June 5, 2026

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

Faizal Tahir Bawa “Suara Rakyat” Ke Unifi Arena Oktober Ini

Spread the love

Dari Pentas Realiti Hingga Menjadi Suara Generasi, Faizal Tahir Bakal Merangkum Dua Dekad Perjalanan Seni Dalam Sebuah Malam Yang Dijanjikan Penuh Emosi, Nostalgia Dan Makna

Kredit Foto:  Hitman Solutions

Dua puluh tahun lalu, seorang anak seni bernama Faizal Tahir muncul dengan keberanian luar biasa di pentas pertandingan realiti One In A Million. Ketika itu, tiada siapa menyangka figura yang tampil dengan karakter unik dan idea luar kotak itu bakal berkembang menjadi antara pengkarya paling berpengaruh dalam sejarah muzik moden negara.

Hari ini, selepas dua dekad mewarnai industri dengan karya yang bukan sekadar hiburan tetapi sarat mesej, inspirasi dan teguran sosial, Faizal bakal mengumpulkan segala perjalanan itu dalam sebuah naskhah istimewa berjudul “Faizal Tahir: Suara Rakyat” yang akan berlangsung di Unifi Arena, Bukit Jalil pada 3 Oktober depan.

Lebih daripada sebuah konsert, Suara Rakyat adalah sebuah refleksi. Ia umpama helaian demi helaian diari yang merakam jatuh bangun seorang seniman yang tidak pernah berhenti bereksperimen, mencabar norma dan memperjuangkan idealismenya menerusi muzik.

Jika ada satu perkara yang membezakan Faizal daripada kebanyakan penyanyi lain, ia adalah keberaniannya menyuarakan sesuatu yang lebih besar daripada dirinya sendiri.

Daripada lagu-lagu yang membangkitkan semangat, menyentuh isu kemanusiaan, memperkatakan realiti masyarakat hingga karya yang mengajak pendengar berfikir, Faizal sentiasa menjadikan muzik sebagai medium komunikasi antara dirinya dan rakyat.

Tidak hairanlah konsert yang dijadual berlangsung sempena ulang tahun ke-20 pembabitannya dalam industri muzik itu dinamakan Suara Rakyat.

Bagi Faizal, segala yang dicapai sepanjang dua dekad ini tidak mungkin berlaku tanpa sokongan peminat yang setia berdiri di belakangnya sejak hari pertama.

“Selama 20 tahun dalam industri dan menekuni karier ini, sesuatu yang sentiasa membuat saya hidup dan bergerak adalah sokongan peminat.

“Selepas agak lama tidak berinteraksi dalam skala besar, saya mahu menjadikan Suara Rakyat sebagai momen untuk kami menikmati karya yang telah dihasilkan, mengenang memori lalu dan mencipta kenangan baharu bersama.  Ini bukan tentang saya. Ini tentang kebersamaan kami. Tentang suara kami bersama,” katanya ketika ditemui media di The Campus Ampang pada 4 Jun lalu.

Kenyataan itu cukup menggambarkan falsafah di sebalik konsert berkenaan.

Malam 3 Oktober nanti bukan sekadar malam untuk peminat menyanyikan semula lagu-lagu popular seperti Gemuruh, Assalamualaikum, Mahakarya Cinta, Sampai Syurga atau Bencinta.  Sebaliknya, ia adalah peluang untuk mengimbau semula perjalanan seorang anak seni yang membina namanya melalui keberanian, kreativiti dan keyakinan terhadap kuasa sebuah karya.

Pengarah Urusan dan Pengasas Hitman Group, Rohit Rampal menyifatkan Faizal sebagai figura yang meninggalkan kesan besar dalam industri muzik tempatan sepanjang 20 tahun pembabitannya.

Menurut beliau, penganjuran Suara Rakyat bukan sekadar sebuah persembahan hiburan, tetapi penghargaan terhadap legasi yang dibina Faizal selama ini.

“Faizal Tahir telah memberi sumbangan dan meninggalkan impak yang cukup besar dalam sejarah industri muzik. Konsert ini adalah penghormatan kepada seorang karyawan seni yang sentiasa menghasilkan karya berkualiti serta peminat yang tidak pernah berhenti menyokong beliau,” katanya.

Apa yang pasti, peminat boleh menjangkakan sebuah persembahan yang membawa mereka menyelusuri pelbagai fasa perjalanan seni Faizal.

Daripada era awal kemunculannya sebagai penyanyi muda yang penuh kontroversi dan keberanian, sehinggalah menjadi komposer, penerbit serta pencipta lagu yang melahirkan pelbagai karya besar untuk dirinya dan artis lain, semuanya bakal dirangkum dalam satu malam yang cukup istimewa.

Menariknya, Faizal turut membuka ruang untuk menampilkan artis jemputan istimewa termasuk Biduanita Negara, Siti Nurhaliza sekiranya perancangan yang diatur dapat direalisasikan.

Namun bagi Faizal, siapa pun yang bakal berkongsi pentas dengannya nanti, fokus utama tetap terarah kepada hubungan yang telah terbina antara dirinya dan peminat selama 20 tahun.

Dalam dunia hiburan yang sentiasa berubah, Faizal Tahir kekal relevan bukan kerana sensasi atau populariti semata-mata.  Sebaliknya, beliau bertahan kerana keberanian untuk menjadi dirinya sendiri dan kesediaan untuk menggunakan muzik sebagai suara kepada mereka yang mungkin tidak mempunyai pentas untuk bersuara.

Tiket “Faizal Tahir: Suara Rakyat” akan mula dijual menerusi pra-jualan artis pada 9 Jun ini bermula jam 12 tengah hari, manakala jualan umum dibuka pada 10 Jun jam 3 petang.

Harga tiket ditawarkan antara RM98 hingga RM688 dan boleh didapati menerusi platform melalui www.hitmanlive.com.  Sebarang informasi mengenai Faizal Tahir: Suara Rakyat pula boleh diperoleh menerusi www.hitmanlive.com atau ikuti perkembangan di @hitmansolutions.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page