October 16, 2026

MMS | MY Media Syndicate

Berita Hari Ini, Gaya Hidup Masa Kini

RIM Jawab Dakwaan KARYAWAN, Tegaskan Isu Royalti Perlu Berasaskan Fakta

Spread the love

Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) tampil menjelaskan isu ketelusan pembayaran royalti dan pengurusan hak artis susulan kenyataan Persatuan Karyawan Malaysia (KARYAWAN) yang mempersoalkan sistem pengagihan royalti serta cadangan pembiayaan bagi membawa muzik tempatan ke pasaran antarabangsa.

RIM menegaskan, dakwaan berhubung kelewatan pembayaran royalti, ketidakjelasan pengiraan serta kekurangan maklumat pengagihan perlu diteliti berdasarkan kes tertentu, bukannya dijadikan gambaran bahawa keseluruhan industri muzik negara berdepan masalah akauntabiliti.

Menurut RIM, pembayaran royalti kepada pencipta bergantung pada beberapa faktor, termasuk hak yang diamanahkan kepada organisasi pengurusan kolektif (CMO), kadar dalam kontrak, penggunaan muzik sebenar serta status pendaftaran pemegang hak dengan organisasi berkaitan.

RIM turut menjelaskan, pencipta yang karya atau rakamannya mencatat penggunaan dan jumlah penstriman tinggi lazimnya menerima bahagian lebih besar daripada hasil yang dijana berbanding karya yang kurang digunakan.

Sehubungan itu, pihak yang menguruskan royalti berkenaan, sama ada syarikat rakaman, penerbit muzik atau CMO, perlu dikenal pasti terlebih dahulu bagi membolehkan sebarang pertikaian disiasat dan dijelaskan secara tepat.

Mengenai ketelusan, RIM mendakwa laporan kutipan dan pengagihan royalti telah diberikan kepada ahli CMO setiap kali pembayaran dibuat, termasuk butiran pendapatan serta sumber royalti. Ahli juga boleh menghubungi pegawai organisasi berkenaan untuk mendapatkan penjelasan lanjut.

RIM turut menggesa KARYAWAN mendedahkan senarai keahliannya bagi membantu mengenal pasti artis atau pemegang hak yang masih belum berdaftar dengan CMO bersesuaian, sekali gus memastikan hak mereka dapat diwakili dan royalti diagihkan mengikut peraturan.

Dalam isu tindakan undang-undang terhadap Garis Panduan Hak Cipta (Organisasi Pengurusan Kolektif) 2025 yang dikeluarkan Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO), RIM berkata tindakan mendapatkan semakan kehakiman tidak seharusnya secara automatik ditafsirkan sebagai penentangan terhadap ketelusan.

Bagaimanapun, RIM enggan mengulas merit kes berkenaan selagi perkara itu masih dalam pertimbangan mahkamah.

RIM turut membetulkan dakwaan bahawa Phonographic Performance Malaysia (PPM) ialah badan kutipan miliknya, dengan menegaskan PPM merupakan entiti berasingan yang mempunyai keahlian serta lembaga pengarah sendiri.

Dalam perkembangan berkaitan pembangunan industri, RIM mempertahankan cadangan penubuhan Dana Eksport Muzik Malaysia bagi membantu artis dan syarikat muzik tempatan menyertai pertunjukan antarabangsa, melaksanakan promosi luar negara serta memperluas pemasaran digital.

Menurut RIM, usaha memperkukuh pasaran domestik dan menembusi pasaran antarabangsa boleh dilaksanakan secara serentak kerana kedua-duanya saling melengkapi dalam membangunkan industri muzik yang mampan.

RIM bagaimanapun bersetuju bahawa pembiayaan awam perlu mempunyai objektif jelas, mekanisme akauntabiliti serta hasil yang boleh diukur.

Persatuan itu turut menegaskan pembiayaan pembangunan muzik berbeza daripada kutipan dan pengagihan royalti, dengan pembiayaan membantu aktiviti penciptaan, promosi serta pembangunan komersial, manakala royalti memastikan pemegang hak menerima bayaran bagi penggunaan karya dan rakaman mereka.

Dalam masa sama, RIM menyokong keperluan pembangun kecerdasan buatan (AI) mendapatkan lesen sewajarnya sebelum menggunakan karya kreatif yang dilindungi hak cipta bagi tujuan pembangunan AI secara komersial.

RIM menegaskan komitmennya untuk bekerjasama dengan KARYAWAN, MACP, PPM, RPM, MyIPO serta kementerian berkaitan bagi memperkukuh perlindungan hak, memperluas peluang pasaran dan memastikan pembangunan industri muzik Malaysia memberi manfaat kepada semua pihak berkepentingan.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page