Coastal Combat 2026 Perkenal Realiti Muay Thai
Arena sukan tempur negara bakal melakar sejarah tersendiri apabila Coastal Combat 2026 memperkenalkan format penganjuran baharu yang menggabungkan pertandingan Muay Thai dengan program realiti eksklusif, sekali gus mewujudkan dimensi baharu dalam pembangunan sukan tersebut.
Acara yang akan berlangsung di Desaru Coast, Johor pada 23 hingga 24 Januari 2026 itu menghimpunkan atlet Muay Thai elit tempatan dan antarabangsa serta menampilkan ikon seni bela diri negara, Jihin ‘Shadow Cat’ Radzuan sebagai salah satu tarikan utama.
Selain kembali beraksi dalam disiplin asalnya, Jihin turut menyertai program realiti Muay Thai pertama seumpamanya di Malaysia. Meskipun kini lebih dikenali sebagai atlet Mixed Martial Arts (MMA), asas kerjaya beliau bermula dalam sukan Muay Thai dengan pernah mewakili Johor pada temasya Sukan Malaysia (Sukma) serta meraih pingat sebelum bergiat sebagai atlet profesional MMA.

Penganjur Coastal Combat yang juga Pengarah Boxxtomoi Asia, Nor Afandi Nor Hosni, berkata inisiatif ini dirangka bagi membawa sukan Muay Thai ke peringkat lebih progresif melalui gabungan elemen sukan, penceritaan serta promosi pelancongan berasaskan destinasi.
Menurutnya, usaha tersebut merupakan yang pertama kali diimplementasikan di negara ini dan bakal memberikan pengalaman baharu kepada penonton yang bukan sekadar menyaksikan pertarungan, malah berpeluang mengikuti latar belakang atlet, disiplin latihan mereka serta penerokaan budaya di sekitar Desaru Coast.
Beliau menegaskan bahawa pendekatan berbentuk hiburan sukan berpotensi memberikan kesan positif terhadap sektor pelancongan sukan selain menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negeri Johor, selari dengan usaha memperkukuh industri berteraskan acara sukan.

Program realiti Coastal Combat 2026 akan menampilkan seramai 20 atlet, terdiri daripada 10 peserta tempatan dan 10 peserta antarabangsa, yang akan bersaing dalam format pertandingan berpasukan melibatkan ujian ketahanan fizikal, kemahiran teknikal, strategi, kerjasama pasukan serta penyelesaian cabaran kreatif.
Penggambaran program akan dilaksanakan sepenuhnya di Desaru Coast dengan nilai produksi bertaraf antarabangsa dan dijangka mencapai lebih 300,000 tontonan menerusi platform YouTube.
Coastal Combat 2026 turut mempertaruhkan barisan atlet wanita Malaysia yang dianggap paling kompetitif setakat ini, diketuai oleh Jihin bersama petarung nombor satu Muay Thai negara, Nur Amisha, serta Eycah, Krystal Angel dan Nur Afifah.

Aksi utama yang dijangka mencuri tumpuan ialah pertarungan antara Jihin dan atlet Indonesia, Ade Mutia dari Kalimantan, selain pertembungan sengit melibatkan pasukan atlet wanita antarabangsa terdiri daripada peserta dari Amerika Syarikat, Perancis, Indonesia serta juara Eropah, Cindy Silvestre.
Menurut Nor Afandi, penyertaan Jihin bersama Nur Amisha dan barisan atlet negara bukan sahaja memperkukuh keupayaan pasukan Malaysia, malah mencipta identiti baharu sukan kombat negara yang menunjukkan perkembangan pesat atlet wanita dalam arena tersebut.
Penganjuran Coastal Combat 2026 di Desaru Coast bukan sekadar pertandingan sukan semata-mata, sebaliknya menjadi penanda aras baharu dalam integrasi sukan kompetitif, hiburan dan promosi pelancongan serantau.
Usaha ini turut seiring dengan aspirasi Tahun Melawat Johor 2026 yang memberi tumpuan terhadap sektor sukan dan acara antarabangsa sebagai pemangkin utama pengembangan ekonomi serta pembangunan pelancongan negeri.
