Cromok, Barbarik Bergabung Dalam Konsert Black On White 27 Jun Ini
Peminat muzik rock dan metal tempatan bakal disajikan dengan sebuah persembahan istimewa apabila dua nama besar, Cromok dan Barbarik, berganding dalam konsert Black On White Cromok-Barbarik yang akan berlangsung pada 27 Jun depan di IdeaLive, 3 Damansara, di sini.
Kemunculan dua kumpulan berpengaruh itu di atas satu pentas pastinya mencetus keterujaan tersendiri memandangkan kedua-duanya memiliki sejarah, pengaruh serta kelompok peminat yang besar dalam arena muzik keras tempatan.
Dianjurkan oleh KARL Legacy dengan kerjasama Pentas Barbarik, konsert berkenaan dilihat sebagai pertemuan dua kekuatan berbeza yang berkongsi satu misi sama iaitu terus mengangkat martabat muzik rock dan metal tempatan.
Apa yang pasti, malam berkenaan bukan sekadar menampilkan persembahan solo daripada setiap kumpulan, sebaliknya turut menjanjikan kolaborasi khas yang hanya dapat disaksikan pada konsert itu.
Cromok juga dijadual mempersembahkan single baharu mereka buat kali pertama secara langsung, manakala Barbarik tidak ketinggalan membawa karya terbaharu untuk diperdengarkan kepada peminat.

Gitaris Barbarik, Jo, berkata penganjuran konsert itu cukup bermakna kerana menghimpunkan dua kumpulan yang mempunyai perjalanan seni tersendiri.
“Konsert ini lebih daripada sekadar persembahan biasa. Ia menemukan dua nama yang sudah lama membina pengaruh masing-masing dalam industri.
“Apabila kami bergabung di atas satu pentas, sudah tentu hasilnya berbeza dan kami mahu peminat menikmati pengalaman yang akan diingati,” katanya.
Menurut Jo, peluang berkongsi pentas dengan Cromok turut membuka ruang kepada idea baharu dan persembahan di luar kebiasaan.
“Peminat akan melihat sisi lain kami, termasuk kolaborasi yang mungkin tidak pernah mereka jangkakan,” katanya.
Sementara itu, anggota Cromok, Karl, berkata konsert berkenaan turut membawa pembaharuan dari segi persembahan apabila mereka menggunakan sistem digital sepenuhnya.
“Kami tampil dengan konsep No Noise Digital Stage, iaitu persembahan berasaskan teknologi digital sepenuhnya.
“Tiada penggunaan dram akustik atau amplifier gitar di atas pentas. Sebaliknya kami menggunakan mikrofon, peranti digital dan sistem in-ear monitors.
“Pendekatan ini memberi kawalan audio yang lebih baik, bunyi lebih bersih dan pengalaman mendengar yang lebih berkualiti kepada penonton,” katanya.
Tambah beliau, konsert itu juga menjadi platform untuk memperkenalkan inovasi serta menyokong penggunaan jenama dan teknologi tempatan dalam industri muzik.

Tiket ditawarkan pada harga RM175 (CAT 1), RM195 (CAT 2), RM250 (CAT 3), RM350 (CAT 4), RM480 (CAT 5) dan RM998 bagi pakej VIP (CAT 6).
Pembelian tiket boleh dibuat menerusi MyArteez bagi kategori CAT 1, CAT 2 dan CAT 6, manakala Fantopia menyediakan tiket untuk kategori CAT 3, CAT 4 dan CAT 5.
Konsert Black On White Cromok-Barbarik turut mendapat sokongan daripada Kementerian Komunikasi menerusi MyCreative Ventures.
