April 29, 2026

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

Syamel Tampil Berani Dengan “PERTAMA”, Buka Fasa Baharu Karier Seni

Spread the love

Selepas dikenali menerusi deretan lagu balada yang menonjolkan kekuatan vokalnya, penyanyi Syamel kini tampil dengan sisi berbeza apabila mempertaruhkan single terbaharu berjudul PERTAMA, yang dilihat sebagai titik perubahan dalam perjalanan seninya.

Lagu ciptaan dan terbitan Edry Abdul Halim itu menyaksikan Syamel keluar daripada zon selesa apabila membawakan karya berentak lebih segar, moden serta bernuansa groovy, sekali gus memperlihatkan kematangan baharu sebagai penghibur versatil.

Jika sebelum ini namanya sering dikaitkan dengan lagu beremosi dan penuh jiwa, PERTAMA pula hadir dengan suntikan tenaga lebih santai, yakin serta sarat elemen gaya yang menyerlahkan personaliti sebenar penyanyi itu.

Mengangkat tema cinta pandang pertama, lagu berkenaan membawa maksud lebih luas dan dekat dengan kehidupan seharian. Ia bukan sekadar berkisar tentang perasaan terhadap seseorang, sebaliknya turut menyentuh rasa kagum serta keterujaan apabila melihat sesuatu yang terus menawan hati pada pandangan pertama.

Menurut Syamel, perasaan itu sukar diterjemah dengan kata-kata, namun cukup kuat untuk mencetuskan rasa bahagia dan harapan.

“Kadang-kadang bila kita tengok sesuatu, terus datang satu rasa yang susah nak diterangkan, tapi hati terus klik. Itulah perasaan yang saya cuba sampaikan dalam lagu ini,” katanya.

Tidak sekadar mempertaruhkan kekuatan audio, PERTAMA turut hadir dengan muzik video berkonsep sinematik yang unik dan segar.

Ia mengisahkan pertemuan ringkas dua individu asing yang berkembang menjadi kisah cinta sempurna, sebelum penonton dikejutkan dengan hakikat bahawa segalanya hanyalah imaginasi yang tercipta dalam sekelip mata.

Pendekatan visual itu menggambarkan bagaimana satu detik singkat mampu meninggalkan kesan besar apabila perasaan hadir terlalu pantas dan mendalam.

Muzik video terbabit turut dimeriahkan dengan penampilan pempengaruh tempatan Aya Amiruddin dan Sharmaine Alexander yang membawa elemen kontemporari serta daya tarikan tersendiri.

Dalam masa sama, Syamel mengakui kerjasama bersama Edry memberi pengalaman baharu terutama dari segi cara penyampaian vokal.

“Edry banyak tekankan soal feel dan attitude. Dia mahu saya tampil dengan energi berbeza, dan itu yang menjadikan lagu ini sangat menarik untuk diterokai,” katanya.

Lebih bermakna, PERTAMA juga disifatkan sebagai penghargaan buat peminat setia yang terus berdiri di belakangnya sejak awal pembabitan dalam industri.

“Mereka yang nampak saya sebelum orang lain nampak. Jadi lagu ini saya tujukan buat mereka yang pertama dalam hati saya,” katanya.

Syamel berkata, lagu berkenaan hanyalah permulaan kepada perancangan lebih besar yang sedang disusun.

“Ini adalah permulaan kepada satu perjalanan baharu. Akan ada banyak cerita, emosi dan kejutan yang saya nak kongsi selepas ini,” katanya.

Single PERTAMA kini sudah boleh didengari di semua platform penstriman digital, manakala tarikh pelancaran rasmi muzik video akan diumumkan menerusi media sosial rasmi Syamel.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page