March 12, 2026

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

‘Sale’ Mewah Hingga 80%: Valiram Himpunkan Lebih 100 Jenama Global Di JW Marriott KL

Spread the love

Kredit Foto: Azuddin

Peluang membeli barangan jenama mewah pada harga jauh lebih rendah kembali menjadi tumpuan apabila Valiram Friends & Family Sale kembali dianjurkan di Mayang Sari Ballroom, JW Marriott Kuala Lumpur dari 9 hingga 13 Mac ini.

Acara jualan yang sentiasa dinantikan peminat fesyen dan gaya hidup itu menghimpunkan lebih 100 jenama global daripada portfolio Valiram, dengan potongan harga sehingga 80 peratus bagi pelbagai produk premium.

Berlangsung setiap hari dari 10 pagi hingga tengah malam, jualan istimewa itu menampilkan pelbagai kategori produk termasuk fesyen mewah, aksesori, wangian dan kosmetik premium, jenama gaya hidup perjalanan, produk gourmet serta jam tangan Swiss.

Antara jenama terkenal yang boleh ditemui sepanjang acara ini termasuk Coach, Furla, Michael Kors, Tumi, Montblanc, Bally, Kate Spade, Tory Burch, Longchamp serta beberapa jenama wangian dan kecantikan antarabangsa yang popular di pasaran global.

Selain itu, peminat jam tangan mewah turut berpeluang melihat koleksi daripada jenama pembuatan jam tangan Swiss yang terkenal, menjadikan acara ini destinasi menarik bagi mereka yang menghargai gaya hidup premium.

Bagi memastikan pengalaman membeli-belah lebih eksklusif, ruang ballroom hotel berkenaan diubah menjadi beberapa laluan jenama yang disusun rapi, sekali gus mewujudkan suasana membeli-belah yang lebih selesa dan tersusun.

Melalui konsep tersebut, pengunjung boleh meneroka pelbagai jenama antarabangsa dalam satu ruang yang direka bagi memberikan pengalaman membeli-belah bertaraf mewah, seiring dengan reputasi Valiram sebagai antara kumpulan runcit mewah terkemuka di rantau ini.

Menurut penganjur, setiap produk yang dipamerkan dipilih dengan teliti bagi memastikan ia masih relevan dan berkualiti tinggi.

“Kebanyakan produk yang ditawarkan adalah daripada koleksi sekitar satu musim lalu. Kami tidak mahu menjual produk yang terlalu lama atau hampir tamat tempoh kerana matlamat utama adalah memastikan pelanggan menikmati pengalaman membeli-belah yang berkualiti,” katanya.

Menariknya, penganjur juga tidak mempamerkan semua koleksi pada hari pertama acara.

Strategi ini dilakukan bagi memberi peluang kepada pengunjung yang hanya dapat hadir pada hari-hari tertentu untuk menikmati pilihan jenama yang masih menarik.

“Biasanya jualan seperti ini diadakan pada hujung minggu, jadi semua produk perlu dipamerkan sekali gus kerana pengunjung datang dalam tempoh singkat.

“Namun kali ini ia berlangsung dari Isnin hingga Jumaat, jadi kami memperkenalkan pendekatan mempamerkan produk secara berperingkat supaya pelanggan yang datang kemudian masih mempunyai banyak pilihan,” katanya.

Selain menikmati tawaran harga menarik, pengunjung juga berpeluang menyertai pelbagai aktiviti dan promosi yang disediakan sepanjang acara berlangsung.

Antaranya, pelanggan yang berbelanja minimum RM700 menggunakan rakan pembayaran terpilih seperti HSBC, Maybank atau Atome akan menerima dua hadiah pembelian serta peluang menyertai aktiviti Spin-the-Wheel untuk memenangi ganjaran tambahan.

Bagi pelanggan yang berbelanja RM1,000 dan ke atas, mereka turut menerima baucar Godiva Soft Serve, selain peluang menyertai cabutan bertuah dengan hadiah utama iPhone 16 Pro.

Menurut penganjur, sambutan pada tahun ini juga menunjukkan perkembangan positif apabila jualan pada hari pertama sudah mengatasi prestasi awal tahun lalu.

“Menariknya, hari pertama tahun ini mencatatkan prestasi lebih baik berbanding hari Sabtu pada tahun lalu. Ini menunjukkan orang ramai sudah mengenali konsep jualan ini dan tidak mahu melepaskan peluang mendapatkan produk jenama mewah pada harga lebih berpatutan,” katanya.

Dengan gabungan jenama global, tawaran harga menarik serta pengalaman membeli-belah yang eksklusif, Valiram Friends & Family Sale terus mengekalkan reputasinya sebagai antara acara jualan runcit mewah yang paling dinantikan di Kuala Lumpur setiap kali dianjurkan.

Top of Form

Bottom of Form


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page