Konsert Muzik Kita! Satukan Lagenda dan Wajah Baru Muzik Indie

Dalam era muzik yang sarat dengan algoritma dan kandungan komersial, Konsert Muzik Kita! muncul sebagai nafas baharu buat pencinta muzik bawah tanah tempatan. Berlangsung pada 2 Ogos 2025 di MAEPS Serdang Hall A, acara ini menjanjikan malam magis yang menyatukan penggiat seni serta peminat dari generasi X hinggalah ke generasi Alpha dalam satu komuniti yang meraikan keaslian, ekspresi dan semangat hormat sesama insan muzik.
Dianjurkan oleh Hard Global Ventures, konsert ini bukan sekadar acara hiburan tetapi satu gerakan budaya memperjuangkan ruang dan suara artis-artis underground tempatan yang selama ini bergerak secara mandiri, jauh daripada limpahan sorotan industri arus perdana.
Antara barisan pemuzik yang akan menggegarkan pentas ialah nama-nama ikonik dan baru yang masing-masing mempunyai pengikut tersendiri, antaranya Butterfingers, Monoloque, Ki Misri, Fugo, Perry, Fimie Don & Satwo, Heidi Moru, Nadarasa, Dukes, Mardiana, Salammuzik, serta Nosstress dari Indonesia yang menjadikan konsert ini sebagai pentas lintas sempadan serantau dan generasi.
Butterfingers, kumpulan grunge legenda tempatan yang sinonim dengan era kebangkitan muzik alternatif Malaysia di hujung 90-an, bakal menjadi penutup konsert. Menurut Loque, vokalis dan komposer utama kumpulan tersebut, mereka akan menghadiahkan peminat dengan lagu-lagu dari era 1.2 Milligrams, Butter Worth Pushful, dan Transcendence yang beliau sendiri gelarkan sebagai era “Grunge Totok”.
“Ramai Royal Butters yang rindu dengan lagu-lagu lama kami. Inilah masanya,” kata Loque yang juga akan membuka tirai konsert bersama projek solo beliau, Monoloque, dengan kejutan istimewa, mungkin menampilkan Atilia dan Herman Tino sebagai tetamu khas.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Hard Global Ventures, Khairil Azam Pilus atau lebih dikenali sebagai Aril Pilus, Konsert Muzik Kita! dibina atas konsep ‘timeline muzik bawah tanah’menyusun nama-nama dalam susunan era agar penonton dapat merasai perjalanan muzik dari era grunge dan rap-rock, sehinggalah ke sentuhan eksperimental dan “healing vibes” masa kini.
“Ini bukan sekadar konsert, tapi ruang untuk generasi lama dan baharu saling mendidik dan menghargai. Kalau dulu orang pogo, lompat dan menari di gigs, sekarang orang healing sambil duduk tenang. Tapi akhirnya, muzik tetap jadi tempat kita semua kembali,” ujar Aril.
Beliau yang juga bekas pelajar Universiti Utara Malaysia dalam bidang Pengurusan Industri Kreatif berkata konsert ini lahir daripada impian dan keberanian untuk mencipta pentas bagi bakat sebenar walaupun pernah gagal dalam beberapa siri percubaan sebelum ini.

Fimie Don, pelakon yang kini serius menceburkan diri dalam dunia muzik, turut berkongsi keterujaan apabila dapat sepentas dengan idola beliau, Loque.
“Saya mahu tonjolkan sisi kreatif saya dalam muzik. Dapat berkongsi pentas dengan Loque dan SalamMusic adalah impian yang menjadi nyata,” katanya.
Tiket boleh didapati menerusi www.ticketmelon.com dengan harga bermula RM75 hingga RM300++ (VIP). Tiket telah mula dijual sejak April dan mendapat sambutan menggalakkan dalam kalangan peminat setia muzik alternatif tempatan.