Penantian 18 Tahun Berakhir, The Click Five Kembali Temui Peminat Malaysia Ogos Ini
Demam nostalgia awal 2000-an bakal kembali melanda ibu kota apabila kumpulan pop rock sensasi Amerika Syarikat, The Click Five, mengumumkan kemunculan semula mereka di Malaysia menerusi konsert The Click Five For Lovers Tour yang akan berlangsung pada 30 Ogos depan di Zepp Kuala Lumpur.
Kepulangan kumpulan yang pernah menjadi kegilaan remaja satu ketika dahulu itu nyata mengubat kerinduan peminat tempatan selepas kali terakhir mereka mengadakan persembahan di Malaysia di Surf Beach, Sunway Lagoon pada tahun 2008 ketika berada di kemuncak populariti.
Selepas mencetuskan fenomena menerusi siri jelajah kemunculan semula mereka di Asia Tenggara tahun lalu, nama The Click Five sekali lagi hangat diperkatakan peminat yang membesar dengan lagu-lagu romantik dan ‘catchy’ mereka.
Konsert anjuran ACO Media itu dijangka menjadi malam penuh nostalgia dengan ribuan peminat bakal sama-sama menyanyikan lagu hit seperti “Just The Girl”, “Jenny” dan “Catch Your Wave” yang pernah mendominasi carta radio, MTV serta platform Myspace suatu ketika dahulu.

Dikenali dengan identiti pop rock yang segar, gaya fesyen ikonik dan persembahan pentas penuh energi, The Click Five pernah muncul sebagai antara kumpulan paling berpengaruh era awal 2000-an. Populariti mereka juga cukup luar biasa di Asia termasuk Malaysia, Filipina dan Indonesia.
Lebih menarik, kemunculan semula mereka kali ini hadir selepas kejayaan siri konsert comeback di Asia Tenggara yang dilaporkan habis dijual, sekali gus membuktikan pengaruh kumpulan itu masih kuat meskipun sudah lebih sedekad meninggalkan arus perdana muzik antarabangsa.
Ditubuhkan di Boston, Amerika Syarikat, The Click Five pernah mencipta kejayaan global menerusi lagu bertaraf platinum selain menjadi antara band paling popular di platform Myspace ketika era kemuncaknya.


Peminat boleh menjangkakan sebuah malam penuh emosi, nostalgia dan singalong apabila kumpulan itu kembali membawa semula ‘soundtrack’ zaman remaja generasi milenial ke pentas Kuala Lumpur.
Jualan awal tiket khas peminat akan bermula pada 4 Jun ini bermula jam 12 tengah hari hingga 11.59 malam, manakala jualan umum dibuka pada 5 Jun jam 12 tengah hari menerusi laman sesawang Ticket2U.

Harga tiket yang ditawarkan ialah BOX (maksimum empat orang) RM428 seorang, General Admission (Standing Zone) RM268 dan CAT 1 RM308 tidak termasuk caj tiket.
