Pitahati ‘Sound’ Golongan Perasan Kebal, “Inchek Karma!” Memang Padu
Kredit Foto: Pitahati
Band alternatif tempatan yang terkenal dengan karya berani dan penuh sindiran, Pitahati, kembali menggegarkan industri muzik tempatan menerusi single terbaharu berjudul “Inchek Karma!” yang bakal dilancarkan pada 24 April ini di bawah naungan label Luncai Emas.
Jika sebelum ini mereka mencuri perhatian menerusi lagu “Ana Yang Punya (1 Ringgit 2 Ringgit)”, kali ini Pitahati hadir dengan ‘peluru’ lebih tajam apabila menyentuh soal manusia yang gemar berbuat sesuka hati, menindas orang lain dan berlagak kebal tanpa memikirkan kesan terhadap sekeliling.
Ringkasnya, lagu ini seolah-olah ditujukan kepada golongan yang suka ‘buat perangai’, tetapi lupa satu perkara penting setiap perbuatan pasti ada balasan.
“Inchek Karma!” membawa mesej universal mengenai hukum sebab dan akibat, di mana kebaikan akan dibalas baik, manakala kejahatan akhirnya akan memakan diri sendiri.
Walaupun tidak merujuk kepada mana-mana individu tertentu, isi lagu berkenaan cukup dekat dengan keadaan semasa dunia hari ini yang dipenuhi kerakusan kuasa, penganiayaan dan manusia yang semakin hilang rasa belas ihsan.
Malah, ramai boleh mentafsir karya ini sebagai sindiran ‘pedas’ terhadap individu berpengaruh yang bertindak sesuka hati, selain golongan toksik yang gemar memijak orang lain demi kepentingan diri.
Pitahati sememangnya dikenali sebagai kumpulan yang berani bermain dengan tema sosial dan politik, justeru tidak hairan jika kali ini mereka tampil lebih lantang menyampaikan keresahan menerusi muzik.

Dari sudut artistik, lagu ini juga sarat dengan simbolik tersendiri. Paling mencuri perhatian tentunya bunyi ayam berkokok di awal lagu yang bukan sekadar hiasan, sebaliknya membawa makna mendalam.
Ia boleh dianggap sebagai isyarat pagi sudah menjelma dan waktu pembalasan sudah tiba. Dalam masa sama, ia juga seakan menyindir masyarakat yang sedang ‘diayam-ayamkan’ atau dipermainkan tanpa sedar.
Lebih menarik, serentak dengan pelancaran digital nanti, Pitahati turut akan memperkenalkan video muzik rasmi (MV) pada hari sama bagi melengkapkan naratif lagu berkenaan.
Dengan kemunculan “Inchek Karma!”, Pitahati sekali lagi membuktikan muzik bukan sekadar hiburan, tetapi medium paling tajam untuk menyampaikan teguran.
Top of Form
Bottom of Form
