April 18, 2026

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

Taeyong Gegar Idea Live Arena, Aksi Solo Buat Peminat Histeria

Spread the love

Konsert 2026 TAEYONG CONCERT <TY TRACK – REMASTERED> di Kuala Lumpur jadi penutup jelajah Asia penuh emosi, Taeyong kembali selepas tamat latihan ketenteraan dengan persembahan bertenaga dan interaksi menyentuh hati

Aura bintang solo anggota NCT, Taeyong benar-benar ‘meledak’ apabila beliau menggegarkan Idea Live Arena menerusi konsert 2026 TAEYONG CONCERT <TY TRACK – REMASTERED> pada 11 April lalu.

Dianjurkan oleh IME Malaysia, Kuala Lumpur menjadi hentian keenam sekali gus penutup tirai jelajah Asia selepas Seoul, Jakarta, Yokohama, Macau dan Bangkok. Kehadiran Kuala Lumpur sebagai destinasi finale menjadikan malam tersebut lebih istimewa buat peminat tempatan yang sudah menunggu hampir sedekad.

Sejak detik pertama pentas dibuka, Taeyong terus ‘menekan pedal minyak’ dengan persembahan berintensiti tinggi menerusi lagu pembukaan “Locked and Loaded” dan “Skiii”, sebelum meneruskan momentum dengan “APE,” “Virtual Insanity,” “Shalala” serta deretan lagu lain yang menguji stamina dan kawalan pentasnya.

Setiap pergerakan Taeyong tampil tajam, disiplin dan penuh estetika. Gabungan koreografi kompleks bersama ekspresi wajah yang kuat menjadikan setiap segmen terasa seperti sebuah persembahan teater visual bertaraf dunia.

Apa yang membezakan konsert ini adalah pendekatan koreografi yang dijadikan naratif visual. Ada segmen yang agresif dan ‘edgy’, ada juga yang minimalis tetapi sarat emosi, menjadikan perjalanan konsert ini dinamik dari awal hingga akhir.

Kualiti audio turut berada pada tahap terbaik, dengan setiap lapisan bunyi daripada bass hingga vokal kedengaran jelas dan seimbang, membuatkan penonton seolah-olah tenggelam dalam dunia muzik Taeyong.

Elemen visual dan pencahayaan pula menjadi ‘senjata’ utama. Permainan lampu neon futuristik, efek dramatik serta visual sinematik menjadikan setiap lagu seperti berada di dimensi berbeza.

Antara momen paling mencuri perhatian ialah persembahan “Moon Tour” apabila Taeyong menggunakan wirework seolah-olah ‘melayang’ di angkasa dengan latar bulan yang memukau. Manakala “Ups and Downs” diperkemaskan dengan penggunaan conveyor belt yang menambah elemen dramatik pentas.

Lebih istimewa, Kuala Lumpur turut menjadi lokasi paling emosional dalam siri jelajah ini. Selepas hampir sembilan tahun tidak beraksi solo di Malaysia, Taeyong dilihat beberapa kali menzahirkan rasa sebak dan penghargaan terhadap peminat.

“Sudah lama saya tidak ke Malaysia. Saya rindu kamu semua,” katanya sambil disambut sorakan kuat peminat. Beliau turut mengucapkan “Aku rindu kamu!” dalam Bahasa Melayu yang membuatkan dewan bergema.

Dalam segmen ‘ment’, Taeyong tampil lebih santai dan humoris, berkongsi pengalaman selepas tamat latihan ketenteraan serta keinginannya untuk meneroka Malaysia lebih jauh, termasuk hasrat melawat Batu Caves. Beliau juga sempat menikmati hidangan tempatan seperti sate yang disifatkannya “sangat sedap”.

Persembahan turut diserikan dengan lagu emosional seperti “Mermaid” dan “Ruby”, memberi keseimbangan antara tenaga tinggi dan momen sentimental.

Menjelang penghujung konsert, Taeyong mengejutkan peminat dengan persembahan khas lagu baharu “Am I In Love Or Not”, selain mengesahkan bahawa album terbaharunya kini sedang dalam proses.

Ketika encore, beliau kembali dengan “Love Theory”, berinteraksi lebih dekat dengan peminat termasuk menghulurkan hadiah kecil ke arah penonton, mencetuskan suasana penuh keterujaan.

Menutup malam bersejarah itu, Taeyong sekali lagi mencuri hati peminat apabila bertanya, “Korang enjoy tak?” sebelum mengucapkan “Saya sayang kamu”, menandakan penutup sempurna kepada malam reunion yang penuh emosi.

Secara keseluruhan, TY TRACK – REMASTERED di Kuala Lumpur bukan sekadar konsert, tetapi sebuah pengalaman penuh energi, emosi dan nostalgia yang mengukuhkan lagi status Taeyong sebagai artis global dengan karisma luar biasa.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page