May 8, 2026

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

‘Hollywood Diaries’ Bukan Sekadar EP, Tetapi Diari Hidup KEETH

Spread the love

Pengalaman Di Los Angeles, Jiwa Rock Dan Pencarian Identiti Diterjemah Dalam Karya Paling Peribadi

Di sebalik bunyi gitar berat, riff agresif dan aura rock n roll yang dibawa KEETH menerusi EP terbaharunya Hollywood Diaries, tersembunyi sebuah kisah perjalanan hidup yang cukup peribadi.

Bagi KEETH, Hollywood Diaries bukan sekadar projek muzik baharu, tetapi sebuah jurnal emosi yang merakam perjalanan dirinya sebagai anak Malaysia yang mengembara merentasi budaya, pentas antarabangsa dan pencarian identiti seni di kota penuh mimpi, Los Angeles.

Dilancarkan menerusi sidang media eksklusif di Hard Rock Cafe Kuala Lumpur pada 7 Mei lalu, EP itu menjadi refleksi paling jujur terhadap kehidupan yang pernah dilalui penyanyi rock berkenaan sepanjang berada di luar negara.

“Album ini banyak berkisar tentang kehidupan saya di Los Angeles dan interpretasi saya terhadap apa itu rock n roll. Ia menceritakan pelbagai situasi dan emosi dalam satu pakej rock n roll. Setiap lagu mempunyai identitinya sendiri tetapi semuanya saling berkait,” katanya.

Berbeza dengan kebanyakan karya rock tempatan yang lebih tertumpu kepada semangat pemberontakan atau cinta, Hollywood Diaries hadir sebagai penceritaan tentang survival, ambisi dan konflik dalaman seorang pemuzik Malaysia yang cuba mencari tempat dalam dunia muzik antarabangsa.

KEETH mengakui pengalaman menetap dan berkarya di Los Angeles banyak mengubah perspektif hidup serta arah muziknya.

Kota yang cukup sinonim dengan budaya hiburan dunia itu membuka ruang buatnya mengenali pelbagai karakter manusia, budaya dan gaya hidup, sekali gus memberi kesan mendalam terhadap penulisan muziknya.

Daripada pengalaman bermain muzik di kelab kecil, bergaul dengan pemuzik antarabangsa hinggalah berdepan cabaran membina nama di bumi asing, semuanya diterjemahkan dalam Hollywood Diaries.

Lebih menarik, EP itu dirakam di beberapa lokasi berbeza termasuk Los Angeles, Indonesia dan Malaysia, menjadikan keseluruhan karya berkenaan memiliki identiti sonik yang luas dan berlapis.

Walaupun berakar daripada muzik rock berat, KEETH tidak menghadkan dirinya kepada satu acuan semata-mata. Sebaliknya, beliau menggabungkan pengaruh blues, gospel, balada emosional dan bunyi akustik yang lebih organik bagi mencipta pengalaman mendengar yang lebih dekat dengan emosi manusia.

Malah, antara karya yang paling mencuri perhatian dalam EP itu ialah Fallin’ (Oceans) yang disifatkan sebagai lagu paling dekat dengan dirinya.

Menurut KEETH, lagu itu bermula daripada puisi yang ditulisnya sendiri sebelum dikembangkan menjadi sebuah karya muzik yang penuh unsur emosi dan spiritual.

“Terdapat sebuah single istimewa dalam album ini berjudul Fallin’ (Oceans). Lagu ini mewakili spektrum emosi dan idea saya tentang cinta, dicampurkan dengan bunyi Indonesia dan muzik rock.

“Ia diinspirasikan oleh surfing, boating, penemuan budaya, muzik, bunyi dan manusia,” katanya.

Minat terhadap aktiviti laut serta pengalaman bersama perniagaan keluarga turut menjadi antara elemen penting yang membentuk jiwa lagu berkenaan.

Dalam masa sama, KEETH melihat Hollywood Diaries sebagai simbol keyakinan bahawa pemuzik Malaysia juga mampu berdiri sama tinggi dengan artis antarabangsa tanpa perlu mengorbankan identiti sendiri.

Baginya, dunia muzik hari ini tidak lagi mempunyai sempadan dan karya dari Malaysia mampu bergerak jauh sekiranya dibawa dengan kejujuran seni.

“Hari ini dunia saling berhubung secara digital. Apa yang saya mahu tunjukkan ialah pemuzik Malaysia mampu membawa muzik kita ke tahap antarabangsa tanpa batasan.  Saya berasal dari Malaysia. Letakkan saya di mana-mana pentas sekalipun saya bersedia untuk rock n roll,” katanya penuh yakin.

Dengan pengalaman antarabangsa yang dimiliki, termasuk pernah membuka persembahan untuk Steven Adler di Whisky a Go Go serta kejayaan muncul Naib Juara Asia New Beat Grand Finals di Bangkok baru-baru ini, KEETH kini dilihat bukan sekadar membawa muzik rock semata-mata.

Sebaliknya, beliau sedang membawa kisah seorang anak Malaysia yang berani mengejar impian hingga ke Hollywood dan kembali dengan sebuah karya yang lahir daripada pengalaman hidup sebenar.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page