Filem Limbungan: Tragedi Hitam 1975, Adaptasi Mitos Harimau Jadian
Filem Thriller Ini Bakal Ditayangkan Di Pawagam Pada 6 Februari 2025
Kepercayaan mengenai wujudnya harimau jadian iaitu manusia yang mengamalkan ilmu hitam sehingga mampu bertukar menjadi harimau jadian sememangnya cukup sinonim dalam kalangan masyarakat Melayu dahulu.
Berdasarkan kepada kepercayaan tersebut, ia telah memberi ilham kepada syarikat produksi Lil Studios Sdn. Bhd. untuk menghasilkan sebuah filem thriller iaitu Limbungan: Tragedi Hitam 1975.
Pengarahnya, Fazli Yasin berkata, ia adalah sebuah filem yang membawa penonton menyelami dunia mitos tentang harimau jadian di sebalik konflik pembangunan di sebuah kampung pada era 1970-an.
“Idea untuk hasilkan filem Limbungan ini datangnya daripada minat saya terhadap seni makhluk mitologi Melayu, terutama sekali harimau jadian.
“Sejak kecil lagi saya sering melukis makhluk-makhluk pelik, termasuklah menghasilkan novel grafik tentang harimau jadian semasa berusia tujuh tahun,” ujarnya.
Fazli berkata, dengan penghasilan filem berkenaan juga adalah tanda ‘cinta’ terhadap seni reka bentuk makhluk dan mitologi alam Melayu.
Limbungan: Tragedi Hitam 1975 mengisahkan tentang perjalanan Ramli dan Malik ke Kampung Limbungan untuk mengambil alih projek yang terbengkalai. Bagaimanapun, mereka telah diserang oleh harimau jadian yang menakutkan sehingga memaksa mereka berdua bergelut untuk terus hidup.
Menampilkan Amerul Affendi dan Kodi Rasheed selaku tunjang utama, filem tersebut turut dibintangi pelakon-pelakon lain seperti Cat Farish, D’Boy Hamdan, Bohari Ibrahim, Zainal Isa, Nor Albaniah dan Azan Addin.
Menurutnya, apa yang menarik tentang filem ini apabila kisah mengenai harimau jadian ini pernah diceritakan menerusi catatan Sir Hugh Clifford iaitu Residen Pahang yang bertugas pada tahun 1896 hingga 1903.
Ujar Fazli, menerusi catatan tersebut ada menceritakan mengenai harimau jadian yang menyerang sebuah keluarga.
“Harimau jadian ini adalah pengamal ilmu hitam yang membuat penjanjian dengan iblis dan makhluk ini hanya meminum darah sahaja dan Xdak memakan semua mangsanya.
“Jadi, apa yang berkaitan dengan harimau jadian ini ada digambarkan dalam filem Limbungan dan kami gabungkan dengan kisah sejarah tentang projek hidroelektrik di Tasik Kenyir pada tahun 1975,” ujarnya
Sementara itu, mengenai cabaran sepanjang pembikinan, Fazli memaklumkan antaranya mereka perlu mencari lokasi yang sesuai, terutama sekali kawasan bentuk muka bumi yang berbatu dan kawasan yang berair serta pohon-pohon yang besar.
Jelasnya lagi, untuk mengatasi cabaran berkenaan, mereka terpaksa mereka bentuk satu set lokasi hutan buatan yang besar, berbanding penggambaran dibuat di hutan sebenar kerana memakan kos yang besar.
“Kami juga perlu menghasilkan sebuah kostum harimau jadian yang realistik, malah saya membuat sehingga tujuh versi kostum sebelum memilih satu yang terbaik,” ujarnya.
Setelah menjalani penggambaran pada Februari 2024, filem Limbungan: Tragedi Hitam 1975 akan mula ditayangkan di pawagam seluruh negara mulai 6 Februari 2025.