April 22, 2026

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

Billkiss Kembali ‘Cairkan’ Hati Peminat Dengan Lagu Cinta Digital

Spread the love

Kumpulan pop alternatif dari Indonesia, Billkiss, kembali mencuri perhatian peminat muzik serantau menerusi single terbaharu berjudul Layar Hati, sebuah karya romantis yang mengangkat realiti percintaan generasi masa kini.

Menariknya, Billkiss dibarisi barisan pemuzik berbakat iaitu Maulin selaku vokalis utama dan Helvi Eriyanti sebagai pemain bass, dua figura penting yang menjadi tunjang identiti muzik kumpulan berkenaan.

Menggabungkan melodi manis, susunan muzik segar dan lirik dekat dengan kehidupan, lagu berkenaan mengisahkan seseorang yang jatuh cinta pada pandangan pertama menerusi media sosial. Bermula sekadar melihat wajah insan idaman di skrin telefon, hubungan itu kemudian berkembang menjadi teman bicara, sahabat setia dan akhirnya pasangan hidup.

Dalam dunia serba digital hari ini, kisah seperti itu bukan lagi sesuatu yang asing. Malah, ia menjadi inspirasi utama kepada pemain bass Billkiss, Helvi Eriyanti, yang mencipta lagu berkenaan.

“Ramai orang sekarang bertemu jodoh dari layar telefon. Pada awalnya hanya berbalas mesej dan melihat media sosial, lama-kelamaan menjadi hubungan sebenar. Dari situlah tercetus idea lagu ini,” katanya.

Single itu dirakam di Lancar Jaya Studio dengan sentuhan Acoy Rocker Kasarunk bersama Band Omom yang membantu dari segi susunan muzik. Proses adunan bunyi (mixing) turut dikendalikan Acoy bagi memastikan karya itu tampil lebih segar dan berkualiti.

Menurut vokalis Billkiss, Maulin, lagu berkenaan diharap mampu menjadi peneman kepada mereka yang sedang menikmati fasa indah percintaan.

“Kisah lagu ini sangat dekat dengan kehidupan sekarang. Semoga Layar Hati diterima ramai dan menjadi soundtrack perjalanan cinta banyak orang,” katanya.

Billkiss bukan pendatang baharu dalam industri muzik Indonesia. Kumpulan yang membawa konsep pop alternatif itu dikenali menerusi karya-karya berjiwa lembut, harmoni hangat dan penceritaan emosi yang dekat dengan pendengar.

Antara lagu mereka yang pernah mendapat perhatian termasuk Aku Kamu Tau, 25 Jam dan La Gila, yang menyentuh tema cinta, identiti diri serta renungan kehidupan.

Keistimewaan Billkiss terletak pada gabungan vokal yang nyaman, muzik moden dan lirik mudah dihayati, sekali gus menjadikan karya mereka mesra halwa telinga.

Pada 28 September 2025, Billkiss turut melakar satu lagi pencapaian penting apabila melancarkan album sulung berjudul Cerita #1, yang menjadi titik permulaan perjalanan seni mereka dengan pelbagai kisah yang membuka ruang kepada bab-bab seterusnya.

Menerusi Layar Hati, Billkiss sekali lagi membuktikan mereka masih relevan serta bijak membaca selera semasa, khususnya generasi muda yang banyak menjalinkan hubungan menerusi alam maya.

Single Layar Hati kini boleh dinikmati di semua platform penstriman digital.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page