Bulan Bintang Terus Kukuhkan Jenama Dengan Barisan Duta Eksklusif
Sempena meraikan ulangtahun kesepuluh Bulan Bintang, sebuah pertunjukan fesyen dengan tema Sedekad Menyinar telah diadakan pada 2 Februari 2025 bertempat di KL Convention Center, Kuala Lumpur.
Pertunjukan fesyen Bulan Bintang kali ini menampilkan koleksi raya “ready-to-wear” (RTW) untuk seisi keluarga merangkumi baju melayu pelbagai pilihan potongan beserta koleksi pakaian raya sedondon untuk wanita dan kanak-kanak dengan lebih 70 pilihan warna. Terbaharu, Bulan Bintang mengumumkan koleksi Baju Melayu dengan tiga pilihan potongan Slim Fit, Tailored Fit dan Traditional Fit serta penggunaan kain yang lebih lembut, ringan, sejuk dan jahitan yang kemas untuk digayakan sepanjang hari.
Sebagai jenama yang inklusif, koleksi kali ini ditawarkan dengan pilihan saiz sehingga 8XL dan pelbagai pilihan kurta. Kesemua koleksi ini diperagakan oleh barisan selebriti ternama tanah air seperti Datuk Rosyam Nor, Datuk Remy Ishak, Shukri Yahaya, Syafiq Kyle, Nadhir Nasar, Mierul Aiman, Johan Ghazali dan Hannah Delisha.
Bulan Bintang juga menampilkan barisan duta istimewa seperti, Zahiril Adzim, Ain Edruce, Zahirah MacWilson, Aiman Hakim Ridza, Mimi Lana, Dato’ Ramli MS, Dato’ Jalaluddin Hassan, Joey Daud, Zamarul Hisham, Sabri Yunus dan Angeline Tan.
Pengasas Bulan Bintang, Azzim Zahid Azmi berkata, beliau amat bersyukur jenama Bulan Bintang masih berkembang pesat dan kekal bersinar selama sedekad dalam pasaran yang amat kompetitif ini. Semua ini adalah hasil sokongan rakyat Malaysia disamping penambahbaikan daripada segi kualiti dan khidmat pelanggan yang sentiasa menjadi keutamaan syarikat.
Keunikan dan kepercayaan jenama ini bukan sahaja menarik minat selebriti dari industri seni, malah turut mendapat perhatian seorang atlet profesional. Berikut adalah pandangan mereka tentang pengalaman bersama Bulan Bintang dan mengapa mereka memilih untuk mewakili jenama ini.
Sebagai selebriti kelas A yang sering mendapat tawaran sebagai duta pelbagai jenama, Datuk Rosyam Nor memilih untuk bersama Bulan Bintang kerana beliau melihat sendiri perkembangan jenama ini sejak 10 tahun lalu.
“Saya tertarik dengan usaha penambahbaikan mereka. Tahun ini, koleksi baharu yang diperkenalkan lebih berkualiti dengan rekaan moden dan klasik tanpa menjejaskan nilai asal baju melayu itu sendiri,” katanya.
Shukri Yahaya yang dikenali sebagai ‘Duta Senior’ Bulan Bintang telah bersama jenama ini selama lima tahun. Keistimewaan Bulan Bintang bagi Shukri terletak pada keaslian idea pemasaran mereka yang sentiasa berani dan kreatif.
“Mereka tak tiru-meniru, dan mereka berani buat kerja gila untuk memasarkan baju melayu. Kualiti dan khidmat pelanggan mereka juga sentiasa diperbaiki,” ujar Shukri.
Datuk Remy Ishak mengakui beliau sangat memilih dalam menerima tawaran sebagai duta sesuatu jenama.
“Saya mesti secara peribadi suka dengan jenama dan produknya. Sebelum saya setuju, saya mahu pastikan kualitinya terbaik dan pemasaran mereka luar biasa. Alhamdulillah, Bulan Bintang memenuhi semua kriteria itu,” katanya. Tahun ini merupakan tahun kedua beliau bersama jenama ini.
Bagi Nadhir dan Mierul, mereka memilih untuk tidak mengikut arus rakan-rakan seangkatan yang menjadi duta jenama lain kerana mereka melihat peranan sebagai duta sebagai satu bentuk berkarya.
“Bulan Bintang sentiasa memberikan nafas baru dalam setiap koleksi mereka tanpa menghilangkan keaslian baju melayu. Karya mereka segar dan unik setiap tahun,” jelas mereka.
Dikenali sebagai wajah eksklusif dalam dunia fesyen, Syafiq Kyle jarang menerima tawaran sebagai duta jenama selain miliknya sendiri. Namun, beliau terpesona dengan skala kerja Bulan Bintang dalam menghargai pelanggan mereka.
“Mereka tak sekadar menjual baju melayu, malah memberikan ganjaran kepada pelanggan. Tahun ini sahaja, RM10 juta dibelanjakan untuk hadiah termasuk berpuluh buah kereta!” katanya dengan kagum.
Johan Ghazali atau lebih dikenali sebagai Jojo, satu-satunya atlet dalam barisan duta Bulan Bintang. Sebagai seorang pejuang seni bela diri, Jojo melihat baju melayu sebagai simbol budaya yang dibawanya ke peringkat antarabangsa.
“Saya selalu pakai baju melayu ketika sidang media di luar negara. Dengan Bulan Bintang, saya yakin membawa imej budaya Malaysia ke pentas dunia,” katanya.
Sebagai wajah utama Bulan Bintang Sisters, Hannah Delisha melihat peningkatan besar dalam koleksi tahun ini. “Rekaannya lebih segar dan kontemporari, tidak terhad kepada sambutan hari raya sahaja. Ada juga pilihan untuk kanak-kanak dan padanan warna dengan baju melayu, jadi mudah bagi satu keluarga untuk bergaya sedondon,” kata Hannah.
Dengan pemilihan duta yang pelbagai latar belakang dan pengaruh besar dalam industri masing-masing, Bulan Bintang terus membuktikan jenama mereka sebagai peneraju dalam fesyen tradisional moden Malaysia. Dengan fokus terhadap kualiti, inovasi, dan kepuasan pelanggan, Bulan Bintang terus mengekalkan kedudukan sebagai jenama baju melayu paling dipercayai di pasaran.
Sebagai penghargaan kepada pembeli Bulan Bintang selama sedekad ini, Bulan Bintang menawarkan pelbagai hadiah menarik hasil kolaborasi korporat bersama jenama-jenama hebat seperti GB Gold yang menawarkan 1kg jongkong emas, tiket penerbangan percuma selama setahun daripada AirAsia, RM150,000 duit raya daripada Hausboom, pakej haji dan umrah daripada Tabung Haji dan Kahf, 120,000 voucher daripada Tealive dan banyak lagi hadiah menarik yang disumbangkan oleh Tudung Ruffle, Russell Taylors, Mutu Case dan Mokkys Pizza dengan nilai keseluruhan berjumlah RM10juta.
Terdapat juga Biskut Raya Edisi Khas yang boleh didapati secara eksklusif di 7 Eleven seluruh Malaysia. Kerjasama seperti ini tidak pernah dilakukan oleh mana-mana jenama fashion tempatan
Bulan Bintang juga turut menyasarkan jualan sebanyak 1.5 juta helai pakaian untuk kempen kali ini dan menggesa orang ramai untuk membeli koleksi raya Sedekad Menyinar Bulan Bintang di 15 butik rasmi Bulan Bintang seluruh negara dan di platform TikTok yang merupakan rakan kerjasama strategik Bulan Bintang dan penghantaran seluruh Malaysia diuruskan oleh Ninjavan selaku rakan logistik rasmi.