Umbrella, Zamani dan Floor 88 Gegar Pentas UUM 6 Jun Ini
Selepas puluhan tahun mewarnai industri muzik tanah air dengan deretan lagu malar segar, kumpulan legenda Umbrella bakal kembali menghidupkan nostalgia peminat menerusi Konsert Seribu Rahmat Umbrella yang dijadual berlangsung pada 6 Jun depan di Dewan Mu’adzam Shah.
Konsert yang dianjurkan oleh Pertubuhan Bahtera Prihatin Rakyat Perlis itu bukan sekadar persembahan biasa, sebaliknya menjadi simbol perjalanan panjang Umbrella dalam mempertahankan legasi muzik balada Melayu sejak era 1990-an.
Bagi peminat setia kumpulan itu, konsert berkenaan dilihat sebagai sebuah “perjalanan masa” yang bakal mengembalikan kenangan ketika lagu-lagu seperti Ramalanku Benar Belaka, Bukalah Hatimu dan Akulah Teduhanmu mendominasi carta radio serta menjadi siulan di seluruh negara.

Vokalisnya, Zarul Husin, mengakui konsert berkenaan cukup dekat di hatinya kerana ia membawa semula emosi dan memori sepanjang perjalanan seni Umbrella.
“Ini kali pertama Umbrella mengadakan konsert di UUM dan ia sangat bermakna buat kami. Lebih istimewa apabila pemain bass Umbrella sendiri merupakan kakitangan universiti terbabit.
“Kami akan mempersembahkan kira-kira 13 lagu yang diambil daripada album Seribu Rahmat dan Hujan Panas. Ketika sesi latihan, saya sendiri terasa sebak kerana sudah terlalu lama tidak menyanyikan lagu-lagu itu secara penuh di pentas besar,” katanya.
Menurut Zarul, pemilihan lagu dibuat dengan cukup teliti bagi memastikan setiap karya yang dipersembahkan mampu membawa peminat mengimbau zaman kegemilangan Umbrella suatu ketika dahulu.
“Kami mahu penonton merasai jatuh bangun perjalanan seni Umbrella. Lagu-lagu yang dipilih semuanya mempunyai nilai sentimental yang sangat kuat.
“Mungkin juga kami akan selitkan lagu daripada album Payung Sakti selain beberapa segmen istimewa lain. Ini benar-benar hadiah buat peminat yang tidak pernah berhenti menyokong kami sejak awal 90-an,” katanya.
Konsert berdurasi lebih dua jam setengah itu dijangka menjadi antara persembahan terbesar Umbrella dalam beberapa tahun kebelakangan ini, dengan lebih 20 lagu bakal dipersembahkan sepanjang malam.
Selain kekuatan vokal dan susunan muzik nostalgia, konsert itu turut menampilkan pendekatan moden apabila penggunaan teknologi Kecerdasan Buatan (AI) bakal digunakan untuk menghasilkan video flashback perjalanan seni Umbrella.
Paparan khas itu akan memuatkan rakaman arkib lama, visual di sebalik tabir dan kenangan awal pembabitan kumpulan berkenaan dalam industri muzik tempatan yang diolah semula secara digital.

Apa yang lebih menarik, peminat juga bakal menyaksikan kolaborasi istimewa antara Umbrella dan Zamani menerusi persembahan medley eksklusif yang menghimpunkan lagu-lagu hit kedua-dua figura besar muzik balada tanah air itu.
Walaupun turut menampilkan Floor 88 sebagai artis jemputan, fokus utama konsert tetap terarah kepada perjalanan dan legasi Umbrella sebagai antara kumpulan yang pernah mencetus fenomena luar biasa dalam industri muzik tempatan.
Dengan sentuhan kreatif komposer terkenal Dr Azmeer sebagai penerbit kreatif, persembahan itu dijangka hadir dengan kualiti audio dan susunan muzik bertaraf tinggi.
Tiket konsert kini mula dijual mengikut tiga kategori iaitu Zon Ramalanku Benar Belaka (RM150), Zon Bukalah Hatimu (RM100) dan Zon Akulah Teduhan Mu (RM50) dengan konsep tempat duduk bebas berasaskan ‘first come, first seat’.
