkat intensiti setiap lagu sehingga mampu dirasai secara fizikal oleh para penonton.

Tidak kurang penting, bass yang dimainkan oleh Fadli Fikriawan memberikan lapisan bunyi yang tebal dan kukuh, menjadi asas yang mengikat keseluruhan struktur muzik .Feast sepanjang hampir tiga jam persembahan berlangsung.
Gabungan kesemua anggota itu menghasilkan sebuah persembahan yang bukan sahaja mantap dari sudut teknikal, malah dipenuhi energi yang tidak pernah surut dari awal hingga ke penghujung konsert.
Momentum tersebut diteruskan menerusi Konsekuens, Kelelawar, Masimarah, Sectumsempra dan Politrik yang mengubah Zepp KL menjadi sebuah koir gergasi. Ribuan suara bergabung menyanyikan setiap bait lirik, mencipta suasana yang lebih menyerupai sebuah ritual kolektif berbanding sebuah konsert konvensional.
Salah satu detik paling bermakna malam itu hadir apabila Awan berkongsi kisah perjalanan awal mereka yang penuh cabaran ketika memperjuangkan karya-karya yang sarat dengan isu sosial dan politik.
“Lima tahun pertama itu susah banget. Kita ngomongin isu sosial politik, dan dari situ kita justru ketemu kalian semua.”
Ucapan ringkas itu menerima sorakan gemuruh daripada para peminat yang memahami sepenuhnya perjalanan panjang yang telah ditempuh kumpulan tersebut.

Tidak lama kemudian, pentas kembali bergema menerusi Peradaban, karya yang dianggap antara lagu paling penting dalam katalog Feast. Lagu itu menjadi jambatan antara identiti awal mereka yang lantang mengkritik realiti masyarakat dan sisi baharu yang lebih introspektif serta peribadi.
Inilah yang menjadikan Pertunjukan Membangun & Menghancurkan berbeza daripada persembahan mereka sebelum ini.
Jika dahulu Feast dikenali dengan komentar sosial yang tajam, kini mereka tampil membuka sisi yang lebih rapuh dan manusiawi. Mereka berbicara tentang kegagalan, ketakutan, harapan, konflik dalaman dan pencarian makna diri yang dialami sepanjang perjalanan sebagai individu dan seniman.
Naratif tersebut diterjemahkan menerusi empat babak persembahan yang disusun dengan begitu teliti. Setiap segmen membawa penonton menelusuri proses membina, meruntuhkan dan membentuk semula identiti bagai satu perjalanan yang selari dengan evolusi kreatif kumpulan itu sendiri.
Dari sudut produksi, persembahan ini boleh dianggap antara yang paling mengagumkan pernah dipersembahkan oleh Feast di Malaysia.
Tata cahaya sinematik, visual yang provokatif serta rekaan pentas yang terperinci berjaya memperkukuhkan emosi setiap lagu. Ada ketika suasana terasa megah dan penuh harapan, namun dalam beberapa minit berikutnya berubah menjadi gelap, resah dan penuh tanda tanya.

Antara sorotan terbesar malam itu ialah kemunculan kumpulan pancaragam yang mengiringi persembahan Gugatan Rakyat Semesta. Elemen tersebut menambah lapisan dramatik yang menjadikan lagu berkenaan tampil lebih gagah dan monumental.
Tidak kurang mengagumkan ialah persembahan Tarian Penghancur Raya yang diperkaya dengan kehadiran penari profesional, sekali gus menghidupkan simbolisme serta mesej yang terkandung dalam karya tersebut.

Memasuki babak ketiga dan keempat, emosi penonton terus diuji menerusi Ouroboros, Dalam Hitungan, Menghancurkan, Langitruntuh dan Arteri sebelum suasana perlahan-lahan berubah menjadi lebih sentimental.
Kemuncak sebenar hadir apabila Feast mempersembahkan deretan lagu kegemaran ramai seperti Nina, O, Tuan, Kami Belum Tentu dan Tarot.
Pada ketika itu, sempadan antara artis dan penonton seakan-akan lenyap sepenuhnya. Seluruh ruang Zepp KL bersatu dalam nyanyian beramai-ramai yang penuh penghayatan, menghasilkan momen yang sukar diterjemahkan dengan kata-kata.
Ketika nota terakhir bergema dan lampu pentas mula malap, jelas bahawa Feast telah mencapai sesuatu yang lebih besar daripada sekadar menghiburkan ribuan peminat.
Mereka berjaya mencipta sebuah pengalaman kolektif yang menghimpunkan emosi, kenangan, harapan dan refleksi kehidupan dalam satu ruang yang sama.

Sebagai lokasi penutup jelajah Membangun & Menghancurkan, Kuala Lumpur bukan sahaja menjadi saksi kepada sebuah persembahan yang memukau, malah menjadi titik akhir kepada sebuah perjalanan artistik yang menghubungkan Jakarta, Surabaya dan akhirnya Malaysia dalam satu garis emosi yang sama.
Melalui Membangun & Menghancurkan, Feast membuktikan bahawa muzik mempunyai kuasa yang jauh melampaui hiburan. Ia mampu menjadi ruang untuk membina harapan, meruntuhkan ketakutan, menyembuhkan luka yang lama terpendam dan akhirnya membantu manusia menemukan semula makna dalam perjalanan hidup mereka.
