September 5, 2026

MMS | MY Media Syndicate

Berita Hari Ini, Gaya Hidup Masa Kini

“Dengan Bajet Terhad, Kami Berjaya Hasilkan Sinematografi Yang Cantik” – Hashim Rejab

Spread the love

Angkat Kisah Keberanian Dan Pengorbanan Wira Orang Asli Menentang Ancaman Komunis, Orang Perang Temui Penonton Di Pawagam Mulai 1 Oktober

Membikin filem perang bukan kerja mudah, apatah lagi apabila naskhah itu menuntut suasana hutan, aksi pertempuran, latihan ketenteraan dan gambaran zaman yang sudah lebih tujuh dekad berlalu.

Namun, bagi pengarah Hashim Rejab, keterbatasan bajet bukan alasan untuk menghasilkan karya yang ‘biasa-biasa’.  Sebaliknya, dia mahu Orang Perang hadir sebagai sebuah filem aksi yang bukan sahaja menghiburkan, malah membuka mata penonton terhadap kisah perjuangan masyarakat Orang Asli yang pernah menjadi antara benteng penting mempertahankan keselamatan negara.

“Cabaran utama filem ini adalah bajet. Namun, dengan bajet yang terhad, kami berjaya menghasilkan sinematografi yang cantik, disokong oleh barisan pelakon yang hebat-hebat serta komitmen penulis dan kru penggambaran yang sangat membantu sepanjang produksi,” ujarnya ketika majlis pelancaran poster rasmi, trailer dan lagu runut bunyi (OST) Orang Perang yang berlangsung di Hextar City Damansara pada 4 Sep lalu.

Filem terbitan 3Line Media Sdn Bhd dan Nanord Studio Production itu mendapat sokongan menerusi Dana Penerbitan Filem Kenegaraan (DEKAN) daripada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), sekali gus memperlihatkan usaha mengangkat kisah sejarah dan perjuangan masyarakat Orang Asli ke layar perak.

Bagi pengarah itu, kekuatan sesebuah filem bukan hanya bergantung kepada jumlah wang yang dibelanjakan, tetapi sejauh mana kreativiti, kerja berpasukan dan komitmen seluruh produksi dapat dimanfaatkan untuk menghidupkan cerita.

Mengambil latar Malaya sekitar era 1950-an ketika ancaman komunis masih menggugat keselamatan penduduk, filem itu mengangkat kisah keberanian masyarakat Orang Asli serta pasukan Senoi Praaq, unit yang terkenal dengan keupayaan mereka menjejaki pergerakan musuh di kawasan hutan.

Menariknya, nama Senoi Praaq sendiri membawa maksud ‘Orang Perang’, sekali gus menjadi asas kepada judul filem arahan Hashim itu.

Hashim tidak mahu penonton datang ke pawagam semata-mata untuk menyaksikan aksi tembak-menembak atau pertempuran dalam hutan.  Sebaliknya, dia mahu penonton memahami manusia di sebalik sejarah tersebut.

Kisah bermula apabila sebuah perkampungan Orang Asli di pedalaman Cameron Highlands diserang kumpulan komunis. Bah Tangga yang dipaksa menyertai kumpulan berkenaan mula mempersoalkan perjuangan mereka selepas menyaksikan kekejaman terhadap masyarakatnya sendiri.

Bersama sahabatnya, Bah Ayob, dia mengambil keputusan melarikan diri ke dalam hutan.   Bagaimanapun, pelarian itu membawa mereka ke dalam tahanan Jungle Squad yang diketuai Inspektor Syed Zainal.

Pada awalnya, Bah Tangga sukar mempercayai orang Melayu dan Inggeris berikutan kebencian serta prasangka yang ditanam dalam dirinya.  Namun, pendekatan Syed Zainal perlahan-lahan mengubah pandangannya.

Daripada seorang pemuda yang hanya mahu menyelamatkan diri dan masyarakatnya, Bah Tangga kemudiannya melalui latihan untuk menjadi anggota Senoi Praaq di bawah pengawasan British SAS.

Perjalanan itu bukan mudah apabila dia turut berdepan dengan Bah Pelangkin, sahabat lamanya yang kini berada di pihak komunis.

Konflik tersebut menjadi antara nadi utama Orang Perang apabila persahabatan, kesetiaan, dendam dan pengorbanan bertembung dalam satu perjuangan yang lebih besar.

Justeru, filem ini bukan hanya mengenai siapa yang menang atau kalah dalam peperangan, tetapi mengenai pilihan manusia apabila berdepan keadaan yang memaksa mereka menentukan di pihak mana mereka berdiri.

Untuk memastikan suasana era berkenaan dapat dirasai penonton, lokasi penggambaran turut memainkan peranan penting.  Antara lokasi yang digunakan termasuk Perdik Fall di Ulu Langat, Bukit Tunku dan Kem Asia di Semenyih.

Latar hutan bukan sekadar menjadi tempat berlangsungnya aksi, sebaliknya menjadi sebahagian daripada identiti filem.

Dalam kisah Senoi Praaq, kelebihan masyarakat Orang Asli mengenali hutan, membaca jejak dan mengesan pergerakan menjadi antara elemen penting.

Aspek itu diterjemahkan Hashim melalui perjalanan watak-watak utama yang perlu berdepan dengan persekitaran mencabar, latihan serta konflik bersenjata.

Dengan gabungan barisan pelakon berpengalaman dan generasi baharu, Orang Perang menampilkan Niezam Zaidi, Syazwan Zulkifli, Ammar Alfian, Adam Corrie, Fauzi Nawawi, Fadhli Masoot, Izuan Razali, Mustaqim Bahadon, Azhan Rani, Namron, Kazar Saisi, Vanida Imran dan beberapa pelakon lain.

Satu lagi perkara yang menjadi perhatian Hashim ialah klasifikasi filem berkenaan dimana Orang Perang menerima klasifikasi 18 daripada Lembaga Penapis Filem (LPF) tanpa sebarang potongan.

Hashim berharap ada pertimbangan terhadap akses penonton lebih muda, khususnya mereka yang berusia 16 tahun ke atas dengan bimbingan ibu bapa, memandangkan filem itu turut membawa unsur kenegaraan.

Baginya, sejarah seperti perjuangan Senoi Praaq wajar diketahui generasi muda. Lebih-lebih lagi apabila kisah masyarakat Orang Asli dalam mempertahankan negara tidak semestinya menjadi pengetahuan umum seperti kisah perjuangan pasukan keselamatan lain.

Dalam konteks itu, Orang Perang mempunyai misi lebih besar daripada sekadar menjual aksi. Ia mahu mengingatkan penonton bahawa perjuangan mempertahankan tanah air datang daripada pelbagai latar masyarakat.

Selain aksi dan sejarah, aspek muzik turut diberikan perhatian menerusi OST berjudul Sumpah Leluhur. Lagu ciptaan Achoi Floor 88 itu menampilkan gandingan vokal Niezam Zaidi bersama Elly Langkasuka.

Menariknya, lagu berkenaan mengangkat tema cinta, kerinduan, pengorbanan dan semangat perjuangan selain emosi yang melengkapkan kisah mereka yang berada di medan perang dan insan yang menanti kepulangan orang tersayang.

Gubahan itu turut membabitkan Oja pada gitar, Achoi pada bass dan Aki Seruling pada seruling.   Gabungan muzik dan visual tersebut dijangka memberikan satu lagi lapisan emosi kepada Orang Perang, terutama ketika kisah pengorbanan dan hubungan kekeluargaan diketengahkan.

Bagi Hashim, cabaran menghasilkan filem ini akhirnya menjadi pengalaman yang cukup bermakna apabila seluruh pasukan memberikan komitmen untuk memastikan cerita yang mahu disampaikan dapat diterjemahkan sebaik mungkin.

Daripada keterbatasan bajet kepada tuntutan aksi dan lokasi penggambaran, setiap cabaran menjadi sebahagian daripada perjalanan untuk melahirkan sebuah filem yang diharapkan mampu meninggalkan kesan kepada penonton.

Kini, selepas poster rasmi, trailer dan OST diperkenalkan, penantian hampir sampai ke penghujung.

Orang Perang bakal membawa penonton menyusuri hutan Malaya era 1950-an, menyaksikan perjuangan Bah Tangga dan rakan-rakannya serta mengenali sisi sejarah masyarakat Orang Asli yang mungkin selama ini kurang mendapat perhatian.

Filem Orang Perang bakal ditayangkan di pawagam seluruh negara mulai 1 Oktober 2026.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page