FARASU Gegarkan BE KL 27 Disember Ini
Showcase “7 Sumpahan, 7 Benua, 7 Lautan” Janjikan Pengalaman Luar Biasa
Selepas 23 tahun bertapak dalam landskap muzik keras tempatan, band Metal berpengaruh, FARASU, akhirnya kembali mengganas di pentas menerusi showcase istimewa bertajuk “Siri Jelajah FARASU: 7 Sumpahan, 7 Benua, 7 Lautan”, yang bakal berlangsung pada 27 Disember 2025 (Sabtu) di BE KL, Bandar Tasik Permaisuri.
Showcase anjuran Majestica Sembranica Productions ini dijangka menjadi malam penuh ritual, emosi dan kekuatan muzik apabila FARASU membawa konsep Nusantara Melodic Death Metal yang digabungkan dengan identiti unik mereka, “DeathMetalSwagger” satu pendekatan agresif yang telah lama memahat nama FARASU dalam scene Metal Malaysia.
Mengangkat tema misteri dan simbolik, persembahan ini dijanjikan bukan sekadar hiburan, sebaliknya satu pengalaman fizikal dan mental yang menggoncang jiwa Metalheads yang hadir.
Menurut Nahax, selaku Co-Founder dan gitaris FARASU, showcase ini membawa makna besar buat kumpulan tersebut.
“Kami sangat teruja untuk kembali beraksi. Walaupun ini showcase berskala kecil, kami tetap akan all out demi kepuasan kami sendiri dan juga crowd yang hadir,” katanya.
Tambah Nahax, showcase ini juga menjadi titik permulaan kepada kebangkitan semula perjalanan FARASU selepas beberapa perancangan jelajah sebelum ini tertangguh.
“Show ini adalah langkah awal untuk kami kembali menjelajah ke serata tempat yang mampu. Ia sebenarnya projek lama yang tertangguh kerana beberapa isu. Kami harap Metalheads Malaysia akan turun memberi sokongan dan memenuhi setiap ruang BE KL.”
Beliau turut menyuarakan harapan agar muzik Metal tempatan terus subur tanpa mengira sub-genre.
“Kami mahu lihat lebih banyak band Metal diberi platform untuk menunjukkan keupayaan mereka. Metal di Malaysia perlu terus hidup dan berkembang,” ujarnya.

Pintu venue akan dibuka seawal 6.30 petang, manakala acara dijadualkan bermula 7.30 malam. Turut memeriahkan pentas sebagai supporting acts ialah SLYTHERA, RUH ARASY dan EXHUMAN, yang bakal memanaskan suasana sebelum FARASU tampil dengan set utama berintensiti tinggi, menampilkan lagu-lagu daripada keseluruhan diskografi mereka.
Dari segi harga, tiket ditawarkan pada kadar yang cukup berbaloi iaitu RM30 (dalam talian) dan RM45 (di pintu masuk), menjadikan showcase ini peluang emas buat peminat muzik Metal untuk menyaksikan legenda tempatan secara langsung.
Selain itu, pelbagai merchandise eksklusif FARASU akan dijual, memberi peluang kepada peminat membawa pulang kenangan istimewa daripada showcase ini.
Pembelian tiket: RM36 termasuk yuran pemprosesan boleh dibuat menerusi https://atasangin.com/products/siri-jelajah-farasu
Kaedah bayaran: FPX Online Banking, Touch ‘n Go dan ShopeePay.
