Ungu Pilih Kuala Lumpur Rai 30 Tahun Karier
Selepas tiga dekad mewarnai industri muzik Nusantara dengan deretan lagu malar segar dan jutaan peminat setia, kumpulan terkenal Indonesia, Ungu bakal kembali mengubat rindu peminat tempatan menerusi konsert eksklusif Ungu 3 Dasawarsa: Special Night in Kuala Lumpur pada 5 September depan.
Konsert yang diumumkan secara rasmi dalam sidang media di Warung Sekawan, di sini, itu bukan sekadar persembahan biasa, sebaliknya menjadi simbol penghargaan terhadap perjalanan seni Ungu yang kekal relevan selama 30 tahun.
Ditubuhkan pada Julai 1996, Ungu yang dianggotai Pasha (vokal), Enda (gitar), Oncy (gitar), Makki (bass) dan Rowman (dram) berjaya membina nama besar menerusi karya hit seperti Demi Waktu, Tercipta Untukku, Andai Ku Tahu, Cinta Dalam Hati dan Seperti Yang Dulu.
Lagu-lagu mereka bukan saja mendominasi carta muzik di Indonesia, malah cukup dekat di hati peminat Malaysia sejak awal 2000-an.
Mengangkat tema 3 Dasawarsa, konsert itu bakal menjadi dokumentasi perjalanan seni Ungu bermula dari era awal kemunculan sehinggalah kini terus disanjung sebagai antara kumpulan paling berpengaruh di rantau ini.

Pengarah Konsert, Zairul Addry Helmy dari COMs Creative Studio berkata, konsert berkenaan dirancang khas sebagai hadiah buat peminat Malaysia yang sentiasa memberi sokongan padu kepada Ungu.
“Konsert ini diadakan sempena ulang tahun ke-30 Ungu dengan objektif meraikan peminat setia mereka di Malaysia. Dalam tempoh dua jam, Ungu akan mempersembahkan lagu-lagu terbaik mereka. Ia bukan sekadar konsert, tetapi dokumentasi perjalanan seni sepanjang tiga dekad,” katanya.
Bagi memberi pengalaman berbeza kepada penonton, persembahan malam itu akan dibahagikan kepada tiga segmen utama iaitu The Birth, The Peak dan The Legacy.

Setiap segmen akan membawa peminat mengimbau perjalanan Ungu daripada zaman awal perjuangan, era kemuncak populariti hingga ke fasa kematangan mereka sebagai legenda muzik serantau.
Penganjur turut menjanjikan elemen visual menarik serta kejutan istimewa yang akan menjadikan malam berkenaan lebih bermakna.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif DM Diamond Entertainment, KS Tan berkata, kejayaan Ungu bertahan sehingga kini bukan hanya disebabkan muzik semata-mata.
“Untuk bertahan selama tiga dekad, ia menuntut kekuatan mental, kesetiaan dalam persahabatan dan kemampuan menempuh jatuh bangun industri. Nilai brotherhood itulah kekuatan sebenar Ungu,” katanya.
Lebih menarik, konsert berkenaan turut bakal menampilkan lima artis jemputan khas yang dipilih sendiri oleh Ungu. Nama artis terbabit akan diumumkan secara berperingkat dalam masa terdekat.
Sebanyak tujuh kategori tiket akan ditawarkan termasuk pakej eksklusif Meet & Greet untuk peminat bertemu lebih dekat dengan anggota kumpulan itu.
Pakej berkenaan turut disertakan barangan rasmi edisi terhad seperti t-shirt, lanyard, keychain dan tote bag.
Jualan tiket dijangka bermula 27 April ini dengan tawaran harga Early Bird sebelum jualan umum dibuka.
