Papa Roach Ledak Idea Live Arena, Gegar Jiwa Peminat
Pencahayaan Dramatik, Sistem Audio Menggegarkan Dada, Persembahan Penuh Emosi Jadi Bukti Legenda Ini Masih Berbisa
Kredit Foto: Maesto Ridhwan
Malam 29 Mac lalu menjadi saksi bagaimana Papa Roach bukan sekadar tampil menghibur, tetapi benar-benar “membakar” Idea Live Arena dengan ledakan tenaga yang sukar ditandingi.
Seawal petang, lebih 3,000 peminat setia sudah mula membanjiri lokasi, membentuk gelombang manusia yang jelas dahagakan aksi pentas penuh adrenalin. Dianjurkan oleh Hitman Solutions, konsert Rise of the Roach Tour ini membuktikan bahawa nama Papa Roach masih utuh sebagai kuasa besar nuansa nu metal dunia.
Ketika lampu arena dipadamkan, suasana bertukar tegang. Tirai putih gergasi dengan bayangan lipas terbalik menjadi simbolik pembukaan sebelum ia gugur tepat saat riff pertama “Even If It Kills Me” mengaum ganas. Dentuman sistem audio terus merempuh gegendang telinga, manakala pancaran lampu strob, laser dan visual sinematik menyimbah pentas dengan nuansa dramatik yang memukau.

Di tengah ledakan itu, vokalis Jacoby Shaddix muncul sebagai nadi utama yang lincah, agresif dan penuh karisma. Dia tidak hanya berdiri di hadapan mikrofon, sebaliknya berlari dari satu hujung pentas ke hujung lain, memanjat riser dram, malah kerap berinteraksi rapat dengan peminat seolah-olah tiada jarak antara bintang dan audiens.
Di sisi lain, gitaris Jerry Horton tampil tenang tetapi berbisa. Setiap petikan riff yang dilepaskan kedengaran tajam dan padu, menjadi tulang belakang kepada keseluruhan persembahan. Gayanya yang bersahaja tidak menghalang impak besar yang dihasilkan malah setiap solo disambut sorakan gemuruh.

Bassist Tobin Esperance pula tidak henti bergerak, menghidupkan pentas dengan energi berterusan. Dengan lenggok permainan bass yang groove dan agresif, dia sering menghampiri bahagian hadapan pentas, mengajak penonton tenggelam dalam getaran muzik yang berdenyut.
Di belakang, Tony Palermo menjadi enjin yang menggerakkan keseluruhan persembahan. Hentakan drumnya keras, konsisten dan penuh kuasa malah setiap pukulan snare dan double kick bagaikan peluru yang memacu adrenalin penonton tanpa henti.

Set awal terus “menikam” memori lama menerusi “Blood Brothers” dan “Dead Cell”, sebelum disulam dengan deretan anthem seperti “…To Be Loved” dan “Kill the Noise”. Kombinasi ini menjadikan pentas seperti medan pertembungan dua era dimana nostalgia dan evolusi yang bersatu dalam satu ledakan yang terus memaku klhayak untuk terus larut bersama Papa Roach.
Sorotan pencahayaan memainkan peranan besar, berubah mengikut emosi lagu daripada rona merah membara kepada limpahan biru dingin yang menyelubungi jiwa. Setiap transisi bukan sekadar visual, tetapi penceritaan yang mengangkat intensiti persembahan ke tahap lebih tinggi.
Papa Roach turut memberi kejutan apabila mereka menyelitkan petikan lagu ikonik “California Love” oleh 2Pac, memberi sentuhan hip-hop klasik yang tidak dijangka, namun disambut dengan sorakan gemuruh peminat yang jelas menghargai penghormatan silang genre itu.
Momen paling magis tercipta apabila “Liar” bergema, diikuti gabungan “Forever” bersama “In the End” nyanyian Linkin Park. Seluruh arena bertukar menjadi satu koir raksasa, menyatukan ribuan suara dalam satu frekuensi emosi yang meremang bulu roma.

Namun, malam itu bukan sekadar tentang tenaga ia juga tentang jiwa. “Falling Apart” dipersembahkan dengan visual kesedaran pencegahan bunuh diri yang menyentuh perasaan, sebelum disusuli “Leave a Light On (Talk Away the Dark)” yang mencipta suasana hening penuh refleksi. Tanpa amaran, emosi kembali meledak dengan “Scars” lagu yang kini menjadi nadi kekuatan ramai peminat.
Babak encore menyaksikan aksi luar jangka apabila Jacoby turun ke tengah lautan manusia ketika “Infest”, mencetuskan kegilaan yang sukar dikawal. Lebih mengujakan, band ini menyelitkan riff ikonik seperti “Blind” oleh Korn, “My Own Summer” oleh Deftones, “Break Stuff” oleh Limp Bizkit dan “Chop Suey!” oleh System of a Down. Papa Roach mencipta satu penghormatan kepada akar nu-metal yang membentuk DNA mereka.

Kemuncak malam ditutup dengan “Last Resort”, lagu yang tidak pernah gagal menyatukan generasi. Dari barisan hadapan hingga ke belakang arena, semua bersatu dalam satu suara seraya menyaksikan satu pelepasan emosi yang membuktikan muzik mampu menjadi terapi paling ampuh.
Hakikatnya, apa yang disajikan di Malaysia bukan sekadar konsert. Ia adalah demonstrasi kuasa bagaimana Papa Roach terus menguasai pentas dengan karisma, pengalaman dan produksi bertaraf dunia.

Jika ini ukuran Rise of the Roach Tour, jelas legasi 25 tahun mereka bukan sahaja masih bernyawa malah terus menyala, lebih liar dan lebih menggila.
