April 25, 2026

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

BYON Combat Showbiz 7 Bawa Gelombang Baharu Sukan Tempur Ke Malaysia

Spread the love

Platform sukan tempur popular dari Indonesia, BYON, terus mengorak langkah apabila buat julung kalinya membawa acara mega mereka ke Malaysia menerusi BYON Combat Showbiz 7, sekali gus menandakan kemasukan rasmi jenama itu ke pasaran tempatan.

Sebagai platform sukan tempur 360 darjah, BYON komited memperkasa bakat muda serta membangunkan ekosistem sukan tempur di rantau Asia. Siri BYON Combat Showbiz merupakan acara utama mereka yang menggabungkan pertarungan bertaraf dunia melibatkan disiplin seperti tinju dan kickstriking, bersama elemen hiburan berskala besar.

Kejayaan BYON sebelum ini cukup luar biasa apabila merekodkan lebih 536,000 pembelian Pay-Per-View (PPV) menerusi platform Vidio bagi edisi terdahulu, selain meraih ratusan juta tontonan di platform digital.

Edisi ketujuh kali ini bakal menampilkan barisan petarung elit dari Malaysia dan Indonesia, termasuk beberapa perebutan gelaran berprestij seperti ICB International Belt dan Byon Kickstriking Asia Title.

Tumpuan utama pastinya terarah kepada aksi ulangan antara Putra Abdullah dan Ronal Siahaan selepas pertemuan pertama mereka berakhir seri selepas lima pusingan sebelum dihentikan akibat kecederaan.

Pertembungan semula itu dijangka menjadi kemuncak malam acara apabila kedua-dua petarung bakal merebut gelaran sulung Byon Kickstriking Asia Title.

Turut mencuri perhatian ialah:

  • Fahri Alamsyah vs Kabilan Jelevan – Aksi rematch berprofil tinggi selepas Fahri pernah menewaskan Kabilan sebelum pencabar itu bangkit dengan kemenangan dominan dalam aksi berikutnya.
  • Nidal Mahmoud vs Adam Maulana – Perebutan ICB International Belt, dengan Nidal tampil sebagai juara bertahan.
  • Ammarul Shafiq vs Haris Sofyan – Juara IFMA Malaysia, Ammarul, bakal berdepan Haris dari Indonesia dalam pertarungan penuh intensiti.
  • Winona Karamoy vs Emmabel Cassandra – Aksi wanita yang menemukan petinju tanpa kalah dari Indonesia menentang atlet Muay Thai berpengalaman dari Malaysia.

Selari dengan identiti “showbiz”, acara ini bukan sekadar menampilkan aksi dalam gelanggang, sebaliknya menjanjikan pengalaman hiburan menyeluruh termasuk produksi visual bertaraf antarabangsa, sesi interaktif bersama peminat, sidang media rasmi, face-off dan timbang berat badan rasmi.

Ketua Pegawai Eksekutif Kharisma Music International, Ahmad Jeffny, berkata pihaknya berbangga dapat bekerjasama dengan BYON membawa acara berprestij itu ke Malaysia.

“Kami amat berbesar hati untuk bekerjasama dengan BYON dalam membawa BYON Combat Showbiz 7 ke Malaysia. Ini bukan sekadar acara sukan tempur, tetapi satu pengalaman hiburan bertaraf antarabangsa.”

Menurutnya lagi, Malaysia memiliki komuniti peminat sukan tempur yang semakin berkembang dan acara itu diyakini mampu memperkukuh kedudukan negara sebagai destinasi sukan global.

Kemasukan BYON ke Malaysia dilihat mampu menjadi pemangkin besar kepada industri sukan tempur tempatan dengan membuka lebih banyak peluang kepada atlet serta penganjur serantau.

Naib Presiden Kanan Perolehan Kandungan & Kerjasama Vidio, Dhini W. Prayogo, berkata pihaknya berbangga menjadi rakan penstriman rasmi bagi acara berkenaan.

“Kami berbangga untuk terus menyokong perkembangan BYON serta pengembangan antarabangsa pertamanya ke Malaysia menerusi penstriman PPV eksklusif di Vidio.”

Tiket kini boleh didapati secara dalam talian menerusi tixr.com dengan harga bermula RM75 hingga RM650, manakala pilihan Pay-Per-View (PPV) turut disediakan di platform Vidio untuk peminat yang ingin menonton secara digital.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page