“WAKTU” Rakam Fasa Terindah Erissa Puteri

Menyulam cinta dan seni dalam satu hela nafas, penyanyi dan pelakon berbakat besar, Erissa Puteri, menyambut fasa terindah dalam hidupnya apabila bergelar isteri dan dalam masa sama melancarkan single terbaharunya berjudul “Waktu”.
Dalam satu majlis pernikahan yang berlangsung indah di Hotel Majestic, Kuala Lumpur pada 18 April lalu, bintang kelahiran ‘Ceria Popstar’ musim kedua ini sah bergelar isteri kepada pilihan hatinya, Muhamad Daniel Iskandar Zaidi tepat jam 11 pagi.
Lebih bermakna, pada hari sama, syarikat rakaman Nova Music melancarkan muzik video rasmi lagu Waktu sebuah balada pop ciptaan pemenang AJL39, Ikhwan Fatanna dan Wan Saleh, dengan lirik sepenuhnya oleh Ikhwan sendiri.
Menariknya, muzik video tersebut turut menampilkan Daniel, mempersembahkan paparan visual yang menyentuh perasaan – dari detik pertemuan awal sehingga ikrar cinta disatukan dalam ikatan perkahwinan.
“Saya dapat demo lagu ini tahun lepas. Kali pertama dengar pun saya dah rasa sangat tertarik. Liriknya sangat kena dengan jiwa saya tentang seseorang yang menerima pasangan seadanya. Ia sangat dekat dengan kisah saya dan Daniel, walaupun sebenarnya lagu ini tidak dicipta khusus untuk kami,” ujar Erissa dengan penuh makna.
Lagu Waktu dipilih sebagai runut bunyi untuk sebuah drama akan datang dan menurut Erissa, karya itu menjadi ruang terbaik untuknya kembali ke dunia nyanyian selepas sekian lama dikenali lebih aktif dalam bidang lakonan.
“Single pertama saya, Matahari, dikeluarkan pada 2014 selepas saya tamat Ceria Popstar. Ia masih diingati terutama oleh Gen Z. Kini dengan Waktu, saya mahu tampil semula sebagai penyanyi dan memberikan sesuatu yang matang serta relevan dengan perkembangan hidup saya sekarang,” katanya.
Komposer Ikhwan Fatanna, yang sebelum ini pernah bekerjasama dengan Erissa menerusi lagu Teruskan Mencuba untuk program kanak-kanak ‘Suatukala’, menyifatkan penyanyi muda itu sebagai seorang berbakat besar dan mempunyai pakej lengkap sebagai artis.
“Genre lagu ini adalah pop balada yang manis sesuai dijadikan lagu tema perkahwinan atau percintaan. Lagu ini membawa mesej mendalam tentang pasangan yang saling menerima kekurangan dan menghargai kehadiran masing-masing dalam kehidupan. Ia adalah bentuk cinta yang kita hadiahkan buat insan tersayang,” kata Ikhwan.
Tambahnya lagi, Waktu turut direka agar mesra pendengar dan mampu menjadi latar muzik pilihan dalam pelbagai kandungan di media sosial seperti TikTok dan Instagram.
“Kita masukkan elemen keindahan dan getaran cinta dalam ciptaan ini. Lagu ini bukan sahaja ‘easy listening’ tetapi juga mempunyai elemen emosi yang kuat. Ia direka untuk mencipta momen – sama ada untuk pasangan baru berkahwin mahupun sesiapa sahaja yang pernah melalui fasa-fasa cinta yang penuh warna,” jelasnya.
“Waktu” kini boleh distrim di semua pelantar penstriman digital utama, manakala muzik video rasmi boleh ditonton di saluran YouTube Nova Music Videos menerusi pautan: https://www.youtube.com/watch?v=HJp3ip3n3-s