December 26, 2025

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

Spread the love

Kumpulan Lelaki M-Pop Tempatan Cipta Sejarah Buka Tirai Celebfest Amplified

Kumpulan lelaki M-Pop sensasi negara, ALPHA, terus mengukuhkan pengaruh di peringkat serantau apabila bakal mengadakan penampilan sulung mereka di Singapura menerusi acara eksklusif “Celebfest Amplified: ALPHA Fan Meet In Singapore 2025”, pada 20 Disember ini, dari jam 3 hingga 6 petang di Begonia Ballroom, NTUC Downtown East.

Lebih membanggakan, ALPHA diumumkan sebagai artis pertama yang dipilih membuka tirai Celebfest Amplified, sebuah platform premium di bawah jenama Celebfest yang memberi fokus kepada pengalaman lebih intim antara artis dan peminat.

Penganjuran fan meet ini didorong sambutan luar biasa yang diterima ALPHA ketika membuat kemunculan ringkas di Celebfest Singapura pada Oktober lalu. Walaupun hanya tampil seketika, kehadiran mereka berjaya menarik perhatian pengunjung apabila ramai sanggup menunggu dan memberikan sorakan padu sepanjang penampilan kumpulan itu.

Respon positif itu sekali gus membuktikan populariti ALPHA semakin meningkat di Singapura, mendorong penganjuran fan meet khas buat peminat setia mereka di republik berkenaan.

Sepanjang acara itu nanti, peminat bakal menikmati pengalaman eksklusif termasuk sesi high-tea bersama ALPHA, peluang berinteraksi secara lebih dekat serta sesi bergambar bersama ahli kumpulan.

ALPHA turut dijadual mempersembahkan beberapa lagu popular mereka secara langsung termasuk “Monalisa (Bang Bang)” dan “P. Ramlee Saloma”, selain karya lain yang menjadi identiti muzik kumpulan berkenaan.

Ahli kumpulan, Ariel Fesol, berkata fan meet ini amat dinantikan kerana memberi peluang bertemu peminat di Singapura dengan lebih dekat.

“Kami sangat teruja dan bersyukur dapat kembali ke Singapura untuk bertemu peminat. Sambutan yang diterima sebelum ini memang luar biasa dan fan meet ini peluang terbaik untuk kami membalas sokongan mereka,” katanya.

Rakan sekumpulan, Rizal Rasid, menyifatkan pemilihan ALPHA sebagai artis pertama Celebfest Amplified sebagai satu penghormatan besar.

“Kami amat berbangga diberi kepercayaan membuka tirai Celebfest Amplified. Kami akan pastikan setiap yang hadir membawa pulang kenangan manis,” katanya.

Ketua Rocketfuel Entertainment, Sher Leen Wee, menyifatkan penganjuran fan meet ini sebagai pencapaian penting dalam perjalanan seni ALPHA.

“ALPHA menunjukkan perkembangan sangat positif sejak kemunculan mereka. Sambutan di Singapura membuktikan mereka mempunyai potensi besar untuk berkembang di peringkat antarabangsa,” katanya.

Menurutnya, pemilihan ALPHA sebagai artis pertama Celebfest Amplified turut menjadi pengiktirafan terhadap disiplin, bakat dan usaha berterusan kumpulan itu.

Tiket bagi “Celebfest Amplified: ALPHA Fan Meet In Singapore 2025” sudah mula dijual sejak 10 Disember lalu dan dijangka mendapat sambutan tinggi berikutan kapasiti acara yang terhad.

Dengan penganjuran fan meet sulung ini, ALPHA terus melangkah yakin sebagai antara kumpulan lelaki M-Pop tempatan yang semakin mendapat perhatian di peringkat serantau, sekali gus membuka laluan lebih luas untuk penembusan pasaran antarabangsa.


Spread the love

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page