Aris Burger Perkenal RTE, Sasar Pasaran Halal Global
Aris Burger melakar satu lagi pencapaian strategik apabila melancarkan produk Ready-To-Eat (RTE) Aris Burger, bagi memenuhi permintaan pengguna terhadap makanan halal yang mudah, berkualiti dan diyakini.
Majlis pelancaran rasmi produk berkenaan disempurnakan oleh Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Wira Dr Asyraf Wajdi Dusuki, bertempat di Kompleks Usahawan MARA, Batu Muda, hari ini.

Pengasas Aris Burger, Datuk Haji Haris Embong, berkata pengenalan RTE Aris Burger adalah respons terhadap perubahan gaya hidup masyarakat moden yang semakin menuntut makanan segera tanpa menjejaskan kualiti, keselamatan makanan dan jaminan halal.
“RTE Aris Burger diwujudkan bagi menawarkan pilihan makanan segera yang praktikal tanpa mengorbankan rasa, kualiti serta status halal. Ia sesuai untuk pengguna bandar, keluarga bekerja dan golongan muda yang sentiasa bergerak pantas,” katanya.
Menurutnya, setakat ini Aris Burger telah memperkenalkan empat varian produk RTE yang menerima sambutan menggalakkan, termasuk daripada rangkaian pasar raya utama dan kedai serbaneka.

“Walaupun baru dilancarkan, permintaan sangat ketara bukan sahaja di pasaran tempatan, malah dari Indonesia, Timur Tengah dan Eropah. Produk kami juga sudah berjaya menembusi pasar raya terkemuka di Indonesia,” katanya.
Haris berkata, keunikan RTE Aris Burger terletak pada penggunaan patty daging yang lebih tebal, padat dan tinggi protein, sekali gus menawarkan pengalaman burger yang lebih mengenyangkan serta berkualiti, setanding burger restoran.
Katanya, pembangunan produk itu melalui proses penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang teliti bersama institusi pendidikan bagi memastikan formulasi mampu bersaing di peringkat domestik dan antarabangsa.
Dari segi kapasiti pengeluaran, Haris memaklumkan Aris Burger ketika ini mampu menghasilkan kira-kira 150,000 unit RTE sebulan, namun kapasiti itu dijangka meningkat selepas sebuah kilang baharu siap sepenuhnya selepas kerja-kerja renovasi yang dijadualkan bermula Januari ini dan dijangka siap sekitar April selepas Aidilfitri.
“Fokus terdekat kami adalah memenuhi pasaran domestik sebelum memperluaskan eksport ke luar negara secara berperingkat,” katanya.

Beliau berkata, produk RTE Aris Burger turut memperoleh pensijilan halal serta kelulusan keselamatan dan kesihatan makanan, sekali gus meningkatkan keyakinan pengguna.
Menurutnya, harga runcit yang ditawarkan juga kekal mampu milik sekitar RM7.90, selain promosi bulanan yang menjadikan harganya lebih kompetitif berbanding produk seumpama dari luar negara.
Sementara itu, Aris Burger turut menyasarkan pemasaran RTE berkenaan di semua pusat beli-belah utama dan rangkaian runcit moden di seluruh negara, termasuk pasar raya besar dan kedai serbaneka terpilih, dalam tempoh terdekat.
Selain pasaran tempatan, syarikat itu turut merangka perancangan eksport ke Asia Tenggara, Timur Tengah dan Eropah, sejajar dengan aspirasi Malaysia untuk terus memperkukuh kedudukan sebagai hab halal global.
