11 Tahun Menanti, Insomniacks Lancar Album Sulung

KAMI INSOMNIACKS Menghimpunkan 12 Lagu, Jelajah Pra-Album Berakhir Di ODEON KL Dengan Sasaran 1,500 Peminat
Selepas hampir 11 tahun mengukuhkan nama dalam industri muzik tempatan, Insomniacks akhirnya bersedia membuka lembaran baharu menerusi pelancaran album sulung, KAMI INSOMNIACKS, yang bakal menemui peminat pada 30 Oktober ini.
Bukan sekadar himpunan lagu, album mengandungi 12 karya itu menjadi cerminan perjalanan, pengalaman dan kematangan kumpulan pop rock berkenaan sepanjang membina identiti muzik mereka.
Lebih istimewa, pelancaran album itu bakal diraikan menerusi persembahan khas di ODEON KL pada 31 Oktober, sehari selepas album berkenaan dilancarkan secara rasmi.
Menerusi showcase itu, Insomniacks dijangka mempersembahkan 14 lagu, termasuk keseluruhan 12 lagu daripada album sulung berkenaan serta beberapa karya pilihan daripada rilisan terdahulu.
Acara itu turut menyasarkan kehadiran kira-kira 1,500 peminat, sekali gus menjadi kemuncak perjalanan jelajah pra-album yang membawa muzik baharu mereka menemui peminat di tiga kota.
Insomniacks berkata, album sulung itu cukup bermakna selepas mereka melalui perjalanan panjang dalam industri muzik bersama-sama.

“Album ini sangat bermakna buat kami sebab selepas hampir 11 tahun buat muzik bersama, akhirnya kami dapat kongsikan album pertama kami.
“Ia merangkum perjalanan, pengalaman dan apa yang kami pelajari selama ini. Kami memang teruja dan tak sabar nak semua orang dengar,” kata mereka.
Album KAMI INSOMNIACKS mengangkat pelbagai sisi kehidupan, termasuk cinta, persahabatan, kekeluargaan, pengembaraan dan perkembangan diri, berdasarkan pengalaman yang dilalui anggota kumpulan itu.
Lebih menarik, pembikinannya turut membuka ruang kepada kolaborasi bersama beberapa nama dalam industri muzik tempatan, antaranya Aziz Harun, XONE, Hael Husaini dan Irfan Haris.
Kerjasama itu memberi peluang kepada Insomniacks meneroka idea baharu, selain memperluas dimensi muzik mereka tanpa mengetepikan identiti yang selama ini dekat dengan pendengar.
Menurut mereka, perubahan dari segi bunyi dan penulisan lagu adalah sebahagian daripada proses perkembangan yang dilalui sepanjang berkarya.
“Banyak yang kami dah lalui dan pelajari, sebagai individu dan juga sebagai satu kumpulan. Sebab itu, soal perkembangan diri memang dekat dengan kami.
“Pengalaman dan hubungan dengan orang sekeliling membentuk siapa kami hari ini, dan semua itu turut tergambar dalam muzik kami,” jelas mereka.
Insomniacks turut berharap album itu dapat memperkenalkan sisi berbeza kumpulan berkenaan kepada peminat, sambil mengekalkan sentuhan muzik yang sudah dikenali sejak awal kemunculan mereka.
Sebelum pelancaran rasmi album, Insomniacks terlebih dahulu mengadakan jelajah pra-album bagi memberi peluang kepada peminat menikmati sebahagian karya baharu mereka secara langsung.
Jelajah itu membuka tirai di Loft29, George Town, Pulau Pinang pada 19 September lalu, dengan kehadiran kira-kira 300 penonton.
Menerusi persembahan akustik yang menampilkan 13 lagu, mereka membawakan enam lagu daripada KAMI INSOMNIACKS, termasuk dua karya yang ketika itu belum dilancarkan di mana-mana platform.
Empat lagi lagu daripada album berkenaan boleh diakses lebih awal menerusi laman peminat insomniacks.world.
Gitaris Insomniacks, Dan mengakui mereka berdepan perasaan gementar ketika kembali mengadakan persembahan akustik penuh selepas sekian lama.
“Sejujurnya, saya agak gementar dan risau sebab ini kali pertama kami bawakan lagu-lagu album ini secara akustik. Dah lama juga kami tak buat persembahan akustik penuh. Tapi lepas selesai, semuanya rasa seronok dan kami memang puas dengan pengalaman itu,” katanya.
Jelajah kemudian diteruskan di Embrace Hall Music & Art Center, Skudai, Johor Bahru pada 3 Oktober lalu, dengan tiket habis dijual dan kehadiran lebih 300 penonton.
Antara momen paling bermakna adalah apabila peminat turut menyanyikan lagu baharu mereka meskipun album berkenaan belum dilancarkan secara rasmi. Sambutan itu menjadi bukti keterujaan peminat untuk meneroka material terbaharu Insomniacks, sekali gus menyuntik semangat kepada kumpulan berkenaan menjelang pelancaran album sulung mereka.
Kini, Kuala Lumpur menjadi destinasi terakhir yang bakal menyaksikan perjalanan jelajah berkenaan mencapai kemuncaknya.

Bagi Insomniacks, peluang menutup jelajah di kota tempat mereka bertapak mempunyai nilai sentimental tersendiri.
“KL memang tempat kami bertapak, jadi setiap kali buat persembahan depan peminat di sini, rasanya cukup istimewa. Dapat akhiri jelajah di tempat sendiri buat pengalaman ini lebih bermakna buat kami,” kata mereka.
Selain persembahan muzik, peminat yang menghadiri showcase itu turut berpeluang mendapatkan beg messenger eksklusif Insomniacks yang hanya dijual di lokasi acara.
Barangan rasmi lain, termasuk tali rantai kunci, tampalan pakaian atau iron-on patch serta koleksi terdahulu, turut ditawarkan kepada peminat.
Jelajah KAMI INSOMNIACKS dikuasakan OPPO, dengan ERA sebagai rakan radio dan GALLANT GUARD SERVICES selaku rakan logistik.
Tiket kategori berdiri bagi showcase di ODEON KL masih ditawarkan dalam jumlah terhad menerusi https://ticketoffice.ubertickets.asia/events/175784.
Album KAMI INSOMNIACKS pula boleh distrim menerusi semua platform penstriman utama mulai 30 Oktober ini.
