April 28, 2026

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

Evanescence Kembali Gegar Kuala Lumpur Selepas 14 Tahun

Spread the love

Kumpulan rock alternatif terkenal dari Amerika Syarikat, Evanescence, bakal kembali menggegarkan Malaysia selepas 14 tahun, menerusi konsert istimewa “One Night Only” yang dijadual berlangsung pada 28 November ini di National Hockey Stadium.

Kemunculan semula kumpulan yang diterajui vokalis Amy Lee itu bukan sekadar satu lagi hentian jelajah, sebaliknya disahkan sebagai satu-satunya persembahan mereka di Asia Tenggara bagi Jelajah Dunia 2026.

Kali terakhir Evanescence beraksi di Kuala Lumpur adalah pada 2012 di KL Live dengan kehadiran kira-kira 3,000 peminat. Namun kali ini, penganjuran di stadium terbuka di Bukit Jalil dijangka menarik kehadiran jauh lebih besar, termasuk peminat dari negara jiran seperti Singapura, Indonesia dan Thailand.

Perpindahan daripada lokasi tertutup ke stadium terbuka memberi ruang kepada produksi yang lebih besar, termasuk penggunaan pencahayaan sinematik serta susunan muzik yang lebih dramatik, selari dengan identiti muzik kumpulan itu yang terkenal dengan elemen gothic dan orkestra.

Walaupun jelajah ini turut mempromosikan material terbaharu, laporan awal menunjukkan senarai lagu bakal menampilkan gabungan karya lama dan baharu.

Antara lagu yang dijangka menjadi tumpuan termasuk “Bring Me to Life”, “Going Under” dan “My Immortal”, selain lagu lebih terkini seperti “Afterlife” dan “Better Without You” yang menonjolkan sisi lebih berat dan moden kumpulan tersebut.

Dalam masa sama, peminat juga boleh menjangkakan beberapa lagu baharu daripada kitaran album terkini mereka.

Konsert ini dianjurkan oleh Hello Universe, yang sebelum ini berjaya mengendalikan acara berskala besar termasuk residensi My Chemical Romance di negara ini.

Jualan tiket akan dibuka pada 8 Mei 2026 bermula jam 10 pagi menerusi platform GoLive Asia, dengan had maksimum enam tiket bagi setiap transaksi. Zon berdiri pula hanya dibuka kepada peminat berusia 14 tahun ke atas.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page