Rock Car Park Gegar Rooftop Campbell Complex, Mei Ini
Konsert Atas Bumbung Himpun Legenda & Generasi Baharu Muzik Rock Tempatan
Kredit Foto: Subky
Bunyi gitar mengaum, deruman dram tanpa kompromi dan laungan peminat dijangka menggegarkan langit ibu kota apabila Konsert Rock Car Park bakal berlangsung di Rooftop Campbell Complex, Jalan Dang Wangi, pada 9 Mei 2026.
Membawa konsep luar kebiasaan dengan pementasan di atas bumbung bangunan parkir, konsert ini menjanjikan pengalaman berbeza buat peminat muzik rock tempatan, sekali gus menghidupkan kembali semangat muzik keras yang suatu ketika dahulu menjadi denyut nadi generasi.
Penganjuran konsert berkenaan diumumkan secara rasmi menerusi satu sidang media yang berlangsung di Campbell Complex hari ini. Sidang media tersebut bukan sahaja memperkenalkan konsep dan hala tuju konsert, malah mengumumkan barisan artis, perancangan promosi serta kerjasama strategik yang bakal menjadikan Rock Car Park antara acara rock paling dinanti tahun ini.
Konsert Rock Car Park bakal menghimpunkan barisan artis rock tempatan daripada pelbagai generasi, membuktikan bahawa muzik rock masih relevan dan terus hidup merentasi zaman. Antara nama yang telah disahkan ialah May, Sofea, Wicitra serta Shasha And The Boys, dengan beberapa lagi nama besar dijangka diumumkan dalam masa terdekat.
Pemilihan lokasi rooftop dilihat selari dengan konsep konsert yang mahu membawa peminat kembali kepada akar umbi muzik rock bebas, jujur dan penuh keberanian. Suasana terbuka di tengah kota, berlatarbelakangkan bangunan pencakar langit, dijangka memberi dimensi baharu kepada pengalaman menonton konsert, berbeza daripada pementasan konvensional di dewan tertutup.
Menurut Pengarah Urusan Nyla Network Sdn Bhd, selaku penganjur konsert, Najmi Rahim, Rock Car Park bukan sekadar sebuah konsert hiburan, sebaliknya sebuah gerakan untuk menyemarakkan kembali ekosistem muzik rock tempatan.

“Rock Car Park membawa roh kelepasan dan keberanian yang pernah menjadi nadi kepada perkembangan muzik rock di Malaysia. Kami mahu menyediakan satu platform yang mempertemukan penggiat muzik rock daripada pelbagai generasi, di samping menghimpunkan peminat dalam satu pengalaman yang segar dan bermakna,” katanya.
Tambah Najmi, penganjuran konsert ini juga bertujuan membuka lebih banyak ruang persembahan alternatif buat pemuzik rock tempatan yang sering berdepan kekangan pentas berskala besar.
“Rock bukan muzik yang mati. Ia cuma perlukan ruang dan peluang yang betul. Melalui Rock Car Park, kami mahu buktikan muzik rock masih punya khalayak dan masih mampu mencipta pengalaman yang kuat serta berimpak,” jelasnya.
Selain aspek muzik, Rock Car Park turut menampilkan elemen gaya hidup menerusi kolaborasi bersama jenama kasut tempatan terkenal, Fung Keong (FK), yang diumumkan sebagai penaja rasmi konsert. Kerjasama ini menyaksikan penawaran pakej istimewa bundle tiket bersama kasut edisi khas FK, yang ditawarkan pada harga promosi terhad.
Wakil Fung Keong, Izzat Amir, yang turut hadir pada sidang media berkenaan menyatakan sokongan penuh terhadap penganjuran konsert tersebut, yang disifatkan selari dengan semangat jenama berkenaan yang sinonim dengan budaya jalanan dan muzik.

Dari segi jualan tiket, pihak penganjur memaklumkan bahawa tiket Konsert Rock Car Park akan mula dijual pada 12 Februari 2026 menerusi platform ticket2u.com. Harga tiket ditawarkan pada kadar prajualan serendah RM100, diikuti tiket Early Bird RM120, manakala harga biasa ditetapkan pada RM150.
Dengan gabungan barisan artis berpengaruh, konsep urban terbuka dan sokongan jenama tempatan, Rock Car Park dilihat berpotensi menjadi antara konsert rock paling unik di Kuala Lumpur tahun ini.
Mengakhiri kenyataannya, Najmi merakamkan penghargaan kepada semua rakan kerjasama, artis, pasukan produksi serta pihak media atas sokongan yang diberikan, dan berharap Rock Car Park mampu menjadi pemangkin kepada kelahiran lebih banyak acara muzik rock yang berani dan berbeza pada masa hadapan.
