“This Is Noryn Aziz” Janji Persembahan Penuh Jiwa di Auditorium DBKL

Penyanyi tersohor jazz dan R&B tanah air, Noryn Aziz bakal menghidupkan sebuah malam istimewa menerusi persembahan peribadi berjudul “This Is Noryn Aziz”, yang dijadualkan berlangsung di Auditorium DBKL, Kuala Lumpur.
Persembahan ini bukan sekadar sebuah konsert biasa, tetapi sebuah perjalanan muzik yang menggambarkan liku-liku hidup dan evolusi seni seorang figura yang telah mewarnai industri muzik selama beberapa dekad. Menyatukan unsur jazz, soul dan R&B yang dipersembahkan dengan sentuhan Malaysia, persembahan ini bakal meraikan intipati dan keanggunan suara unik milik Noryn Aziz. Ia hanya ditawarkan kepada 500 penonton terpilih, menjadikannya pengalaman yang eksklusif dan dekat di hati.
Menurut Noryn, persembahan ini adalah cerminan jiwanya sebagai seorang penyanyi, wanita dan anak seni Malaysia. “This is more than just a concert — ia adalah kisah saya melalui muzik,” katanya penuh emosi.

Persembahan ini dibahagikan kepada dua babak utama. Babak pertama menampilkan sisi jazz dan soul, dengan lagu-lagu baharu seperti “Kaki Kiriku”, sebuah karya yang memadukan elemen Parisian dan Melayu, serta lagu-lagu seperti “Syurga Sempurna” dan “Hoore Hoore” yang digubah semula dalam gaya jazz klasik moden.
Babak kedua pula merupakan satu sambutan penuh emosi dan semangat, menampilkan rentak R&B kontemporari dalam suasana meriah dan penuh sambutan. Dari lagu nostalgia seperti “Fantasi O Realiti” dan “Alam Maya”, hingga ke karya moden berkelas dunia, Noryn akan membawa penonton menelusuri pelbagai fasa perjalanan seninya. Persembahan ini turut mengambil inspirasi daripada legenda muzik seperti Ella Fitzgerald, Anita Baker dan Datuk Sheila Majid, namun disampaikan melalui perspektif budaya Malaysia.
Projek ini lahir daripada hasrat Noryn untuk membawa muzik jazz lebih dekat kepada khalayak ramai. Beliau mahu jazz dirasai sebagai sesuatu yang hidup dan menjadi sebahagian daripada bunyi tempatan. “Saya mahu jazz itu berbunyi seperti kita — dengan bahasa kita, ritma kita, dan jiwa kita,” ujarnya dengan penuh semangat.

Selain mempersembahkan muzik berkualiti, “This Is Noryn Aziz” juga bertujuan menjadi pentas untuk membuka ruang kepada generasi baharu pemuzik jazz tempatan, khususnya wanita, untuk tampil berani mengekspresikan diri dalam genre yang sering dianggap eksklusif.
Noryn percaya bahawa Malaysia mempunyai suara jazz yang bersifat antarabangsa tetapi tetap berakar pada budaya. “Elegan, moden — dan tetap Malaysia,” katanya.
Persembahan ini dijadualkan berlangsung pada Jumaat, 19 September 2025, jam 8 malam di Auditorium DBKL, Menara DBKL 1, Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur. Pintu akan dibuka mulai jam 7 malam. Tiket boleh didapati melalui tickethotline.
Dengan tempat duduk yang terhad kepada 500 sahaja, acara ini menjanjikan sebuah malam yang tidak dapat dilupakan bagi mereka yang benar-benar menghargai seni dan muzik. Bagi pencinta muzik yang percaya bahawa lagu mampu menyentuh jiwa dan menyatukan hati, maka malam “This Is Noryn Aziz” pastinya satu momen yang wajib diraikan.