May 22, 2026

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

Kolaborasi Eksklusif Gegarkan Latihan Pestapora Malaysia 2026

Spread the love

Rhoma Irama X Maliq & D’Essentials, Masdo X Gerhana Skacinta Jadi ‘Game Changer’ Festival Serumpun

Festival rentas budaya Latihan Pestapora Malaysia 2026 bukan sekadar himpunan barisan artis popular Malaysia–Indonesia, sebaliknya tampil sebagai pentas eksperimental yang menjadikan kolaborasi eksklusif sebagai nadi utama penganjuran tahun ini.

Bertempat di Stadium Hoki Nasional, Kuala Lumpur Stadium Hoki Nasional pada 15 Ogos 2026, festival ini dianjurkan oleh Hitman Solutions bersama Boss Creator, dan dilihat membawa pendekatan berbeza berbanding festival muzik arus perdana lain.

Antara kolaborasi paling mencuri tumpuan ialah gandingan legenda dangdut Rhoma Irama bersama kumpulan jazz-pop moden Maliq & D’Essentials.

Perpaduan dua generasi dan genre ini dijangka menjadi antara momen paling “tak dijangka” apabila elemen dangdut klasik bertemu sentuhan neo-soul dan jazz kontemporari, sekali gus mencipta interpretasi baharu terhadap muzik serumpun.

Di sisi Malaysia pula, Masdo bergabung dengan Gerhana Skacinta dalam satu persembahan yang dijangka membawa penonton merentas dua era berbeza.

Masdo dengan nuansa retro pop 60-an, manakala Gerhana Skacinta pula dengan alunan ska dan reggae tempatan, gabungan ini dilihat berpotensi mencetuskan energi “crowd frenzy” di pentas utama.

Lebih unik, festival ini turut memperkenalkan kolaborasi tiga penjuru membabitkan Nadhif Basalamah, Aziz Harun dan Aisha Retno.

Persembahan ini dijangka menjadi segmen paling emosional dengan gabungan vokal balada moden dan R&B yang dekat dengan jiwa generasi muda.

Menurut penganjur, pendekatan kolaborasi ini bukan sekadar gimik pentas, sebaliknya dirangka untuk mencipta pengalaman muzik yang tidak boleh ditemui di mana-mana festival lain.

Ketua Projek Khas Hitman Solutions, Keerand D menegaskan, pemilihan gandingan dibuat berdasarkan keserasian muzik dan bukan sekadar populariti artis semata-mata.

“Kami mahu penonton melihat bagaimana muzik berbeza boleh ‘bercakap’ antara satu sama lain di pentas yang sama,” katanya.

Pengarah Festival Pestapora, Kiki Ucup pula menyifatkan Latihan Pestapora sebagai jambatan budaya yang kini berkembang menjadi platform eksperimen muzik serantau.

Katanya, kolaborasi eksklusif ini membuktikan hubungan muzik Malaysia–Indonesia bukan sahaja semakin rapat, malah semakin berani meneroka batas kreatif.

Tiket Latihan Pestapora Malaysia 2026 boleh didapati menerusi laman rasmi:
latihanpestaporamalaysia.com


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page