Empayar Krunisme Terus ‘Bertahta’ Bersama GenKRU

Kredit Foto: Bangsawan Pictures
Empayar ‘Krunisme’ bersatu bersama Axiata Arena Bukit Jalil pada 3 Mei lalu, atmosfera bukan sekadar debu lampu dan gema muzik tetapi rasa rindu yang menebal, dan nostalgia yang akhirnya menemukan noktahnya. Selepas tujuh tahun menyepi, KRU kembali menakluki jiwa- jiwa yang kecanduan jenama KRU. Mereka membakar semula obor legasi mereka dalam konsert penuh makna GenKRU.
Lebih 10,000 peminat dari generasi Walkman hingga TikTok memenuhkan segenap ruang stadium. Detik jam menunjukkan pukul 9 malam. Gelap. Senyap. Tiba-tiba, pancaran lampu LED berwarna merah dan biru menari ke langit dewan, diiringi dentuman muzik pembuka: Fanatik. Jeritan pecah. Arena bergegar. Itulah permulaan malam magis yang berlangsung hampir tiga jam, meraikan 33 tahun empayar muzik bernama KRU.

Trio adik-beradik, dipersembahkan Datuk Norman Abdul Halim, Datuk Yusry Abdul Halim dan Edry Abdul Halim kemudiannya muncul dalam siluet berasap, diapit pancaran strob putih yang berkelip laju, seolah menyambut raja-raja muzik urban ke takhta mereka semula. Lagu-lagu seperti Fanatik, Malam Kita dan Ooh La La dipersembahkan dengan susunan dinamik baharu, namun tetap mengekalkan jiwa asalnya. Penonton? Berdiri. Melompat. Menyanyi seperti hidup mereka bergantung pada setiap bait lirik.
“Siapa sini geng Norman, Yusry dan Edry? Tapi yang paling istimewa, saya nak tanya… siapa geng genKRU malam ini?” kata mereka, disambut sorakan yang bergema di seluruh dewan.

Sorakan yang membalas soalan itu hampir menenggelamkan bunyi muzik. Seolah-olah, setiap seorang dalam arena malam itu sedang ‘pulang’ ke sebuah rumah lama yang penuh kenangan.
“Tak sangka, kita (KRU) dah 33 tahun dalam industri, kita masih lagi boleh buat persembahan besar macam ini. Terima kasih banyak kerana bagi sokongan padu kepada kami. Nombor 33 itu agak signifikan buat kami, usia 33 tahun KRU, tiga orang ahli, dan kita adakan konsert ini selama tiga malam di Axiata Arena. Alhamdulillah,” kata mereka.

Segmen balada menyaksikan perubahan mood secara dramatik. Pencahayaan memfokuskan kepada situasi yang menghidupkan suasana hening dan intim untuk lagu-lagu seperti 2, Babe, Untukmu (Feminin), Janji Kita, Di dalam Dilema dan Bidadari. Hati penonton ditawan dengan penceritaan melalui lagu, bukan sekadar nyanyian.

Namun, saat paling menyentuh ialah ketika lagu Perpisahan Terasing bergema, bukan sekadar oleh suara KRU, tetapi melalui duet maya bersama Allahyarham Datuk Sudirman Hj Arshad. Visualnya terpancar perlahan-lahan di skrin LED raksasa, wajah beliau tersenyum, menatap penonton dari alam yang satu lagi. Ramai yang mengesat air mata. Dalam lautan manusia, suasana menjadi senyap, penuh penghormatan.

Tak lama selepas itu, KRU menyusur turun dari pentas, mendekati peminat sambil menyanyikan Dekat Padamu. Diiringi cahaya kuning keemasan yang membias seperti matahari senja, detik itu bagaikan pengakuan jujur: “Kami kembali untuk kamu.” Para peminat menyambut dengan tangan terangkat, mata bersinar, senyuman penuh makna. Mereka kemudiannya meneruskan persembahan dengan lagu Wanita dan Apa Saja sebagai penghargaan bagi peminat wanita dan pasangan yang hadir.


KRU menjemput artis naungan awal mereka seperti Adam AF2 (Terhangat di Pasaran) dan kumpulan Elite (Di Pintu Syurga) untuk berkongsi pentas. Satu perayaan, bukan sekadar konsert. Inilah kejutan yang cukup mengujakan khalayak ketika ‘disapa’ vokal 2 artis ini.
Tidak hanya mendendangkan lagu-lagu sendiri, KRU turut mempersembahkan secara medley lagu ciptaan mereka yang dinyanyikan oleh artis lain seperti Sedetik Lebih (Anuar Zain), Separuh Masa (The Lima), Romancinta (Mojo) dan Hi Hi Bye Bye (Ezlynn), yang diberi sentuhan baharu.

Kembali ke akar rap dan hip hop, KRU menggegarkan stadium dengan Hanya Kau, That’s The Way We Jam dan Inikah Ertinya Cinta, seolah-olah membawa penonton kembali ke era awal 2000-an ketika muzik urban belum arus perdana. Persembahan ini bukan sahaja nostalgia tetapi ianya pendidikan identiti eksperimental KRU yang pernah mempelopori muzik urban dan elektronik di negara ini.
Dua lagu baharu: Vodoo dan One More Time dari album terbaharu mereka Kaset dilancarkan secara eksklusif malam itu. Penonton menerima karya baharu itu dengan terbuka, menandakan bahawa KRU bukan sekadar hidup dalam kenangan malah mereka masih mencipta masa depan.
“Kami sebenarnya dah lama rancang. Kebetulan kami bertiga semua ada, jadi timbul idea nak buat ‘reunion’. Lepas tujuh tahun, kami rindu nak ‘bergaduh-gaduh’… takkan nak buat konsert sahaja tanpa tinggal karya, maka terhasillah album ini,” kata Edry, disambut gelak tawa ahli kumpulan lain.
Akhirnya, ketika lagu Mengerti, Jangan Lafazkan dan Awas menggegarkan arena sebagai penutup, seluruh Axiata Arena berubah menjadi pesta berdiri. Cahaya putih menari di seluruh stadium, asap tipis berlegar di lantai pentas, dan ribuan suara bersatu sebagai satu, menyanyikan setiap patah perkataan.

“Terima kasih kepada semua kerana sudi hadir malam ini. Kita jumpa lagi pada masa akan datang, take care and see you,” ucap mereka sebelum mengakhiri persembahan.
Selepas menghiburkan peminat dua malam berturut-turut pada Sabtu dan ahad, konsert GenKRU akan diteruskan 10 Mei ini sebagai persembahan ketiga dan terakhir untuk peminat tempatan, sebelum ke Singapura pada 28 Jun depan.
Konsert anjuran Icon Entertainment itu turut dihadiri oleh Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil dan isterinya; Timbalan Menteri Belia dan Sukan Adam Adli serta barisan artis popular tanah air