Robot Mendarat Di Malaysia! Mediaberg Bawa Fenomena Daft Punk Discovery Gegar JioSpace
Malam Nostalgia Elektronik Sarat Visual Futuristik, Lagu Ikonik Dan Pengalaman Imersif 2 Jam
Gelombang muzik elektronik bakal meledak di Malaysia apabila Mediaberg tampil membawa sebuah acara luar biasa bertaraf antarabangsa menerusi DAFT PUNK DISCOVERY – DIGITAL LOVE WORLD TOUR LIVE IN MALAYSIA yang dijadual menggegarkan JioSpace, Petaling Jaya pada 11 Julai 2026.
Bukan sekadar konsert biasa, sebaliknya sebuah ledakan pengalaman audio visual yang menjanjikan malam penuh magis, futuristik dan nostalgia buat peminat muzik elektronik tanah air.

Dengan slogan For The Fans, From The Fans, Mediaberg menjanjikan sebuah naskhah persembahan yang meraikan legasi duo robot paling berpengaruh dalam sejarah muzik dunia, Daft Punk, yang pernah mengubah wajah budaya kelab malam, festival dan arena hiburan global.
Buat julung kali di Malaysia, peminat bakal dibawa menyelusuri dimensi muzik elektronik menerusi produksi mega lengkap dengan tata cahaya berteknologi tinggi, visual futuristik, sistem bunyi bertenaga dan suasana imersif yang mampu membuatkan setiap pengunjung tenggelam dalam dunia robotik penuh sensasi.
Lebih mengujakan, malam berprestij itu akan dipenuhi deretan karya agung yang menjadi nadi kegilaan peminat seluruh dunia seperti One More Time, Get Lucky, Harder Better Faster Stronger, Around The World serta karya epik Giorgio by Moroder.
Setiap dentuman bass, pancaran laser dan ledakan ritma bakal menghidupkan semula era keemasan muzik tarian yang pernah mendominasi dunia.

Tidak cukup dengan itu, acara berkenaan turut menampilkan set persembahan selama dua jam dengan kemunculan karakter robot ikonik eksklusif untuk Malaysia selain kehadiran DJ jemputan khas yang bakal memanaskan atmosfera JioSpace ke tahap maksimum.
Bagi peminat tegar Daft Punk, inilah peluang paling hampir untuk merasai semula aura dan tenaga muzik yang pernah mencetus revolusi global. Bagi generasi baharu pula, inilah malam terbaik untuk memahami mengapa nama Daft Punk terus disanjung sebagai legenda.
Jualan tiket Pendaftaran Akses Keutamaan Mediaberg kini dibuka hingga 29 April 2026, jam 12 tengah hari menerusi www.mediaberg.com. Manakala Jualan Keutamaan Mediaberg bermula pada 30 April 2026 | 12 tengah hari hingga 11.59 malam dan Jualan Umum pada 1 Mei 2026 | 11 pagi sehingga acara bermula.

