Pemergian Kak Ngah Buat Ramai Menangis, ‘Keluarga Iskandar 3’ Sentuh Realiti Kehidupan
Episod keenam musim terbaharu drama komedi kekeluargaan popular, Keluarga Iskandar, nyata mencetuskan gelombang emosi dalam kalangan penonton apabila penceritaan kali ini menyentuh isu kehilangan insan tersayang yang cukup dekat dengan realiti kehidupan masa kini.
Watak Kak Ngah lakonan Susan Lankester yang sejak musim pertama menjadi tunjang kepada kekuatan institusi keluarga dalam siri berkenaan akhirnya menemui noktah apabila kisah pemergiannya dirungkaikan dalam episod yang ditayangkan semalam.
Babak sarat emosi itu bukan sahaja mengejutkan peminat setia, malah turut mengundang reaksi hiba di media sosial dengan ramai penonton mengakui tidak dapat menahan air mata menyaksikan perjalanan akhir watak berkenaan.

Kemunculan musim ketiga ini juga dilihat bukan sekadar ‘comeback’ biasa, sebaliknya tampil dengan pendekatan penceritaan lebih matang apabila mengangkat kisah realiti kehidupan yang sering berlaku dalam masyarakat hari ini.
Kehilangan Kak Ngah menjadi simbolik kepada hakikat kehidupan bahawa setiap individu pasti akan berdepan detik kehilangan orang tersayang. Namun, mesej yang cuba disampaikan bukan sekadar mengenai pemergian, sebaliknya kekuatan mereka yang masih meneruskan kehidupan dengan kenangan serta kasih sayang yang ditinggalkan.

Musim ketiga Keluarga Iskandar kini bersiaran setiap Jumaat hingga Ahad, jam 9 malam di Astro Ria dan boleh distrim menerusi aplikasi Sooka.
