Cherpen Berani Teroka Reggae, Satukan Emosi & Rap Chubb-E Dalam ‘Patah Hati’
Kumpulan Cherpen sekali lagi membuktikan kematangan serta keberanian mereka dalam landskap muzik tempatan apabila tampil dengan single terbaharu berjudul Patah Hati, sebuah karya berentak reggae yang menyaksikan kolaborasi sulung mereka bersama penyanyi rap, Chubb-E.
Menariknya, Patah Hati menandakan satu langkah keluar dari zon selesa buat Cherpen yang sebelum ini lebih dikenali menerusi lagu-lagu balada dan berentak perlahan. Kali ini, mereka memilih pendekatan lebih santai dan ‘feel good’, meskipun tema yang diangkat sarat dengan emosi kekecewaan dalam percintaan.
Lagu ini merupakan ciptaan bersama anggota Cherpen iaitu Nemo, Kimie dan Syahir, selain Chubb-E, manakala lirik pula digarap oleh Nemo, Kimie dan Chubb-E sendiri.
Menurut vokalis Cherpen, Nemo, kolaborasi tersebut tercetus secara spontan ketika proses penghasilan lagu berlangsung.
“Kolaborasi ini bermula apabila kami satu band dapat idea semasa mula buat lagu Patah Hati. Pada awalnya kami sekadar mencuba memasukkan elemen rap secara suka-suka. Dari situ, kami terfikir untuk cari seorang rapper dan akhirnya bertemu Chubb-E. Bila dengar sentuhan dia, kami terus rasa serasi,” katanya.

Dari segi tema, Patah Hati mengangkat kisah kekecewaan cinta yang dekat dengan realiti kehidupan seharian. Nemo menjelaskan, inspirasi lagu ini lahir daripada gabungan pengalaman peribadi anggota band serta pemerhatian terhadap kisah orang di sekeliling.
“Sedikit sebanyak lagu ini memang berdasarkan pengalaman kami sendiri. Kalau kita perhatikan, hampir semua orang pernah melalui fasa bercinta, berpisah dan akhirnya patah hati,” jelasnya.
Walaupun judulnya kedengaran suram, Nemo menegaskan mesej utama lagu ini bersifat positif dan penuh pengajaran.
“Mesej paling penting dalam lagu ini ialah supaya kita menghargai orang yang benar-benar ikhlas mencintai kita,” katanya lagi.
Dari sudut muzik, pemilihan genre reggae memberikan warna baharu kepada identiti Cherpen. Irama santai dan bersahaja menjadi kontras menarik kepada tema emosi yang diketengahkan, sekali gus menjadikan lagu ini lebih mudah didekati oleh pendengar pelbagai lapisan.
“Sebelum ini orang mengenali Cherpen dengan lagu-lagu ‘slow’. Kali ini kami mahu tampil dengan sesuatu yang berbeza. Tajuknya Patah Hati, tetapi muziknya lebih santai dan tidak terlalu muram,” kata Nemo.
Sebelum ini, Cherpen pernah mencipta perhatian menerusi beberapa lagu popular seperti Pasti, Lepaskan dan Kali Ini yang mendapat putaran meluas di stesen radio tempatan serta sambutan positif di platform digital.
Sementara itu, Chubb-E menyifatkan peluang bekerjasama dengan Cherpen sebagai satu pengalaman bermakna dalam perjalanan seninya.
“Apabila Cherpen hubungi saya dan memperdengarkan demo lagu ini, saya terus tertarik dengan ‘vibes’ yang dibawa. Ia bukan sekadar lagu tentang kecewa, tetapi tentang menghargai keikhlasan dalam cinta. Proses rakaman pula sangat lancar dan penuh pertukaran idea,” katanya.
Chubb-E turut berharap kolaborasi ini mampu membuka ruang baharu buat kedua-dua pihak serta diterima peminat masing-masing.
“Kami cuba satukan dua dunia muzik yang berbeza untuk hasilkan sesuatu yang segar. Harapan saya, peminat Cherpen dan peminat saya dapat menikmati lagu ini,” katanya.
Single Patah Hati oleh Cherpen ft Chubb-E diterbitkan oleh Seventeen Eleven Music dan kini sudah berada dalam senarai main stesen radio utama. Lagu ini juga boleh distrim di semua platform penstriman muzik, manakala video muzik rasminya boleh ditonton menerusi saluran YouTube Seventeen Eleven Music.
