Andi Bernadee ‘Terjah’ Soal Jodoh, Single Bukan Main-main Lagi Menerusi ‘Aku Nak Kahwin’
Penyanyi versatil, Andi Bernadee kembali mencuri perhatian industri muzik tempatan dengan single terbaharu berjudul “Aku Nak Kahwin”, sebuah karya santai tetapi sarat dengan realiti kehidupan sebenar golongan bujang yang sedang menanti jodoh.
Lagu ini bukan sekadar hiburan ringan, sebaliknya mengangkat isu yang dekat dengan masyarakat — keinginan untuk berkahwin apabila sudah bersedia, namun masih menunggu jodoh yang belum tiba. Dalam masa sama, ia turut menyentuh tekanan sosial daripada keluarga dan orang sekeliling yang sering menjadi “topik wajib” setiap kali berkumpul.
Menurut Andi, lagu ini hadir dengan mesej yang jujur dan sangat dekat dengan realiti ramai orang hari ini.
“‘Aku Nak Kahwin’ terasa sangat dekat dengan realiti ramai orang, terutamanya mereka yang sudah lama single dan bersedia untuk melangkah ke alam perkahwinan. Lagu ini membawa mesej yang jujur dengan lirik yang straightforward,” katanya.
Dalam landskap muzik semasa yang banyak didominasi kisah patah hati dan kecurangan, Andi melihat single ini sebagai satu nafas berbeza yang lebih positif dan ringan.
“Saya rasa kita agak kurang lagu dengan tema sebegini. Kebanyakan lagu di carta sekarang lebih kepada kisah putus cinta atau kecurangan. Jadi, ‘Aku Nak Kahwin’ hadir dengan vibe yang lebih ringan dan positif,” tambahnya.
Lebih menarik, lagu ini juga menyentuh realiti yang sering “diterima paksa” oleh generasi muda — soalan popular seperti “bila nak kahwin?” yang sering ditanya tanpa mengira situasi.
Bagi Andi, isu itu perlu ditangani dengan tenang dan tidak terlalu memberi tekanan kepada diri sendiri, sebaliknya bergantung kepada sokongan orang terdekat.
Dari sudut produksi, “Aku Nak Kahwin” tampil berbeza dengan gabungan elemen nyanyian dan rap yang memberi warna tersendiri kepada lagu tersebut. Walaupun kedengaran santai, ia tetap menuntut kawalan vokal dan pernafasan yang baik, menjadikannya satu cabaran yang menyeronokkan buat Andi.
Pelancaran single ini turut menjadi titik penting dalam perjalanan Andi bersama album penuh berjudul “Ding Geding”, selepas perancangannya tertangguh akibat masalah kesihatan sebelum ini.
Namun tempoh tersebut memberi ruang untuknya berehat dan kembali dengan semangat serta tenaga baharu sebelum kembali aktif dalam industri muzik.
“Saya bersyukur akhirnya dapat berkongsi karya ini kepada peminat. Saya harap ‘Aku Nak Kahwin’ memberi rasa positif dan menjadi pembukaan yang baik untuk album penuh saya nanti,” ujarnya.
“Aku Nak Kahwin” kini boleh didengari di semua platform penstriman digital bermula 17 April 2026.
