October 19, 2026

MMS | MY Media Syndicate

Berita Hari Ini, Gaya Hidup Masa Kini

Tiga Tahun Menyepi, YANA Kembali Dengan ‘Keliru’

Spread the love

Shalma Eliana tampil sebagai artis bebas, jadikan pengalaman memahami diri sebagai taruhan karya terbaharu

Selepas tiga tahun menyepi daripada industri muzik demi mengejar ilmu di London, penyanyi dan penulis lagu YANA kembali membawa suara berbeza menerusi single terbaharu, Keliru, yang menjadi titik permulaan kepada fasa baharu perjalanan seninya sebagai artis bebas.

Lebih daripada sekadar kemunculan semula, karya itu memperlihatkan keberanian YANA, yang sebelum ini dikenali sebagai Shalma Eliana, untuk menterjemahkan pergolakan emosi, pencarian identiti dan ketidakpastian hidup menerusi muzik yang lebih peribadi.

Dicipta dan ditulis sepenuhnya oleh YANA, Keliru menggabungkan elemen indie folk dengan penceritaan reflektif, mengangkat perasaan yang sering terpendam ketika seseorang berusaha memahami diri sendiri.

Bagi YANA, karya itu membawa perbezaan ketara berbanding lagu-lagu terdahulunya, khususnya dari segi mesej yang disampaikan, selain menjadi lagu pertama yang ditulis sepenuhnya dalam bahasa Melayu.

“Bagi saya, perbezaan utama Keliru berbanding karya-karya saya sebelum ini terletak pada mesejnya. Lagu ini memberi tumpuan kepada emosi manusia yang jarang dibicarakan dalam proses memahami diri sendiri, termasuk perasaan ragu-ragu dan ketidakpastian yang kita lalui,” katanya.

Menurutnya, pengalaman mendalami pemahaman terhadap diri sendiri, baik sebagai artis mahupun individu, menjadi antara pencetus kepada penghasilan lagu berkenaan.

Pendekatan penulisannya juga semakin berkembang dengan penggunaan bahasa yang lebih bersahaja, imaginatif dan puitis, sekali gus membolehkan pengalaman serta emosi manusia diterjemahkan secara lebih dekat dengan pendengar.

YANA berharap Keliru mampu menjadi ruang buat pendengar menerima pelbagai sisi kehidupan tanpa dibayangi ketakutan terhadap penilaian orang lain.

“Bagi saya, Keliru bukan tentang berputus asa apabila fikiran terasa begitu berat, tetapi tentang mengakui perasaan itu sebagai sebahagian daripada perjalanan hidup.

“Saya berharap lagu ini dapat membuatkan pendengar rasa dilihat, didengari dan tidak keseorangan dalam menghadapi ketidakpastian mereka. Kita tidak semestinya perlu mempunyai semua jawapan untuk terus melangkah ke hadapan,” katanya.

Selain memperkenalkan sisi muzik yang lebih matang, Keliru turut menjadi medan buat YANA membuktikan kemampuannya membina identiti kreatif sendiri di luar kerangka biasa industri muzik.

Perkara itu turut diterjemahkan menerusi video muzik Keliru yang diarahkan Amani Azlin, dengan YANA sendiri menerajui hala tuju kreatif projek berkenaan.

Biarpun berdepan cabaran dalam merealisasikan idea dengan sumber dan bajet yang ada, YANA memilih untuk mempertahankan visi artistiknya tanpa mengorbankan kreativiti.

“Proses penghasilan video muzik ini merupakan satu pengalaman yang bittersweet buat saya. Pada awalnya, saya banyak berulang-alik dalam membuat keputusan, terutamanya dalam mencari cara untuk merealisasikan visi artistik saya dengan sumber dan bajet yang ada tanpa berkompromi dari segi kreativiti.

“Saya mempertimbangkan pelbagai konsep sebelum akhirnya memberanikan diri untuk merealisasikan visi yang benar-benar ingin saya sampaikan melalui lagu dan video muzik ini,” katanya.

Pengalaman itu turut mengubah cara YANA melihat dirinya sebagai pengkarya, terutama apabila dia memilih untuk mempercayai kemampuan sendiri dan melabur dalam sesuatu yang diyakininya.

“Projek ini menjadi bukti bahawa saya percaya pada karya dan visi saya sendiri. Saya memilih untuk melabur dalam sesuatu yang saya percayai tanpa terlalu memikirkan pendapat atau persepsi orang lain.

“Bagi saya, sebelum orang lain percaya pada saya, saya perlu percaya pada diri sendiri,” katanya.

Menurut YANA, kerjasama dengan rakan-rakan kreatif turut membantu melancarkan proses penghasilan video muzik berkenaan, sekali gus memberikan pengalaman bermakna dalam membina keyakinan terhadap hala tuju seninya.

Tidak terhenti pada Keliru, YANA kini sedang mengusahakan album sulung berjudul Ruang Rasa, yang membawa maksud a space to feel.

Album itu dirancang untuk memperluas dunia emosi yang diperkenalkan menerusi single terbaharunya, dengan mengetengahkan pelbagai pengalaman manusia, termasuk keraguan terhadap diri sendiri, ketidakpastian dalam percintaan, rasa syukur dan penerimaan.

YANA mahu menjadikan album berkenaan sebagai ruang yang membolehkan pendengar mengenali serta menerima perasaan sendiri, termasuk emosi yang sukar difahami atau diluahkan dengan kata-kata.

“Melalui Ruang Rasa, saya ingin meneroka pelbagai emosi dan pengalaman yang membentuk diri kita sebagai manusia, termasuk perasaan yang sukar difahami atau diluahkan. Saya berharap album ini dapat menjadi ruang untuk pendengar mengenali dan menerima perasaan mereka sendiri,” katanya.

YANA menyasarkan album itu dapat disiapkan tahun depan dan, jika segala perancangan berjalan lancar, dia turut berharap dapat menganjurkan persembahan pentas bebas pertamanya dengan judul sama.

Diinspirasikan oleh alam semula jadi dan tingkah laku manusia, YANA mahu karya-karyanya menjadi penghubung antara pengalaman peribadi dengan kisah kehidupan pendengar daripada pelbagai latar belakang.

Memulakan perjalanan seni pada 2018, YANA sebelum ini menghasilkan beberapa lagu termasuk Janji Terindah, Mahukah Kamu bersama Fariz Jabba, Aroma, Rambang, Your Loss dan I Need U.

Selain muzik, beliau turut mencuba bidang lakonan menerusi drama Lelaki Lingkungan Cinta bersama Naim Daniel dan Shasha Abedul, selain telefilem Dendam Penunggu serta drama televisyen Bintang di Langit Syawal.

Kini, dengan identiti baharu sebagai artis bebas, YANA meletakkan muzik sebagai medium untuk meneroka emosi dan memahami kehidupan dengan lebih mendalam.

Menerusi Keliru, dia tidak menawarkan jawapan kepada setiap persoalan hidup, sebaliknya mengajak pendengar menerima hakikat bahawa kekeliruan juga sebahagian daripada proses mengenali diri sendiri.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page