December 15, 2025

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

Fenomena Samurai Bukti Rock Terus Hidup Di Sarawak

Spread the love

Penganjur Konsert Fenomena Samurai menzahirkan rasa syukur dan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang terlibat serta ribuan penonton yang hadir selepas konsert bersejarah itu berjaya dilangsungkan malam tadi di Stadium Perpaduan, Petra Jaya.

Perkara itu disampaikan oleh Ikhram Zainuddin, atau lebih dikenali sebagai Atom, yang mewakili kedua-dua penganjur, Bintang Batu dan Seri Simfoni, dalam satu sidang media selepas konsert berkenaan.

Atom memulakan ucapannya dengan mengucapkan terima kasih kepada pihak media yang hadir serta memberi sokongan dan liputan sepanjang proses penganjuran konsert. Beliau turut menyatakan rasa syukur kerana Konsert Fenomena Samurai Live in Kuching akhirnya dapat dilaksanakan dengan jayanya.

“Mewakili Bintang Batu dan Seri Simfoni, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat, termasuk pihak media yang banyak membantu dari awal hingga akhir,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada barisan artis yang terlibat atas komitmen dan kerjasama yang sangat baik, selain menzahirkan ucapan terima kasih tidak terhingga kepada seluruh tenaga produksi yang bertungkus lumus menjayakan konsert tersebut.

“Daripada pasukan produksi, teknikal, kru acara, keselamatan, pihak penaja yang tidak dapat disebut satu persatu, sehinggalah petugas kebersihan, semuanya memainkan peranan penting. Tanpa anda semua, konsert ini tidak akan menjadi kenyataan,” jelasnya.

Dalam pada itu, Atom turut mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Negeri Sarawak, khususnya Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, atas sokongan yang diberikan, selain penghargaan kepada pihak pengurusan Stadium Perpaduan sebagai venue penganjuran.

Beliau berkata pihak penganjur berpuas hati dengan apa yang telah dipersembahkan kepada penonton dan merasakan komitmen yang diberikan adalah sepenuhnya, malah melebihi jangkaan.

“Kami rasa kami sudah beri lebih daripada 100 peratus. Walaupun konsert ini tidak mencapai kapasiti penuh, kami tidak mengurangkan kos atau menjejaskan perancangan asal. Apa yang dirancang dari awal, itulah yang kami laksanakan,” katanya.

Mengulas cabaran penganjuran, Atom mengakui kos menganjurkan konsert berskala besar di Sarawak adalah jauh lebih tinggi berbanding di Semenanjung Malaysia, selain berdepan keraguan sesetengah pihak yang bimbang acara itu akan dibatalkan pada saat akhir.

Namun, beliau menegaskan komitmen penganjur tidak pernah goyah sebaik sahaja konsert itu dilancarkan. “Sejak awal lagi saya sudah berjanji, apabila kita mula, tiada jalan untuk berpatah balik. Ini tiket sehala. Kami akan buat sampai habis dan beri yang terbaik,” katanya.

Atom turut mengucapkan tahniah kepada para penonton yang majoritinya berusia 40 tahun ke atas kerana setia menyaksikan konsert yang berlangsung hampir empat jam itu, serta memberi penghormatan kepada legenda-legenda rock tanah air yang tetap bertenaga di atas pentas.

Mengenai perancangan masa depan, beliau memaklumkan jenama Fenomena Samurai akan diteruskan sebagai satu jelajah, namun lokasi seterusnya masih belum dapat diumumkan. Pihak penganjur merancang untuk berehat seketika selepas musim perayaan sebelum membuat persiapan dan penambahbaikan bagi penganjuran akan datang.

“Kami akan buat penilaian dan perbaiki apa yang kurang supaya impaknya lebih besar. Jangan pandang pada kuantiti, pandang pada kualiti. Kami harap penonton dapat memberi ulasan yang membina,” katanya.

Untuk rekod, Konsert Fenomena Samurai yang berlangsung pada Sabtu, 13 Disember 2025, menghimpunkan kira-kira 9,000 penonton dan dianggap sebagai acara rock bersejarah dengan gabungan dua legenda rock Malaysia, Search dan XPDC. Konsert itu turut mencuri tumpuan dengan penampilan khas vokalis veteran Ali XPDC, sekali gus mengukuhkan status Fenomena Samurai sebagai antara konsert nostalgia paling bermakna pernah dianjurkan di Sarawak.


Spread the love

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page