Nassar Bawa Spektakular Dangdut ke Kuala Lumpur, Shiha Zikir Tambah ‘Perencah’
Ibu negara bakal disajikan dengan sebuah persembahan penuh warna apabila penyanyi sensasi Indonesia, Nassar, tampil dengan konsert eksklusif “Voice of the ‘KING’ Nassar Live in Malaysia” pada 31 Julai ini.
Dikenali dengan gelaran “King Nassar”, figura bernama penuh Nassar Fahad Ahmad Sungkar itu bukan asing dalam dunia hiburan Nusantara. Keunikan vokalnya yang lantang, digabungkan dengan gaya flamboyan serta karisma pentas yang kuat, menjadikan beliau antara ikon dangdut-pop paling berpengaruh di rantau ini.
Konsert yang bakal berlangsung di Zepp Kuala Lumpur itu dijangka menghimpunkan pelbagai elemen menarik termasuk susunan muzik moden berteraskan pop fusion, visual pentas dinamik serta sentuhan dramatik yang menjadi identiti persembahannya.
Lebih daripada sekadar nyanyian, Nassar juga terkenal dengan keupayaannya berinteraksi secara santai bersama penonton, disulami elemen komedi spontan yang sering mencuri perhatian setiap kali beliau muncul di pentas.
Antara lagu popular yang dijangka dipersembahkan termasuk “Mati Lampu”, “Gejolak Asmara” serta beberapa lagi karya hit yang telah mengangkat namanya di persada muzik serantau.
Menambah keistimewaan malam tersebut, penyanyi tempatan bersuara lantang, Shiha Zikir, akan tampil sebagai artis jemputan khas. Kehadiran Shiha dilihat mampu memberi dimensi berbeza kepada konsert ini, malah tidak mustahil akan tercipta kolaborasi duet yang dinanti-nantikan peminat.
Dari segi harga tiket, penganjur menawarkan beberapa kategori mengikut keselesaan dan pengalaman yang diinginkan penonton. Pakej paling eksklusif, Royal Box berharga RM6,888 didatangkan bersama hidangan makanan dan minuman, manakala kategori lain seperti Gendang (RM388), Goyang (RM288), Suling (RM258) dan Irama (RM188) memberi pilihan lebih luas kepada peminat.

Zon Goyang dijangka menjadi tumpuan utama bagi mereka yang ingin merasai pengalaman lebih dekat dengan persembahan, sementara Royal Box pula menawarkan suasana premium untuk penonton yang mahukan keselesaan maksimum.
Konsert ini dianjurkan oleh Satu8 bersama Black Sky Entertainment dengan sokongan Tourism Malaysia serta Orlaith Inc sebagai rakan strategik.
Kerjasama ini mencerminkan usaha berterusan dalam memperkukuh hubungan industri hiburan Malaysia dan Indonesia, selain membawa pengalaman konsert bertaraf antarabangsa kepada peminat tempatan.
Tiket boleh didapati menerusi laman sesawang rasmi di https://kingnassarconcert.com dan orang ramai disarankan mendapatkan tiket lebih awal bagi mengelakkan kekecewaan.
