June 9, 2026

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

Marsha Pilihan Istimewa Ungu

Spread the love

Penyanyi terkenal, Marsha Milan bakal mencipta satu lagi momen penting dalam perjalanan seninya apabila dipilih secara peribadi oleh kumpulan legenda Indonesia, Ungu, untuk tampil sebagai artis jemputan khas pada konsert Ungu 3 Dasawarsa: Special Night in Kuala Lumpur yang akan berlangsung di Idea Live Arena pada 5 September depan.

Pengumuman itu sekali gus menambah keterujaan peminat menjelang konsert meraikan ulang tahun ke-30 perjalanan seni kumpulan yang popular dengan lagu hit seperti Demi Waktu, Tercipta Untukku, Seperti Yang Dulu dan Cinta Dalam Hati.

Apa yang menarik, pemilihan Marsha bukan dibuat oleh penganjur, sebaliknya datang daripada anggota Ungu sendiri yang mengagumi kekuatan vokal dan kemampuan penyanyi itu menyampaikan emosi menerusi setiap lagu yang dipersembahkan.

Menurut Ungu, mereka sudah lama mengikuti perkembangan seni Marsha dan percaya penyanyi kelahiran Sabah itu mempunyai aura tersendiri yang mampu melengkapkan suasana konsert yang sarat dengan elemen nostalgia dan emosi.

“Marsha mempunyai suara yang emosional dengan karakter yang kuat ketika menyampaikan lagu. Kami percaya beliau mampu membawa energi untuk malam ini.

“Kami benar-benar teruja untuk berkongsi pentas bersama Marsha di Kuala Lumpur dan tidak sabar untuk mencipta momen yang indah bersama peminat Malaysia,” kata mereka.

Pemilihan Marsha dilihat sebagai satu pengiktirafan besar buat penyanyi berkenaan yang kini berada pada fasa terbaik dalam kariernya selepas mencipta pelbagai kejayaan di peringkat tempatan dan antarabangsa.

Kehadirannya juga dijangka memberi dimensi berbeza kepada persembahan malam itu, terutama apabila peminat mula membayangkan kemungkinan kolaborasi eksklusif antara Marsha dan Ungu menerusi lagu-lagu popular kumpulan terbabit.

Sementara itu, Pengarah Konsert, Zairul Addry Helmy daripada COMs. Creative Studio berkata, penglibatan Marsha adalah antara elemen yang bakal menjadikan konsert berkenaan lebih istimewa.

“Apabila Ungu sendiri memilih Marsha sebagai artis jemputan, kami tahu kombinasi ini akan menjadi sesuatu yang sangat istimewa.

“Kami percaya penonton akan dapat menyaksikan sebuah kolaborasi yang bukan sahaja kuat dari segi vokal, tetapi juga penuh chemistry dan emosi,” katanya.

Dalam pada itu, sambutan terhadap konsert berkenaan terus memberangsangkan apabila jualan tiket dilaporkan sudah mencecah 50 peratus.

Susulan permintaan yang semakin meningkat, pihak penganjur turut merancang untuk membuka beberapa kategori tempat duduk baharu bagi memberi peluang kepada lebih ramai peminat menyaksikan persembahan bersejarah itu.

Konsert berkenaan akan membawa penonton menyelusuri perjalanan tiga dekad Ungu menerusi tiga segmen utama iaitu The Birth, The Peak dan The Legacy yang menggambarkan evolusi kumpulan itu daripada era awal penubuhan sehingga menjadi antara nama paling berpengaruh dalam muzik Nusantara.

Bagaimanapun, di sebalik segala keistimewaan yang dijanjikan, nama Marsha kini menjadi antara faktor utama yang membuatkan peminat semakin tidak sabar menantikan September.

Dengan kekuatan vokal yang dimilikinya serta reputasi sebagai antara penyanyi wanita terbaik negara, ramai percaya kehadiran Marsha mampu mencipta salah satu momen paling diingati dalam sambutan ulang tahun ke-30 Ungu di Kuala Lumpur.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page