January 26, 2026

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

Panggung Purnama Gegar Zepp KL: Pamungkas & Fugo Sertai Bilal Indrajaya 28 September Ini

Spread the love

Puisi, Balada dan Romansa: Panggung Purnama Satukan Tiga Suara Hati

Pentas Panggung Purnama bakal menjadi lebih berwarna dan emosional apabila dua nama besar, Pamungkas dari Indonesia dan Fugo, kugiran tempatan yang semakin mencuri perhatian, diumumkan sebagai barisan artis seterusnya menyertai Bilal Indrajaya pada konsert yang bakal berlangsung pada 28 September 2025 di Zepp Kuala Lumpur.

Penganjur konsert, UdaraLaskhar, menyifatkan pemilihan Pamungkas dan Fugo sebagai langkah strategik untuk melengkapkan pengalaman muzik yang unik dan menyentuh hati, sesuai dengan semangat dan konsep Panggung Purnama yang telah dirancang sejak sekian lama.

“Kami di UdaraLaskhar begitu teruja mengumumkan Pamungkas dan Fugo sebagai line-up kedua dan ketiga. Kami percaya kepada ‘candu’ mereka – daripada penampilan sehinggalah karya-karya yang membuat peminat terus ingin menyaksikan persembahan secara langsung,” ujar wakil penganjur, John Labu.

Pamungkas, yang terkenal dengan gaya flamboyan dan lagu-lagu berjiwa seperti To The Bone, bakal membuat kemunculan eksklusif secara solo di Malaysia. Sementara itu, Fugo yang mengukuhkan nama mereka dengan lagu seperti As Long As We Stay dan Lagu Balada Kala Hujan – dijangka menambah warna tempatan yang segar dan menyenangkan ke dalam malam tersebut.

Konsert ini juga menandakan kolaborasi sulung ketiga-tiga pemuzik Pamungkas, Fugo dan Bilal Indrajaya dalam satu pentas, menjadikan Panggung Purnama 2025 sebagai sebuah malam yang sukar dilupakan.

“Ketiga-tiga pemuzik ini menepati kriteria yang telah kami tetapkan sejak awal — mereka bukan sahaja membawa karya yang berkualiti tinggi, tetapi juga menyentuh hati pendengar secara mendalam. Kami yakin Panggung Purnama akan menjadi pengalaman yang meninggalkan kesan tersendiri,” tambah John.

Tiket konsert kini boleh didapati menerusi laman web rasmi www.ilassotickets.com dengan kategori berikut: Purnama – RM399, Awan – RM249, Bumi – RM239, Langit – RM199 dan Bintang – RM179

Dengan gabungan penuh pesona dan karisma, melepaskan peluang menyaksikan Panggung Purnama seperti menolak lamaran ‘cinta’ daripada Bilal Indrajaya sendiri pastinya sesuatu yang tidak mudah dilupakan.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page