April 17, 2026

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

M.Nasir dan Melly Goeslaw Kongsi Pentas Menerusi Cipta 4

Spread the love

Pembelian Tiket Dibuka Mulai 24 April Menerusi Laman Ticket2u

Selepas mencipta fenomena menerusi tiga siri konsert di bawah jenama Cipta, maestro muzik negara Datuk M Nasir kembali dengan naskhah lebih eksklusif apabila bakal meraikan ulang tahun kelahirannya ke-68 bersama peminat menerusi konsert DATO’ M.N47IR CIPTA 4 di Unifi Arena, Kuala Lumpur, pada 4 Julai depan.

Konsert berskala besar itu dijangka menjadi antara persembahan paling dinanti tahun ini apabila menghimpunkan karya-karya malar segar Tok Nasir yang sudah berdekad mewarnai industri muzik tanah air.

Lebih menarik, sambutan ulang tahun kelahiran penyanyi, komposer dan penulis lirik tersohor itu akan turut diserikan kehadiran legenda muzik Indonesia, Melly Goeslaw, yang diumumkan sebagai artis jemputan khas.

Pengumuman rasmi konsert berkenaan dibuat dengan cara cukup unik dan kreatif apabila sidang media berlangsung di dalam tren Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) ketika perjalanan dari Stesen Kuala Lumpur menuju ke Stesen Ipoh pada 16 April lalu.

Acara khas dinamakan Ekspres Rakyat (Nasi Ganja) Tok Nasir Ke Ipoh itu berjaya mencuri perhatian ramai apabila bukan sahaja menggabungkan elemen santai dan nostalgia, malah turut menyaksikan kejutan besar dengan kemunculan Melly.

Beliau turut mendendangkan petikan lagu Fantasia Bulan Madu, karya ciptaan M Nasir yang cukup ikonik, selain lagu hit miliknya, Butterfly.

Pengasas Icon Entertainment, Iman Tang, berkata penganjuran Cipta 4 kali ini membawa misi lebih besar apabila menyatukan dua komposer hebat Nusantara di atas satu pentas.

“Salah seorang artis jemputan ialah pencipta lagu tersohor dari Indonesia dan kita satukan bersama M Nasir dalam satu konsert. M Nasir tidak pernah digandingkan secara ‘on air’ atau ‘off air’ bersama Melly Goeslaw. Jadi inilah keistimewaan Cipta 4 apabila menghimpunkan dua figura besar rantau ini.

“M Nasir mempunyai kira-kira 3,000 lagu, manakala Melly sekitar 700 karya. Sebagai penganjur, kami bukan sekadar memilih tarikh dan lagu, tetapi memastikan persembahan ini mempunyai standard tersendiri,” katanya.

Menurut Iman, pihaknya yakin gabungan dua nama besar itu akan memberi pengalaman berbeza kepada penonton selain membuka peluang kepada peminat menikmati karya Malaysia dan Indonesia dalam satu malam istimewa.

M Nasir pula berkata, segala perancangan konsert termasuk konsep persembahan sudah dibincangkan secara terperinci bagi memastikan ia memenuhi jangkaan peminat.

“Segala konsep dan apa yang akan ada pada malam konsert nanti sudah diperhalusi bersama Iman. Selepas kami berbincang, saya harap semuanya berjalan lancar.

“Kita hidup dalam masyarakat yang obses kepada keaslian. Jadi saya harap yang asli ini seperti siri Konsert Cipta akan terus berjaya dan menjadi kesukaan ramai,” katanya.

Konsert bertemakan Batik Injection itu dijangka menampilkan antara 30 hingga 40 lagu, termasuk segmen medley yang menjadi identiti utama siri Cipta sebelum ini.

Pemilihan tema tersebut juga dipercayai melambangkan gabungan tradisional dan moden yang sering menjadi kekuatan M Nasir dalam penghasilan karya sepanjang karier seninya.

Sementara itu, Melly yang terkenal dengan deretan lagu runut bunyi filem popular Indonesia mengakui teruja apabila menerima pelawaan untuk berkongsi pentas bersama Tok Nasir.

“M Nasir seorang komposer bernama besar di Malaysia. Ini penghormatan besar buat saya kerana diundang menjadi penyanyi jemputan dalam konsert beliau.

“Saya sangat suka dengan lagu-lagu M Nasir. Banyak karya beliau juga menjadi hit di Indonesia dan diminati peminat di sana.

“Selain menyanyi bersama, saya berharap suatu hari nanti kami berpeluang menghasilkan lagu bersama-sama. Itu pasti menjadi sesuatu yang sangat istimewa,” katanya.

Kenyataan Melly itu sekali gus menguatkan harapan peminat kedua-dua negara yang mahu melihat kolaborasi rasmi antara dua nama besar tersebut.

Untuk rekod, siri konsert Cipta sebelum ini mendapat sambutan luar biasa kerana menampilkan susunan muzik berkualiti tinggi, konsep pentas eksklusif serta pemilihan lagu-lagu yang dekat di hati peminat.

Justeru, Cipta 4 dijangka meneruskan momentum sama, malah berpotensi menjadi edisi paling istimewa memandangkan ia berlangsung sempena ulang tahun kelahiran Tok Nasir sendiri.

Jualan tiket akan dibuka mulai 24 April ini menerusi platform Ticket2u dengan semua kategori tempat duduk.

Harga tiket ditawarkan ialah RM238 – Mentera Semerah Padi, RM338 – Sekuntum Bunga Di Gurun Sahara, RM458 – Andainya Aku Pergi Dulu, RM488 – Mahligai Syahdu,RM528 – Sentuhan Kecundang dan RM588 – Cinta Kristal


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page