July 9, 2025

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

4U2C Buat Comeback! Konsert WE 4U2C Janji Ledakan Nostalgia 90-an

Spread the love

Tiket konsert akan mula dijual pada 30 Jun 2025 menerusi platform Ticket Empire dan Fantopia

Selepas hampir tiga dekad menyepi daripada pentas besar, kumpulan ikonik yang pernah mencetus fenomena dalam industri muzik tempatan, 4U2C, bakal menggegarkan semula dunia hiburan dengan konsert berskala besar bertajuk “WE 4U2C”. Konsert eksklusif ini akan berlangsung pada 15 September 2025 di Idea Live Arena, Petaling Jaya, dengan tema istimewa Bringin’ Back Da 90’s Flava.

Konsert anjuran Juss Event Sdn. Bhd. itu menyaksikan kembalinya tujuh anggota asal 4U2C iaitu Datuk AC Mizal, Aren, Yanz, Rinz, Lanz, Charlie dan Azam.  Mereka bersatu semula demi menghargai legasi serta menyambut rindu peminat tegar mereka sejak era 90-an.

Menurut Datuk AC Mizal, idea untuk menjayakan konsert ini telah lama dipendam dan akhirnya direalisasikan selepas mendapat sokongan penuh daripada isterinya, Datin Emylia Rosnaida, dan tawaran yang tepat pada masanya daripada pihak Juss Event.

“Konsert ini memang impian saya sejak dulu lagi. Apabila isteri saya lontarkan idea ini dan Juss Event tampil beri peluang, saya tahu inilah masanya. Kami akan berikan yang terbaik, bukan sekadar untuk peminat, tetapi juga untuk sejarah muzik tempatan,” ujar AC Mizal ketika sidang media pengumuman konsert tersebut.

AC turut menyatakan bahawa semangat mereka semakin membara selepas melihat kejayaan Konsert KRU25 awal Mei lalu.

“Kami terinspirasi dengan KRU dan berharap untuk menjadi pencetus kepada kebangkitan semula era kegemilangan kumpulan muzik Malaysia. 4U2C bukan sekadar menyanyi, kami tampil dengan elemen tarian bertenaga, tetapi itulah identiti kami sejak dulu,” tambahnya.

Konsert ini juga akan menyaksikan 4U2C mengekalkan keunikan mereka sebagai kumpulan pertama tempatan yang menggabungkan nyanyian dan tarian dalam satu persembahan langsung. Dengan konsep visual moden dan naratif perjalanan seni mereka, konsert ini dijangka menjadi satu momen nostalgik dan penuh impak.

Bagi menyemarakkan lagi konsert tersebut, 4U2C bakal melancarkan tiga buah single baharu, termasuk satu lagu balada dan dua lagu rancak yang mencerminkan sisi baharu mereka, seiring peredaran zaman.

Konsert ini juga akan dipimpin oleh pengarah muzik tersohor negara, Aubrey Suwito, yang akan membarisi 14 pemuzik profesional untuk memberikan mutu muzik yang tinggi dan bertenaga.

Tiket konsert akan mula dijual pada 30 Jun 2025 menerusi platform Ticket Empire dan Fantopia. Harga tiket dibahagikan kepada dua bahagian iaitu tingkat bawah dan tingkat atas dengan Bagi penamaan yang unik dan nostalgik seperti berikut:

Bagi tiket tingkat bawah: RM155 – Berpisah Jangan, RM355 – Kembalilah Fiona, RM455 – Video Games, RM505 – Kami Rappers dan RM555 – Fiona.  Manakala bagi tiket tingkat atas pula: RM255 – Kenangan Cinta & Persahabatan, RM355 – I Miss U, RM405 – Dusta dan RM505 – Dynamite

Selain kaedah pembayaran biasa, peminat juga boleh membeli tiket melalui opsyen “beli dahulu, bayar kemudian” menerusi Atome, Pay Later by Grab dan Shopee Pay Later.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page