March 5, 2026

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

“Bila Nak Kahwin?” Jadi Idea Iklan Raya LOL, Sentuhan Nadhir Nasar Sarat Emosi

Spread the love

Sempena kehadiran Aidilfitri yang penuh makna, Laugh Out Loud Entertainment Sdn Bhd melancarkan iklan raya terbaharu berjudul “Bila” dalam satu sidang media yang berlangsung di Royal Chulan Damansara, pada 4 Mac lalu.

Dengan sokongan penaja rasmi Milo, iklan raya ini diarahkan oleh pelakon dan pengarah muda berbakat Nadhir Nasar yang menampilkan penceritaan ringan namun dekat dengan realiti kehidupan masyarakat.

“Bila” mengisahkan Siti, seorang wanita bekerjaya berusia 30 tahun yang melihat Aidilfitri bukan sekadar musim perayaan, tetapi juga musim tekanan. Setiap kali pulang ke kampung halaman, dia sering diasak dengan soalan yang cukup sinonim dalam kalangan masyarakat “Bila nak kahwin?”

Bagi mengelakkan tekanan tersebut, Siti mengambil langkah luar biasa dengan mengupah ‘fake boyfriend’ setiap tahun untuk menemani pulang ke kampung. Namun Raya kali ini membawa kelainan apabila Alif, pelakon sambilan yang diupahnya, secara tidak sengaja berjaya menambat hati seluruh ahli keluarganya.

Situasi itu akhirnya membuatkan Siti berdepan dengan satu hakikat dalam mengejar kejayaan kerjaya, mungkin dia semakin jauh daripada orang tersayang.

Menurut Nadhir, peluang mengarahkan projek di bawah pengurusan yang sama memberi pengalaman yang cukup bermakna buat dirinya.

“Bekerja bersama rakan-rakan di bawah pengurusan yang sama sentiasa menjadi sesuatu yang istimewa, lebih-lebih lagi apabila kami berkolaborasi dalam projek yang saya arahkan. Saya bangga untuk terus melangkah, membesar dan mencipta bersama LOL management,” katanya.

Iklan raya ini turut dibintangi barisan pelakon popular termasuk Yusuf Bahrin, Areef Amran, Erysha Emyra, Ezzanie Jasny, Auni Yusri dan Syad Mutalib. Turut membuat penampilan istimewa ialah penyanyi bersuara emas Liza Hanim.

Menurut wakil produksi, pendekatan penceritaan yang santai dan jujur dipilih kerana isu yang diketengahkan sangat dekat dengan realiti masyarakat.

“Soalan ‘bila’ itu mungkin kedengaran biasa, tetapi di sebaliknya ada tekanan, kerinduan dan emosi yang jarang diluahkan. Kami mahu menyampaikan kisah ini dengan cara yang ringan tetapi bermakna,” katanya.

Iklan Raya “Bila” akan ditayangkan secara rasmi di saluran YouTube Laugh Out Loud Entertainment pada 7 Mac 2026 jam 8 malam, dan dijangka menarik perhatian penonton yang gemarkan kisah komedi romantik dengan sentuhan kekeluargaan.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page