Jualan Tiket Konsert Legasi P. Ramlee Kini Dibuka Secara Rasmi

Aura agung Seniman Negara, Tan Sri P. Ramlee bakal kembali menghangatkan pentas seni tanah air menerusi Konsert Legasi P. Ramlee yang akan berlangsung pada Sabtu, 20 September 2025 di Mega Star Arena, Sungei Wang Plaza, Kuala Lumpur. Jualan tiket untuk konsert yang dinanti-nantikan ini telah dibuka secara rasmi bermula hari ini di laman web www.ticket2u.com.my/legasipramlee.
Konsert istimewa ini menawarkan satu pengalaman sinematik yang unik, dengan susun atur tempat duduk yang diinspirasikan daripada watak-watak ikonik dalam filem-filem Allahyarham P. Ramlee. Setiap zon tempat duduk diberi nama sempena watak tersohor seperti Nyonya Mansoor, Kassim Selamat, Abang Jamil, Sarjan Hassan, Abdul Wahub dan Pak Maon, sekali gus memberikan sentuhan nostalgia kepada penonton seawal proses pembelian tiket.
Menurut Dato’ Khairul Anwar Salleh, Pengarah Eksekutif TanahAir Films, sambutan awal terhadap pengumuman konsert ini amat memberangsangkan. Beliau menyifatkan minat yang ditunjukkan membuktikan bahawa karya-karya P. Ramlee terus hidup dalam jiwa masyarakat Malaysia. Katanya, ini merupakan peluang keemasan buat rakyat untuk menyertai satu detik bersejarah yang mengangkat warisan seni negara ke satu tahap baharu.

Konsert ini menghimpunkan 60 orang pemuzik orkestra profesional di bawah pimpinan empat maestro muzik terkenal tanah air iaitu Dato’ Ramli MS, Datuk Mokhzani Ismail, Helen Yap dan Michael Veerapen. Barisan artis yang bakal mengisi pentas konsert pula terdiri daripada nama-nama besar yang tidak asing lagi dalam industri seperti Datuk Jamal Abdillah, Datuk Zainalabidin, Ella, Liza Hanim, Mimi Fly dan Nadeera, yang akan menyampaikan karya-karya agung P. Ramlee dengan sentuhan moden serta penuh emosi.
Pengarah Artistik merangkap Penerbit Eksekutif konsert ini, Adlin Aman Ramlie berkata bahawa pemilihan nama watak bagi setiap kategori tiket bukan sekadar hiasan semata-mata, sebaliknya ia adalah sebahagian daripada penceritaan berperingkat yang akan dibawa di atas pentas. Penonton akan seolah-olah menyelusuri babak-babak penting dalam hidup dan karya P. Ramlee, daripada momen mengharukan Kassim Selamat sehinggalah semangat patriotik Sarjan Hassan. Menurutnya, ini bukan sekadar persembahan konsert, tetapi satu pengembaraan sinematik yang sarat dengan jiwa dan warisan.
Konsert Legasi P. Ramlee merupakan inisiatif utama di bawah Projek Perdana P. Ramlee, hasil kerjasama antara TanahAir Films dan 360 Entertainment. Ia turut mendapat sokongan daripada pelbagai agensi kerajaan termasuk Arkib Negara Malaysia, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Kementerian Komunikasi Malaysia, Kementerian Perpaduan Negara, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) serta Istana Budaya. Di samping itu, beberapa penaja korporat turut memberikan sokongan padu, antaranya PARKROYAL COLLECTION Kuala Lumpur, Maya Restaurant dan Patriots Asia Sdn. Bhd.

Tiket boleh didapati menerusi laman web rasmi www.ticket2u.com.my/legasipramlee bermula hari ini. Sebagai tawaran istimewa, diskaun sebanyak 10 peratus diberikan kepada 1,000 pembeli terawal yang membuat pembelian antara 26 Jun hingga 6 Julai 2025. Orang ramai juga boleh mengikuti perkembangan terkini serta kandungan eksklusif menerusi laman media sosial rasmi @konsertlegasipramlee di Facebook, Instagram dan TikTok.
Untuk maklumat media dan temu bual, pihak media boleh menghubungi Didie A Samueil di talian 019-7000170 atau emel ke didzsquadstudios@gmail.com bagi pihak TanahAir Films Sdn. Bhd.
Konsert ini benar-benar membawa nuansa nostalgia yang mendalam. Susunan tempat duduk yang diilhamkan oleh watak-watak ikonik P. Ramlee memberikan sentuhan personal yang unik. Penggabungan muzik orkestra dan vokal artis ternama pasti akan mengharu biru penonton. Inisiatif seperti ini penting dalam memastikan warisan seni negara terus hidup. Adakah anda juga merasa teruja dengan pengembaraan sinematik ini? German news in Russian (новости Германии)— quirky, bold, and hypnotically captivating. Like a telegram from a parallel Europe. Care to take a peek?